AKU
duduk makan di gerai belakang. Cuma kat sini aje aku mampu
melantak. Duit dah tinggal suku-suku. Tunggu masa tuan dia pun jadi tiga suku
sebab duit dah nak habis. Orang lain makan nasi lauk sedap-sedap. Air tembikai
susu lagi. Aku makan keropok kontot dengan air sirap bandung aje. Gaji lambat lagi boleh dapat. Encik Razlan satu
hal, kata sayang aku. Kalau sayang, bagilah gaji pendahuluan. Apa punya boslah.
Kedekut tangkai jering.
“Hai...”
Ada
suara tegur aku dari belakang. Aku baru nak sedut air, adalah yang datang
mengacau. Dahlah Encik Razlan pun suka kacau aku. Di mana ada aku, di situ ada
dia. Sekarang mamat mana pulak ni datang tegur aku. Dengan gaya malas, aku
berpaling. Seorang lelaki Cina yang aku nampak di bilik stor tadi rupanya. Aku
balas ‘hai’ jugak. Kalau tak balas nanti kena cop sombong.
“Boleh
saya duduk sini? Kerusi lain penuh.”
“Duduklah
kalau tak malu.” Aku tayang sengih. Saja mengusik. Apa nama entah mamat Cina
ni. Muka boleh tahan.
Dia
tarik kerusi dan terus duduk depan aku. “Saya Tom.” Dia kenalkan diri.
“Tom?”
Aku pelik dengar nama dia. Macam nama kucing.
“Ye,
Tom...”
“Tom
tombak ke Tom Cruise?”
“Tommy
Edward.”
“Tommy
Edward? Peliknya nama.”
“Tak
adalah pelik. Erm, awak pulak siapa nama?”
“Amalina.”
Aku juga kenalkan diri.
“Makan
apa? Nampak sedap...” Tom dekatkan dirinya pada meja dan menjenguk ke dalam
piring.
Perlahan-lahan aku tarik piring rapat ke dada.
Mana tahu kalau dia nak kidnap keropok kontot aku. Dahlah sikit aje. Tak kuasa
aku nak pelawa dia makan sama. Kalau nak, beli sendiri. Semacam pulak aku
tengok mamat Cina ni. Nak ngorat aku ke? Tak payahlah Tom. Buang masa kau aje.
“Takkan tak kenal keropok? Tapi keropok ni, ada bagi nama baru. Keropok
kontot.”
“Hahaha!”
Tom tergelak besar. Dah macam tong drum mulut dia. Besar punya gelak. Bila dia
gelak, mata dia hilang. Sepet.
“Kau
tak nak makan ke?”
“Saya
tak lapar.”
“Kalau
tak lapar, kenapa duduk kat sini? Kau ingat makcik gerai tu boleh kasi duduk free? Dia jual makanan. Bukan jual
kerusi.”
Tom
gelak lagi. “Saya datang sebab nak kenalkan diri pada awak. Bukan nak makan. Boleh
kita kawan?”
“Kawan?”
Aku mula fikirkan sesuatu. Teringat kata-kata Encik Razlan dalam bas semalam.
Katanya, kalau aku nak tahu samada dia dah kahwin ke belum, dalam masa dua
hari, aku kena tunjuk contoh yang baik sebagai kawan pada dia. Aku tak
dibenarkan kawan dengan lelaki lain. Kalau nak makan ke, lepak ke, dia mesti ada sama.
“Errr...
kawan ye... hehehe...” Aku tersengih-sengih.
“Ye,
kawan. Sudi kawan dengan saya?” Tom buat muka teruja.
Aku
tergaru-garu. Belakang leher, pipi dan kepala sekali. Bukan gatal pun. Saja nak
menggaru.
“Amalina...”
“Ye,
ye... nanti saya fikir.” Aku picit dahi. Mengalahkan saintis memikirkan formula
nak direka.
Tom
hulur tangan. Aku mula faham. Tangan dihulur sebagai tanda ikatan persahabatan
akan bermula tapi entah kenapa aku rasa panik. Panik sebab teringat kata-kata Encik
Razlan. “Errr... dua hari lagi boleh tak? Dua hari lagi kita jadi kawan.
Sekarang tak boleh!”
Aku segera bangun dan terus meluru
keluar dari gerai. Sempat aku berpaling dan melihat Tom terpinga.
Gedebush!!!
Dalam keadaan kalut, aku tersembam pada dada seseorang. Aku mendongak, melopong
dengan mata berkelip-kelip. Encik Razlan!
“Apesal
ni? Kena kejar hantu?” Encik Razlan jerkah aku. Tak lupa dia tunjal perlahan
dahi aku.
Aku
gosok dahi. Rasa nak pecah kepala aku bila tersembam macam tu. Nasib baik tak
tersungkur dan tergolek-golek. Kalau tak, harus masuk paper Sinar Harian. Oh, tak payah nak berangan sangat masuk paper bagai. Aku bukan glamer pun. Siapa
nak buat cerita pasal aku jatuh tergolek? Jangan mimpi. Tak ada kerja wartawan
nak buat berita tak senonoh macam tu.
Aku
dengar bunyi kecoh dari arah belakang. Pantas aku berpaling. Tiba-tiba makcik
gerai datang meluru ke arah aku.
“Ewahhhh... sedapnya kau makan tak
nak bayar, ye. Kau nampak tak senduk aku ni? Sekali aku ketuk kepala kau,
bersepai otak!” Makcik gerai mengamuk sakan. Berkali-kali dia angkat senduk
sebab nak tunaikan hajat dia ketuk kepala aku. Selagi tak tertunai, selagi tu
jiwa raganya tak tenteram.
Tapi
nasib baik Encik Razlan ada. Aku jadikan dia benteng pertahanan. Untung-untung
senduk tu naik atas kepala dia bagus jugak. Mungkin mentalnya akan hilang lepas
ni. Yelah, asyik nak ganggu aku aje. Manalah aku tak cakap dia mental?
Makcik
gerai kejar aku keliling Encik Razlan. Macam tiang letrik Encik Razlan aku
buat. Pening jugak bos aku ni nanti. Aduh... dah jadi kes salam faham ni. Tak
ada niat pun aku tak nak bayar. Aku cuma panik dengan Tom sebab tu aku lari.
Makcik
gerai berhenti dan tak kejar aku lagi. Bila dia berhenti, aku pun berhenti.
Kami masing-masing tercungap keletihan. Aku tanggalkan topi dan terus kesat
peluh. Cuba bersedia kalau makcik gerai sekali lagi nak main kejar-kejar dengan
aku. Tapi dia tercegat aje. Mukanya merah menyala.
Aku
pandang Encik Razlan dengan muka tak bersalah.
Dia cekak pinggang. Lama dia
perhatikan aku dari atas sampai bawah. “Kalau tak ada duit nak makan, kenapa
tak cakap dengan aku?”
Erk...
seorang lagi dah salah faham. Aduhai... apalah malang nasib aku hari ni? Tommy
Edward punya pasallah ni.
“Betul
ke budak ni tak ada duit, encik?” Makcik gerai dah mula sinsing lengan baju.
Telinganya dah keluar asap syaitonirrojim.
“Bu...
bukan macam tu!” Aku cuba bela diri tapi entah macam mana, air liur rasa pahit
tiba-tiba.
“Berapa
harga makanan dia makan, makcik? Biar saya bayar.”
“Encik
Razlan... Encik Razlan tak payah bayar... biar saya yang...”
“Kau
diam. Kalau dah buat salah, senyap sajalah!” Sekali lagi Encik Razlan jerkah
aku. Mukanya dah jadi macam bapak singa kelaparan.
Aku
terkebil-kebil tak tahu nak buat apa bila dituduh sengaja tak nak bayar apa
yang aku makan. Aku ada duit apa. Bukan tak ada duit. Kalau setakat keropok
kontot dan sirap bandung tu, celah gigi aku boleh bayarlah.
“Berapa, makcik?”
“Err...
tak adalah banyak sangat. Keropok 5 batang, air sirap bandung segelas. RM1.50,
encik...”
“RM1.50
aje?” Mata Encik Razlan membulat ke arah aku sambil tangannya meraba poket
seluar. “Saya bagi RM10.”
“Banyak
sangat ni, encik...”
“Buat
upah sebab makcik dah penat main kejar-kejar dengan buah hati saya.”
Pfffttt... buah hati? Sah, mental!
Makcik
gerai terangguk-angguk dan tersipu bila Encik Razlan kata aku ni buah hati dia.
Mengarut betul. Tak banyak soal, makcik gerai terus blah. Sekarang, aku kena
menghadap sembah Encik Razlan pulak.
“RM1.50
pun tak boleh bayar? Apa ke daif sangat kau ni? Patutlah kurus semacam. Rupanya
tak cukup makan. Petang ni ikut aku pergi farmasi.”
“Hah?
Pergi farmasi? Nak buat apa?”
“Beli
vitamin. Nanti kau makan vitamin tu banyak-banyak. Tak adalah melidi sangat
tubuh kau.”
Aku
pengsan bila Encik Razlan sebut pasal ubat-ubatan.
“Amalina,
Amalina!”
Gelap
gelita sudah...
TERASA
pipi ditepuk-tepuk, aku buka mata. Orang pertama aku nampak, Encik Razlan.
“Kenapa
kau boleh pengsan?”
Aku
terkebil-kebil. Tak tahu apa sebenarnya dah jadi. Aku pukul perlahan sisi
kepala dan teringat pasal vitamin.
Sekali lagi aku rasa nak pengsan. Tapi, tak sempat pengsan sebenarnya bila Encik
Razlan awal-awal lagi dah tampung kepala aku dengan tangan dia.
“Kalau kau pengsan lagi, aku cium
kau.”
Makkk!!!
“Kau dengar tak?”
“De... dengar, dengar.”
“Bagus. Sekarang, cuba bangun.”
“Tapi saya... saya takut.”
“Nak
takut apa? Keropok kontot dan sirap bandung kau makan free kat gerai tadi, aku dah bayar. Apa lagi nak takut? Makcik tu
takkan belasah kaulah. Hutang dah setel.”
“Macam
mana Encik Razlan tahu?”
“Tahu
apa?”
“Pasal
keropok kontot tu. Ada ke saya beritahu Encik Razlan keropok tu sizenya kontot?”
Encik
Razlan ketawa. Bergegar-gegar tubuhnya. Baru aku perasan, dia pakai topi aku.
Tapi kemudian dia tanggalkan dan pakaikan semula atas kepala aku. Topi dibetulkan
dan sisi kepala aku ditepuk perlahan. “Masa pengsan tadi, kau mengigau sebut
keropok kontot. Dari situ aku tahu.”
Aku mencebik dan cuba bangun.
“Apa yang kau takutkan sangat tadi sampai
boleh pengsan?”
Aku tersengih-sengih. “Tadi Encik
Razlan sebut pasal vitamin. Saya tak boleh kalau dengar pasal ubat. Saya ada
darah gemuruh.”
Encik Razlan ketawa lagi. Aduhai...
agaknya aku ni dah jadi bahan untuk dia bergelak ketawa aje.
“Rupanya kau takut makan ubat?”
“Eh, tak adalah. Mana ada saya
takut.”
“Kau jangan tipu. Aku cium kau nanti.”
“Eleh, asyik nak cium orang je.
Berani ke?” Aku mencebik panjang. Sengaja tayang bibir kalau dia berani sangat
nak buat macam tu. Selera ke dia nak cium perempuan berimej lelaki? Kalau Cik
Najwa yang seksi tu, baru aku yakin dia ada selera. Setakat Amalina, perempuan
comot bertopi besbol, ada keinginan dia nak cium? Aku berani bet, kera di rumah
mati kelaparan pun tak terliur nak cium aku. Ini kan pulak gajah di hutan
disusukan. Eh, apa kena mengena dengan peribahasa tu? Ah, lantaklah. Peribahasa
tu pun dah berbelit-belit aku sebut.
Encik Razlan tunjuk muka serius
tiba-tiba. Kedua-dua tangan diletak atas pemegang kerusi. Aku yang duduk, rasa
terkepung bila mukanya makin hampir. Aku telan liur berkilo-kilo bila hujung rambutnya
bersentuhan dengan topi aku pakai. Allah, dia nak buat apa ni? Betul-betul nak
cium aku ke apa? Ya Allah ya Tuhanku, kau selamatkanlah aku daripada
syaitonirrojim!
Dush! Aku tendang Encik Razlan. Dia
jatuh terlentang. Tergesa-gesa aku bangun dan cuba imbangkan badan. Tak fikir
banyak, aku terus blah. Aku berpaling dan nampak Encik Razlan kejar aku.
Alamak, kenapa dengan Encik Razlan tu? Buang tabiat nak mati ke? Aku terus lari
dan langsung tak hiraukan orang-orang sekeliling. Suka hati tok nenek
dioranglah nak cakap apa. Aku tak peduli. Janji aku selamat dari kena cium Encik
Razlan yang tiba-tiba tunjuk perangai drakula.
Nampak bilik persalinan, aku terus
masuk dan kuncikan pintu. Kedua-dua mata aku pejam rapat. Tercungap-cungap aku
tahan lelah sambil bersandar pada dinding. Penat kena kejar dengan makcik gerai
tadi tak habis lagi, sekarang aku main kejar-kejar dengan Encik Razlan pulak.
Hari ni tercipta dalam sejarah paling banyak aku berlari. Main bola pun tak
penat macam ni.
Tok,tok,tok!
Gulp! Ada orang ketuk pintu. Itu
mesti Encik Razlan.
“Kenapa lari? Kenapa kau tendang
aku? Sampai hati kau ek.”
“Eleh, lagi mahu tanya ke? Tadi Encik
Razlan cuba buat apa kat saya? Mentang-mentanglah saya macam ni, Encik Razlan
ingat saya tak ada maruah? Banyak hensem muka Encik Razlan?”
“Aku memang hensem. Kau tak terpikat?”
Uwekkkk.... muntah coklat tujuh
baldi!
“Baik kau keluar. Kau tahu tak dah
pukul berapa?”
Aku tengok jam. “Pukul 2.30..”
“Sekarang, keluar. Pergi buat kerja.
Ada stok pakaian baby baru sampai. Pergi buka stok dan susun macam biasa.
Sepatutnya bukan tugas aku ingatkan kau pasal ni. Tapi sebab aku sayang kau,
aku sendiri sanggup pantau semua kerja kau kat sini. Aku tak harap si Najwa
tu.”
“Tak harap kenapa?”
“Dia tu kaki buli. Dah ramai pekerja
bawahan dia berhenti sebab tak tahan. Kau nak kena buli?”
“Tak nak.”
“Kalau tak nak, dengar arahan aku.
Jangan ikut arahan dia. Kalau kau degil, bukan hanya stok pakaian baby, pakaian
lelaki dan perempuan pun kau kena buat. Aku tak mahu kau penat. Pukul 10 malam,
masuk office aku. Ada benda aku nak
bagi.”
“Pukul 10 malam? Bukan ke Encik
Razlan balik pukul 6 petang?”
“Aku sengaja nak balik lambat biar
waktu kerja sama habis dengan kau.”
“Apesal macam tu pulak?”
“Eh... suka hati aku nak balik pukul
berapa. Tempat ni aku yang punya.”
“Yelah-yelah. Encik Razlan selalu
menang. Tak guna kalau saya berdebat.”
“Dah, cepat keluar.”
“Okey...” Aku buka pintu. Sikit
punya bukak. Tapi Encik Razlan dengan kasar tolak pintu dari luar. Terkejut
aku!
Dia tersengih-sengih. “Balik kerja kau
naik apa?”
“Naik baslah. Kenapa?”
“Mulai hari ni, aku hantar.”
“Tak payahlah. Saya takut Encik
Razlan cuba apa-apakan saya pulak. Tengok macam tadi, apa niat Encik Razlan
sebenarnya?”
“Tak ada niat apa-apa. Aku cuma...”
Aku tunggu dia habis cakap. Tapi
muka dia jadi lain macam. Tiba-tiba bertukar jadi mendung dan keliru. Macam
berfikir sesuatu. Aku rasa dia ni ada masalah besarlah. Berat punya masalah. Dia
pegang kepala. Lepas tu dia picit-picit. Dia sakit kepala, kut? Kenapa
tiba-tiba aje?
“Encik Razlan...”
Dia macam tak dengar aku panggil. Dia
blah dan terus masuk office. Aku
jongket bahu. Tak faham dengan kelakuan dia. Tapi dari jauh aku nampak dia
terus duduk di kerusi dan panggung kepala. Memang betul la dia sakit kepala.
Kalau tak, takkan macam tu gayanya. Tiba-tiba aje senyap.
Tak boleh jadi ni. Aku rasa tak
sedap hati. Baik aku masuk office dan
tanya apa masalah dia. Dia selalu tolong aku, takkan buat pertama kali aku tak
boleh tolong dia.
Aku menjengah ke dalam. Dia masih panggung
kepala. “Encik Razlan sakit? Nak saya carikan ubat?”
“Jangan ganggu aku.”
“Ha?”
“Jangan ganggu aku. Kau pekak?!”
Aku tersentak. Dalam tempoh perkenalan
kami, pertama kali dia jerkah aku dengan suara betul-betul kuat. Aku melopong.
Terkedu pun ada. Boleh pecah gegendang telinga aku. Tapi aku sangat kecil hati.
Boleh dia kata aku pekak? Erm, pekak pun pekaklah, Amalina. Lebih baik aku blah
dan buat kerja. Tak payah buat baik kat dia. Kalau betul dia sakit kepala,
tahulah dia cari ubat sendiri.
Aku lipat baju-baju baby. Yang mana
kena gantung, aku gantung. Yang mana kena susun, aku susun elok-elok. Aku tengok
jam. Dah pukul 10 malam. Tiba masa untuk aku balik. “Kak Priya, jumpa esok,
ya.”
“Okey Amalina. Baik-baik jalan.” Kak
Priya senyum sambil membetul kain sari di bahu.
Terubat sikit hati aku bila tengok
kak Priya senyum. Tapi aku rindu nak tengok Encik Razlan senyum dan
sengih-sengih depan aku. Sejak petang tadi sampai malam ni, dia asyik terperap
di bilik pejabat.
Selalunya dia keluar juga usik-usik
aku. Ajak aku sembang. Tapi tak ada langsung. Dia buat hal sendiri aje. Petang
tadi kata nak hantar aku balik. Jadi ke tak? Kalau tak jadi, mesti dia dah
balik pukul 6 tadi. Ini dah pukul 10. Dia tunggu aku habis kerja ke tak?
Haih... aku keliru. Kalau balik sekarang
dan tak tunggu dia, apa pulak dia akan kata? Kalau aku tunggu tapi dia tak
keluar, aku nak buat apa? Aku pegang kedua-dua pipi. Pening.. pening. Ah,
lantak dialah.
Aku keluar dari EGSM melalui pintu
belakang. Sempat juga aku intai-intai dalam stor besar bawah tangga. Aku cari
Tom sebenarnya. Ala, si Tommy Edward tu la. Mana tahu kalau dia masih berkubang
dalam stor tu lagi. Boleh aku minta maaf pasal tengahari tadi.
Haaa... itu pun dia tengah
melambai-lambai tangan. Aku senyum dan lambai tangan kat dia semula.
Tom buat isyarat supaya aku tunggu
dia. Aku angguk aje. Memang aku nak tunggu dia pun. Dia tanggalkan sarung
tangan dan campak merata-rata. Sengal punya Tom tombak. Ada ke main campak
macam tu aje? Esok datang kerja mula tercari-cari.
“Awak tak balik lagi?” Soal Tom
sambil betulkan topi atas kepala.
“Tak. Saya tunggu awak.”
Tom senyum. Macam biasa, matanya
hilang tiap kali dia senyum. “Tunggu saya?”
“Saya minta maaf pasal tengahari
tadi. Saya memang biadab, kan? Tinggal awak macam tu aje.”
“Oh, pasal tu. Tak apa. Ermmm...
awak balik dengan apa?”
“Naik bas.”
“Bahaya naik bas malam-malam. Kalau
saya hantar, boleh? Tapi, saya cuma ada motor. Kereta tak ada.”
Aku gelak. Apalah Tom ni. Dia ingat
aku memilih sangat nak naik kenderaan apa? Lagikan kereta tolak pun aku sanggup
naik, ini kan pulak motor.
“Tak payah. Kau balik dengan aku.”
Erk... lambat-lambat aku berpaling.
Hah sudah. Encik Razlan!
“Selamat malam Encik Razlan.” Tom
menunduk sedikit.
“Erm, selamat malam. Tommy, awak boleh
balik. Biar saya hantar budak tengah merajuk ni.”
Dia kata aku merajuk? Heee...
tolonglah. Aku nak merajuk pasal apa? Pasal tadi ke? Kalau pasal tadi, tak
adalah aku merajuk. Aku cuma kecik hati aje. Merajuk dengan kecik hati,
maksudnya berbeza.
“Baik, Encik Razlan. Saya balik
dulu. Amalina, kita jumpa esok.”
“Okey,” sepatah aku jawab. Kalau Encik
Razlan ada ,memang tak berselera sungguh aku nak jawab berpatah-patah dengan
Tom. Entahlah, aku rasa macam something
je. Rasa macam Encik Razlan ni kekasih aku pulak. Bluwwekkk... perasan lebih.
“Ikut aku.” Encik Razlan terus
berjalan ke depan.
Aku ikut tanpa bantahan. Bukan apa,
aku dah malaslah nak berdebat dengan dia ni.
Encik Razlan meletak kedua-dua
tangan pada bumbung kereta. Lama dia perhatikan aku yang berdiri di sebelahnya. “Kau merajuk dengan aku?”
“Tak ada.” Aku menggeleng.
“Pandai kau ek. Merajuk dengan aku,
terus pergi cari budak Cina tu.”
“Mana ada saya merajuk?”
“Kalau tak merajuk, kenapa tak
tunggu aku? Kau tahu kan aku nak hantar kau balik?”
“Manalah tahu kalau Encik Razlan tak
jadi nak hantar saya ke. Encik Razlan nak buat kerja lagi ke. Nak tidur kat
office ke. Jadi, saya tak nak la ganggu. Biarlah saya balik sorang-sorang. Saya
boleh naik bas atau... saya boleh naik motor dengan Tom.”
“Dengar sini. Secara tak langsung,
kau di bawah jagaan aku. Aku yang dapatkan kerja untuk kau kat sini. Kalau ada
perkara buruk jadi pada kau, aku akan bertanggungjawab nanti. Jadi, tolong
hati-hati dengan siapa kau nak berkawan.”
Aku mencebik. “Kenapa Encik Razlan
kata gitu? Macamlah Tom tu jahat sangat pada Encik Razlan. Dia baik apa.”
“Aku tahu dia baik. Aku cuma nak kau
hati-hati.”
“Yelah-yelah. Penatlah bergaduh
dengan Encik Razlan ni. Saya tak tahu kenapa Encik Razlan susah sangat pasal
saya. Kita bukan ada kena mengena. Encik Razlan bukan abang saya. Ayah saya pun
bukan. Encik Razlan cuma orang asing bagi saya, tahu tak? Kenapa layan saya
macam ni?”
Dia diam. Bergerak-gerak tulang pipi
dia bila tengok aku. Nak telan aku ke?
“Kau masuk sekarang. Aku hantar kau
balik.”
“Erm.”
Sepanjang perjalanan dalam kereta,
memang senyap nauzubillah. Aku dah tak ada modal nak sembang apa. Encik Razlan
pun diam aje. Laju sangat mulut aku tadi. Mungkin dia kecik hati.
Ngam-ngam sampai depan rumah, Encik
Razlan hulur plastik. Aku hairan. “Amende ni?”
“Vitamin.”
Pfffttt...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan