03 Disember 2020

Duda Saham Tinggi - Bab 1

 



“A

DIB, makanlah sikit,” pujuk Hajah Zauyah. Air matanya tidak dapat ditahan melihat Adib langsung tidak menjamah sebarang makanan.

Ditambah dengan kehilangan anak perempuannya Alia, kesedihan yang datang bermukim tidak mampu diusirnya dalam masa terdekat.

“Mak bawalah semula makanan tu ke dapur. Saya tak lapar.” Perlahan-lahan dia menapak ke arah jendela. Langsir diselak sedikit kemudian ditutup kembali. Matanya tertumpu ke arah Dhia Sofi yang sedang nyenyak tidur di atas katil.

“Jangan macam ni, Adib. Mak rasa, dah lima hari Adib tak makan. Janganlah ikutkan sangat perasaan,” pujuk Hajah Zauyah tidak putus asa. Simpatinya menebal untuk Adib yang dilihat lemah tidak bermaya. Pemergian Alia betul-betul memberi kesan kepada Adib.

“Saya rindukan Alia.”                    

“Mak faham. Tapi, itu tak bermakna Adib boleh menyeksa diri. Tak nak makan dan minum, sampai bila?”

“Sampai bila-bila...”

      Hajah Zauyah menggeleng sambil menyeka air mata dengan hujung lengan baju. Luluh hatinya mendengar jawapan Adib.  

“Mak tak sanggup tengok Adib macam ni. Mak sayangkan Adib sama macam arwah Alia. Jangan seksa diri, nak.” Air mata Hajah Zauyah makin deras turun. Pilu di hatinya tidak mampu dibendung lagi.

Adib diam. Air matanya sudah kering. Tetapi kesedihannya, tiada siapa akan mengerti. Cinta dan kasihnya pada arwah Alia, hanya Allah dan dia sahaja yang tahu.

Sekilas dia menoleh ke arah Sofi. Pandangannya lama dibuang ke situ. Terubat sedikit hatinya walau cuma seketika. Anak perempuannya itu benar-benar seiras arwah isterinya.                         

“Tak apalah kalau Adib tak nak makan sekarang. Mak keluar dulu. Nanti makan, ya. Mak letak nasi kat sini,” ujar Hajah Zauyah sambil berlalu.

Adib hanya memerhati langkah ibu mentuanya. Dia tidak menyangka kasih sayang Hajah Zauyah kepadanya makin bercambah selepas pemergian arwah Alia. Hajah Zauyah sentiasa mengambil berat.

“Papa…” Sofi tiba-tiba bersuara.             

Adib menoleh dengan senyum tawar. Perlahan dia menghampiri anak perempuannya. “Ya, sayang.” Kepala Sofi diusap penuh kasih sayang.                      

“Mama mana?” tanya Sofi. Dia belum mengerti atau terlupa yang ibunya kini tiada.

Adib terkunci mulut. Bagaimana dia harus menjawab sedangkan lidahnya berat menyatakan kebenaran.    

“Sofi nak makan?”  

“Nak. Mama masak apa hari ni?” Sofi bingkas bangun lalu duduk bersila.                                  

Adib tersentap. Dia tunduk menahan rasa. Mutiara jernih kini merembes semula.               

“Papa nangis ke?” Sepasang tangan kecil Sofi menyentuh lengan Adib.                    

“Tak, sayang.” Adib cuba sembunyikan air matanya.

“Habis tu, kenapa papa kesat mata?” Naif soalan Sofi ajukan kepada Adib.                         

“Mata papa masuk habuk.”

“Masuk habuk?” Renungan Sofi membulat. Terkejut mendengar jawapan Adib. Bagi kanak-kanak seusianya, masuk habuk ke dalam mata adalah satu masalah yang sangat rumit.                   

Adib mengangguk. Senyuman tawar masih terlakar di bibirnya.                                               

“Kalau macam tu, biar Sofi tiup mata papa.” Sofi melutut lalu menyentuh kelopak mata Adib dengan tangan kecilnya. Kemudian, perlahan-lahan dia menghembus nafasnya ke situ.                 

Adib cuma membiarkan. Bertambah pilu hatinya saat diperlakukan demikian. Lalu, ingatannya kembali pada arwah Alia yang pernah melakukan perkara yang sama selepas matanya dimasuki habuk ketika pulang dari tapak projek.                

“Papa,” panggil Sofi apabila melihat Adib berdiam diri.                                                          

“Papa,” panggilnya lagi tetapi Adib tetap begitu. Langsung tiada tindak balas.                    

Sofi mula gelisah saat melihat air mata Adib turun ke pipi.      

“Nenek, atuk!” pekik Sofi. 

Tergesa-gesa Hajah Zauyah dan Haji Man meluru masuk.

         “Ada apa, Sofi?” Hajah Zauyah segera duduk di tepi katil.

 “Papa nangis!” Jari telunjuk Sofi tertala ke arah Adib.                                      

Hajah Zauyah menoleh. Sayu lagi hatinya melihat keadaan Adib.

Haji Man pula hanya mampu menggeleng. “Sudahlah, Adib. Biarkan Alia pergi dengan tenang. Kita pula mesti teruskan hidup seperti biasa. Jangan terlalu bersedih. Tak elok,” pujuk Haji Man lalu meletakkan sebelah tangan ke bahu Adib.                       

“Saya tak boleh terima kenyataan. Saya terlalu sayangkan Alia. Saya tak percaya dia dah tinggalkan saya dan Sofi,” luah Adib sambil merenung Haji Man.

“Ada hikmahnya kenapa Allah ambil Alia dulu sebelum kita. Kamu sabarlah dan usaha kuatkan diri. Kalau kamu tak boleh terima kenyataan, ayah dan mak lebih lagi dari kamu,” nasihat Haji Man.           

“Daripada kamu terus meratap, lebih baik mengaji. Sekurang-kurangnya, kamu akan rasa tenang. Dengarlah nasihat ayah.” Haji Man menggosok belakang Adib.

       “Ayah tahu dah lima hari kamu tak sentuh makanan. Jagalah kesihatan. Kamu kena kuat. Ayah tak nak kamu sakit nanti. Sofi perlukan kamu. Kalau kamu tak sihat, siapa nak jaga dia? Dahlah Alia tak ada, kamu pula tunjuk sikap macam ni depan dia. Kasihan anak kamu ni,” sambung Haji Man.

Adib tunduk. Kata-kata Haji Man ada benarnya. Kemudian, kepalanya diangkat semula lalu memandang Sofi di hadapan. Anak kecil itu terkebil-kebil membalas renungannya.

Rasa bersalah terhadap Sofi kini bertamu. Memang dia pentingkan diri kerana menurut kata hati sedangkan Sofi masih perlukan perhatian. Sampai bila dia mahu tunjukkan kesedihan di hadapan Sofi?

 

24 Mac 2016

Pesta Buku Pahang 2016



Pesta Buku Pahang 2016 bertempat di Kuantan Parade. Temui saya di Kuantan Parade pada 26/Mac/2016 dari jam 2 hingga 4 petang. Sila bawa novel-novel karya saya yang ada dalam simpanan anda untuk diturunkan tandatangan. Selain itu, anda berpeluang mendapatkan cenderahati berkonsepkan penyu dari saya, insya-Allah.

Jangan lupa temujanji kita, ya. :)

Terima kasih..