AKU
buat kerja macam biasa. Walaupun masih lapar, tapi aku dah tak ada selera nak
sambung makan. ‘Perempuan jalang’, itu yang Encik Razlan kata pada aku. Dia
faham ke apa maksud sebenar perempuan jalang tu? Kalau tak tahu, jangan main
sebut sembarangan aje. Pada aku, perempuan jalang sama spesis dengan pelacur. Kalau itu yang dia
anggap, memang cari nahaslah dia. Nak mati kena cekik dengan akulah tu. Bagus,
biar dia mati dan bangkit semula jadi zombie. Zombie Kampung Pisang. Hahah!
“Amalina,
muka manyak sedih, apahal?” Tegur Puan Moi. Tiba-tiba aje berdiri sebelah aku.
Dia ni pun sama halimunan macam Encik Razlan. Muncul tanpa diduga. Hadir tanpa
dipinta. Heh...
Aku
raba muka. Nampak sedih sangat ke? Memandai aje Puan Moi ni. “Encik Razlan tu, mulut
macam puaka.” Aku berterus-terang. Senang kerja. Tak payah fikir panjang nak
cakap ke tak. Sekurang-kurangnya, adalah tempat meluahkan perasaan. Puan Moi
pun Puan Moilah. Janji dia pun manusia macam aku juga. Tak semestinya kena luahkan
pada kawan baik aje. Lagipun, aku mana ada kawan baik dah sekarang. Si Hannah
pun dah jauhkan diri dari aku. Eh, silap. Aku yang jauhkan diri dari dia.
“Haaa?
Apa? Puaka? Itu hantu ka?” Muka Puan Moi terkejut macam angsa terkena mercun.
Gila hebat imaginasi aku. Entah macam mana rupa angsa terkena mercun tu? Aku
sendiri pun main sebut aje.
Aiyyaaa...
ini auntie buat aku makin peninglah. Dahlah dia kurang fasih Bahasa Melayu, tak
faham pula tu. Kalau Tom bercakap, seratus biji macam Melayu. Bukan macam lagi
dah. Tapi memang Melayu pun. Makan belacan banyak agaknya si Tom tu. Ataupun,
dia minum budu sepuluh botol sehari. Entah-entah dengan botol budu sekali dia
telan. Tu yang fasih sangat cakap Melayu tu.
“Bukan hantulah Puan Moi.” Aku
tanggalkan topi dan garu kepala. Hailaaa labu... nampaknya aku kena suruh Puan
Moi minum budu sepuluh botol sehari ataupun suruh aje dia kunyah belacan
hidup-hidup. Baru dia faham apa maksud mulut puaka tu. Kalau tak, sampai
bila-bilalah dia asyik duk nganga.
Puan
Moi mendongak. Muka dia memang tak boleh blah langsung. Dengan mulut membulat,
mata sepet, buat aku nak
gelak besar aje. “Cakaplah sama saya. Itu tuan sulah jadi hantu ka?”
Astaghfirullahalazim... aku tepuk
dahi. Ada ke situ pula perginya. Mabuk cendol ke apa Puan Moi ni? Haru sungguh.
“Bukan hantu. Tapi, dia naik hantu.”
Sekarang giliran Puan Moi pula garu
kepala. Sebelah tangan lagi dia cekak pinggang. “Naik hantu? Macam mana tuan
naik sama itu hantu? Woaaa... itu tuan manyak berani woooo...”
“Berani? Pasal apa pula Puan Moi
kata dia berani?” Aduhai... aku pula yang confuse.
“Ya la... itu tuan manyak berani
maaa naik sama hantu punya belakang.” Puan Moi tunjuk belakang dia.
Aduh... aku sakit jantung. Makin
lama aku layan Puan Moi bercakap, makin parah jantung aku dibuatnya. Tolong,
ambulans! “Bukan... bukan naik belakang hantu. Tadi dia marahkan saya sebab
saya makan dengan Tom kat dalam bilik stor bawah sana.”
“Oooo... itu macam ka... haiyyaaa...
pasal apa mahu marah. Itu budak Tom manyak baik maaa...” Muka Puan Moi berubah
simpati.
“Tom baik ye Puan Moi?” Entah
kenapa, aku berminat nak dengar pasal Tom. Betul ke Tom baik? Kalau betul, tak
salahlah aku kawan dengan dia dari aku kawan dengan Encik Razlan yang asyik
mental tak sudah tu. Dahlah mental, perangai mengalahkan jin afrid!
“Ya la... itu budak aaa... manyak
lajin. Manyak suka tolong olang. Pernah satu hali aaa... dia tolong saya angkat
manyak balang. Saya kasi duit, dia takmo. Manyak baik. Manyak hensem. Kalau
saya ada anak pelempuan aaa, mahu kasi sama dia. Kasi kahwin maaa...”
Pfffttt...
“Tapi saya tak ada anak pelempuan.
Kalau saya sendili apa macam? Boleh ka? Saya pun dah lama tinggal
solang-solang...” Puan Moi angkat jari telunjuk dan digerak-gerakkan macam ulat
beluncas naik daun.
“Boleh apa Puan Moi?” Aku masih
blur. Tak faham apa maksud dia.
“Kahwin sama itu Tom maaa....”
Haiyyaaaa.... koma setahun aku dibuatnya
dengan kenyataan berani mati Puan Moi. Kritikal punya Puan Moi. Dengan Tom pun
dia ada hati. Pangkat anak, kut. Adoi dunia, dunia.
“Ehem...”
Erk. Itu suara Encik Razlan. Bila Encik
Razlan datang, Puan Moi terus blah. Tak nak tengok Encik Razlan naik belakang
hantu ke Puan Moi? Ha ha ha...
“Rancak sembang?” Encik Razlan tegur
aku. Suaranya baik semacam.
Cuba
nak buat mesralah tu. Huh, jangan harap aku nak layan. Aku buat-buat tak dengar
dan terus beredar ke bahagian pampers. Dia ikut aku.
Aku buka kotak besar yang baru tiba
dari stor. Semua pampers jenama Huggies aku keluarkan dan terus susun atas rak.
Dia tercegat tengok aku buat kerja. Sempat aku menjeling. Kedua-dua tangannya
dimasuk ke poket seluar. Bergaya dan eksyen macam model sedang memperaga
pakaian. Tak payah nak tunjuk macho sangatlah. Pampers dah ada kat depan mata
ni, apa kata kalau Encik Razlan pakai dan jadi model pampers. Baru ada akai.
Aku mengutuk sekadar di hati. Berani aku nak suruh dia pakai pampers sekarang?
Mahu seratus kali dia tunjal kepala aku.
“Amalina...” Lembut pula suara dia
sebut ‘Amalina’ tu. Beralun dan berirama. Aku tahu dah, kalau suara lembik
semacam tu, mesti nak memujuk. Alah, taktik lama orang lelaki macam tulah.
Aku masih selamba. Buat dek. Kononnya
telinga aku ni kebal la bila dia panggil aku lembut-lembut macam tu. Tak terasa
pun aku nak menyahut. Sakit di hati masih terasa lagi, tau.
“Amalina, aku minta maaf pasal
tadi.” Akhirnya, dia minta maaf juga. Dah sedar diri ada buat salah, kan? Jalan
penyelesaiannya adalah dengan meminta maaf.
Tapi boleh ke aku maafkan dia macam
tu aje? Orang yang suka cakap lepas, harus diberi pengajaran sebelum dimaafkan.
Apa kata kalau aku suruh dia pakai pampers dan berjalan keliling bangunan pusat
beli belah ni? Atau, aku suruh dia junjung kuali? Ah, kuali tak best. Tak cukup
memalukan. Kalau pakai pampers, itu baru betul. Hui... maha kejam aku punya
niat. Tak baik sungguh.
Aku buat bodoh dan tak peduli pun
apa dia cakap. Kalau boleh aku tutup telinga, nak aje aku buat tapi tak boleh
sebab dua-dua tangan sibuk susun pampers. Sekali lagi aku menjeling. Dia
membongkok dan mengambil satu plastik pampers. Lepas tu, dia tutup muka aku
dengan pampers yang dia pegang tu. Apa benda dia nak buat ni?
“Auuu cak?!” Dia alihkan pampers.
Mata kami bersatu.
Purrrrr... macam budak-budak. Siapa
entah nak main cak-cak dengan dia. Tak kuasa aku nak layan. Sengal betul. Macam
ni punya bos pun ada dalam dunia.
Aku mencebik. Sekali lagi dia buat
benda yang sama. Menghadang muka aku dengan pampers.
“Auuu cak?” Dia senyum. Semanis gula
dia senyum.
Aku cuba tahan perasaan. Rasa geli
hati datang mengacau pula. Nak gelak pun ada. Tapi semuanya aku kontrol. Kalau
tak, jatuhlah saham aku depan Encik Razlan. Yelah, tadi bukan main aku marah. Kalau
aku ketawa sekarang, nampak sangat marah aku ni tak ke mana perginya.
Dia letak pampers atas rak. Dah
bosan agaknya nak main cak-cak dengan aku sebab sikit pun aku tak layan. “Kau
marah lagi ye...”
Aku diam aje.
“Kalaulah kau faham...” Dia tunduk.
Memerhati pampers atau memandang ke lantai konkrit? Ah, suka hati dialah.
“Faham apa?” Ops, tak sengaja pula
aku tanya dia.
“Aku sayang kau.”
Heh, sayang konon. “Sayang apa kalau
tiba-tiba aje cakap saya perempuan jalang.” Nah, hambek kau.
“Aku tak maksud nak kata macam tu.”
Dia buat muka sedih tahap penyu menangis.
“Tak bermaksud tapi tercakap juga.
Entah apa-apa.”
“Aku...”
“Aku apa?”
“Aku cemburu.”
“Cemburu?”
“Aku cemburu kau makan dengan budak
stor tu. Errr... maksud aku, Tommy Edward.”
Nasib baik dia sebut nama penuh Tom.
Kalau tak, memang sekali lagi aku angin la bila dia panggil Tom dengan
panggilan ‘budak stor’. Susah payah mak bapak Tom bagi nama lawa-lawa untuk
anak dia, bila dah besar, orang panggil ‘budak stor’ aje? Kalau aku jadi mak Tom
pun aku marah orang bagi gelaran sembarangan pada dia.
Tiba-tiba aku gigit jari. Teringat gelaran-gelaran
tak semengah aku bagi pada orang lain. Contoh macam Mat Unggeh, anak makcik
Mon. Bukan main indah makcik Mon bagi nama Iskandar Zulkarnain. Tapi aku
panggil Mat Unggeh aje. Tu yang makcik Mon marah sangat.
Bukan aje orang lain. Abang long aku
sendiri pun aku bagi gelaran cicak kobeng. Kak Liza pun sama. Sedap-sedap je
aku panggil dia Liza roti telur. Si Hannah pula aku panggil minah jawa.
Sekarang bila tiba giliran Tom Encik Razlan panggil budak stor, kenapa aku
mesti marah ek. Apakah aku dah insaf? Mungkin ye la kut...
“Amalina... kalau tak boleh maafkan
aku, tak apalah... mungkin kesilapan aku besar kali ni.
“Saya tak boleh terima Encik Razlan
samakan saya dengan perempuan jalang.”
“Maafkan aku...”
“Kalau saya tak boleh maafkan?”
Encik Razlan tunduk. Muka dia nampak
sedih. Sekarang ni aku main-main aje. Tak adalah bersungguh aku marahkan dia.
Lagipun dia dah minta maaf. Apa salahnya kalau aku maafkan? Tapi sajalah aku
nak test dia. Nak tengok apa reaksi dia. Tak sangka dia boleh tunjuk muka sedih
macam tu sekali. Wahahaa... aku memang jahat nauzubillah. Kalah perompak yang
curi tempoyak kat rumah aku hari tu.
“Memang betul kata orang. Seorang kawan
boleh lupakan seribu kebaikan kawan bila kawannya itu melakukan cuma satu
kesalahan. Tak berbaloi kan Amalina, bila kau tak boleh maafkan aku.” Dia terus
blah dan masuk ke bilik pejabat. Haih, merajuk ke?
Aku terkebil-kebil sendiri sebab tak
faham apa dia cakap. Seorang kawan boleh melupakan seribu kebaikan kawan bila
kawannya itu melakukan satu kesalahan? Apa maksud dia?
Oh tak... rasanya aku dah faham. Kenapalah
aku boleh lupa apa dia dah buat untuk aku? Dia banyak tolong aku apa. Siap bagi
pekerjaan lagi. Baju kurung merah jambu kat rumah tu pun, dia yang bagi. Kalau
tak, memang aku tak boleh pergi kerjalah kat tempat Encik Syam hari tu.
Erk,
tiba-tiba aku teringat pada Encik Syam yang berlagak poyo kat tempat kerja aku dulu.
Sejak aku tumbuk perut buncit dia, aku tak tahu apa jadi kat dia. Entah-entah
masuk hospital. Duduk wad berbulan-bulan dan terpaksa makan melalui straw.
Alahai,
nampaknya Encik Razlan dah merajuklah. Eeewww... tak padan dengan lelaki merajuk bagai. Aku yang perempuan pun payah
merajuk. Inikan pula dia. Erm, apa nak hairan. Anak orang kaya memang gitulah,
kut. Pantang silap sikit, manja aje lebih. Cit...
Macam
mana ni? Aku kena pujuk dia ke apa? Isy, macam tak sesuai aje. Kalau aku isteri
dia, lainlah cerita nak pujuk memujuk segala. Ini tak ada kena mengena. Setakat
jadi kawan terjun aje pun. Baru berapa minggu aku kawan dengan dia. Itu pun aku
masih kekok lagi. Yelah, mana tak kekok kalau berkawan dengan orang kepar..
korporat maksud aku. Tak pernah termimpi dapat kawan orang kaya.
Malas
nak fikir pasal Encik Razlan, aku ambil kotak dan letak tepi. Nanti adalah
pekerja stor yang angkut dan buang kotak tu. Tak ada mood aku nak buang
sendiri. Bila sebut pasal stor, teringat kat Tom. Apa ceritanya Tom lepas
insiden yang berlaku tadi?
Aku
keluarkan telefon bimbit nak whatsapp Tom. Tapi apa aku nak taip? Nak minta
maaf ke?
“Amalina...”
Aku
berpaling. Tiba-tiba Tom ada kat sini. Bila tengok Tom senyum, aku happy
sangat. Maknanya, dia okeylah tu. “Kenapa awak naik? Kalau Encik Razlan nampak
awak, nanti dia marah lagi.”
“Saya
cuma nak bagi ni.” Tom hulur mangkuk tingkat.
“Lunch
tadi ke?”
“Ye...
awak tak sempat habiskan. Jadi saya bawaan bahagian saya untuk awak.”
“Kalau
tu bahagian awak, maksudnya... awak tak makan lagi?”
Tom
senyum. Lepas tu dia menggeleng.
“Laaa...
awak tak makan langsung?”
“Ada
makan sikit. Saya habiskan nasi yang awak tak sempat habiskan tadi.”
Aku
ternganga. “Awak makan sisa saya??”
Tom
gelak. “Kalau saya tak makan, nanti membazir.”
Aku
sambut mangkuk tingkat yang dia hulur. “Awak tak patut buat macam tu. Bekas
saya pula awak makan. Err... awak tak rasa apa-apa ke?”
“Rasa
sayang... sayang awak...”
Aku
ketawa. “Tak... maksud saya, awak tak rasa jijik ke makan sisa saya tu?”
“Tak
adalah. Tapi sebaliknya, saya rasa sayang.”
“Sayang
saya?” Aku dah mula nak menggigil. Pelik-pelik sikap Tom tunjuk hari ni. Macam
ada something special aje.
“Tak...
sayang pada nasi tu kalau dibuang. Membazir...”
Cis.
Sengal punya Tom. Aku ingatkan dia betul-betul sayang aku. Kalau betul, alangkah
bahagianya hidup kalah pengantin baru. Dia baik, selalu cakap elok-elok dengan
aku. Bukan macam Encik Razlan tu. Dalam baik-baik Encik Razlan pun, dia selalu
tunjal dahi aku. Puas tunjal dahi, dia tonyoh kepala. Sangat tak patut. Nak aje
aku sumpah dia jadi sesumpah.
“Esok
awak kerja?”
“Tak.
Esok giliran saya cuti. Kenapa?”
Tom
garu hidung mancung dia. “Awak nak ikut saya pergi satu tempat?”
“Pergi
mana?”
“Main
sukan extreme.”
“Sukan
extreme? Sukan apa benda tu?”
“Wall
Climbing.”
“Wall
Climbing?” Aku gigit bibir bawah. “Oooo... yang panjat-panjat dinding tu, ya?”
Tom
senyum lagi. Alahai, janganlah asyik senyum aje. Betullah kata Puan Moi. Tom
memang hensem. Patutlah Puan Moi ada niat nak buat menantu. Tapi sayangnya, dia
tak ada anak perempuan. Boleh pula dia berhajat nak gantikan diri sendiri.
Angau sungguh Puan Moi.
“Ya.
Macam mana? Berminat?”
Aku
garu bawah mata. Memang aku minat kalau main sukan lasak. Lagipun, dah lama aku
tak bersukan. Selalunya main bola aje. Sesekali tukar acara best juga. Satu hal
lagi, sampai bila aku nak main bola dengan budak-budak lelaki kat kampung aku
tu? Macam tak semengah sungguh kehidupan aku sehari-hari.
Kat
kampung tu, mana ada anak dara lain main bola dengan lelaki selain aku? Bukan
ke tak semengah namanya tu? Anak siapalah ni? Entah-entah ayah pun malu nak
mengaku aku ni anak dia. Ish, tak baik
buruk sangka. Tak pasal-pasal tersedak orang tua tu kat rumah. Kang luruh
misai, aku tak nak tanggungjawab.
Aku
senyum lebar. “Nak!” Bersungguh-sungguh aku menjawab sampai melompat keterujaan.
Macam orang menang nombor ekor pun ada. Orang menang nombor ekor pun tak
melompat kalau menang sebab malu nak mengaku beli nombor ekor. Terutama sekali,
orang Melayu beragama Islam. Dah tahu benda tu haram tapi masih dibelinya juga.
Nak kaya cepat punya pasal. Tapi hasilnya tak berkat. Kalau beli barang, cepat
aje barangnya rosak. Kalau beli kenderaan, selalunya accident berkali-kali.
Kalau tak beli apa-apa yang berharga, duitnya cepat sangat habis. Sekali macam
air paip daaa...
“Petang
esok saya datang ambil awak.”
“Okey.”
Aku kenyit mata.
Tom
terperanjat. Dia melangkah setapak dua dan terus membongkok. Matanya sengaja
dibesarkan sambil merenung aku. “Awak sakit mata?”
Erk...
Tom ni. Segan sungguh aku bila dia tanya macam tu. Tapi sebab nak kontrol malu,
aku cuba cover line. “A’ah.. tiba-tiba mata saya gatal.” Nak tunjuk lakonan aku
real, aku gosok mata yang aku kenyitkan tadi berulang kali.
Tom
senyum lagi. Tapi senyum kali ni lain macam sikit. “Kalau awak kenyit mata,
maksudnya nak mengurat.”
“Hah?”
Aku buat-buat tak dengar. Adoi, malunya. Aku main-main aje. Bukan tak pernah
aku kenyitkan mata pada orang. Baik lelaki, perempuan, ayah, abang long, semuanya aku selalu buat. Aku kan,
suka bergurau senda. Tapi tak tahu pula Tom fikir ke lain.
Selesai
berbincang untuk aktiviti esok, Tom beredar. Dia ambil kotak pampers kosong
untuk dibuang. Rajinnya. Tak payah suruh-suruh. Bila aku kata dia rajin, pandai
dia menjawab. Katanya, dah memang itu kerja dia. Baguslah macam tu, kan? Sedar
diri yang dia budak stor.
Hik...
aku pun nak jadi jahat macam Encik Razlan ke? Sesuka hati mangkuk tingkat
berkarat aku aje bagi gelaran macam tu pada Tom. Kata dah insaf?
Bila
fikir balik pasal Encik Razlan, aku harap dia merajuk tak lama. Esok atau lusa,
okeylah tu. Nak harap aku yang pujuk, memang payah nauzubillah. Si Hannah yang
perempuan tu pun tak kuasa aku nak pujuk kalau kami bergaduh, ini kan pula Encik
Razlan yang lelaki tu. Jiwa keras, hati batu, mesti semua cukup lengkap.
Kalau
aku pujuk dengan bunga, mahu terkekeh-kekeh mamat tu gelakkan aku. Kalau aku
pujuk dengan kata-kata, tak pasal-pasal dia kata aku sewel pula. Lagi tambah
malang kalau dia tunjal lagi dahi aku. Dikatanya aku tiga suku, tak ke naya?
Mana tak tiga suku kalau aku pujuk lelaki dengan bunga? Mahu doktor hospital
sakit mental pun boleh mental nak ubatkan orang berpenyakit tiga suku. Aduhai,
apa nak buat ni? Nasiblah...
“Amalina,
jom ikut aku pergi Pasar Payang.”
Lorrr...
tak sempat aku nak tarik nafas sebab fikirkan Encik Razlan, suara dia dah
tembus cuping telinga aku.
Aku
berpaling. Serentak aku senyum lebar dengan mata kelip-kelip. Kononnya nak
ambil hati Encik Razlan yang mungkin masih bengang dengan aku. Alahai,
janganlah bengang-bengang lagi. Kan, dah hilang semua kehensemannya tu. Tak
pasal-pasal Mat Pet wujud semula.
“Nak
buat apa pergi sana?” Kura-kura dalam perahu. Pura-pura aku tak tahu. Padahal,
dari awal lagi dia cakap nak belikan aku tempoyak. Nak gantikan tempoyak aku
yang kena rompak tu.
Air
muka Encik Razlan nampak luar biasa. Tak macam biasa-biasa. Tak serius, tak
juga garang macam syaitonirrojim. Macam apa ek? Erm, macam lelaki yang nak
luahkan perasaan gitu. Eeewww... jangan nak perasan sangatlah, Amalina sengal. Tak
ada maknanya dia nak luah perasaan pada aku. Mengigau di siang hari ajelah.
Kalau
dia luah perasaan sekalipun, iman aku insya-Allah tak tergugat punya. See the
leg laa... Dahlah mulut laser, tangan pula tak reti duduk diam asyik nak tunjal
kepala aku aje. Dengan lelaki macam ni hati aku nak terkesan? Tak payahlah.
Sampai seratus tahun pun aku takkan bahagia.
Lainlah
Tom. kalau dia sebut huruf ‘O’ pun, perasaan aku dah jadi tak tentu arah. Syahdu
dan romantis bergabung menjadi satu. Bunga yang baru nak kembang mekar pun
boleh brek sekejap sebab kalah dengan feeling aku.
Eh,
apa benda aku melalut ni? Mengarut sungguh. Angau dengan Tom ke aku ni?
Uwaaa...
“Kau
lupa aku dah janji apa?”
“Encik
Razlan nak belikan saya tempoyak, kan?”
“Ingat
pun.”
“Tapi...
Encik Razlan dah tak marah saya lagi ke?”
“Kalau
aku marah, tak lama.”
“Betul
ke Encik Razlan dah tak marah ni?”
Dia
kecilkan mata. Macam tak puas hati aku ulang soalan sama. Aku tersengih
panjang. Buat-buat bodoh.
“Kau nak aku tunjal dahi kau lagi?”
“Eh,
tak... tak... tak nak dah. Alaa Encik Razlan ni. Saya minta maaflah pasal tadi.
Bukan saya tak boleh maafkan Encik Razlan. Anytime je boleh. Lagipun, Encik
Razlan dah banyak tolong saya. Takkan saya tak nak kenang budi.”
“Tahu
pun kau ek...”
“Tahuuu...”
“Dah,
hari ni kau balik pukul enam. Tak perlu tunggu sampai pukul 10.”
Aku
tercengang. “Semudah tu? Nanti apa kata Cik Najwa kalau tahu saya ponteng?”
“Apa
kau nak kisahkan dengan dia? Aku bos ke, dia bos?”
Aku
garu-garu belakang telinga. Encik Razlan ni angin sungguhlah. Sikit-sikit nak
marah. Aku ketuk kepala tu kang, pengsan! “Errr... Encik Razlan bos. Cik Najwa
penyelia. Saya kuli. Tom budak stor, Puan Moi, kak Priya, Anne, Encik Zubir,
Encik Choi...”
“Sudah.
Kau tak payah merepek panjang berjela. Sekarang, pergi tukar baju.”
“Yelah...”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan