“A |
DIB, makanlah sikit,” pujuk Hajah Zauyah. Air matanya tidak dapat ditahan melihat Adib langsung tidak menjamah sebarang makanan.
Ditambah dengan kehilangan anak perempuannya Alia, kesedihan yang datang bermukim tidak mampu diusirnya dalam masa terdekat.
“Mak bawalah semula makanan tu ke dapur.
Saya tak lapar.” Perlahan-lahan dia menapak ke arah jendela. Langsir diselak
sedikit kemudian ditutup kembali. Matanya tertumpu ke arah Dhia Sofi yang sedang
nyenyak tidur di atas katil.
“Jangan macam ni, Adib. Mak rasa, dah lima
hari Adib tak makan. Janganlah ikutkan sangat perasaan,” pujuk Hajah Zauyah
tidak putus asa. Simpatinya menebal untuk Adib yang dilihat lemah tidak
bermaya. Pemergian Alia betul-betul memberi kesan kepada Adib.
“Saya rindukan Alia.”
“Mak faham. Tapi, itu tak bermakna Adib
boleh menyeksa diri. Tak nak makan dan minum, sampai bila?”
“Sampai bila-bila...”
Hajah Zauyah menggeleng sambil
menyeka air mata dengan hujung lengan baju. Luluh hatinya mendengar jawapan
Adib.
“Mak tak sanggup tengok Adib macam ni. Mak
sayangkan Adib sama macam arwah Alia. Jangan seksa diri, nak.” Air mata Hajah Zauyah
makin deras turun. Pilu di hatinya tidak mampu dibendung lagi.
Adib diam. Air matanya sudah kering. Tetapi
kesedihannya, tiada siapa akan mengerti. Cinta dan kasihnya pada arwah Alia,
hanya Allah dan dia sahaja yang tahu.
Sekilas dia menoleh ke arah Sofi.
Pandangannya lama dibuang ke situ. Terubat sedikit hatinya walau cuma seketika.
Anak perempuannya itu benar-benar seiras arwah isterinya.
“Tak apalah kalau Adib tak nak makan
sekarang. Mak keluar dulu. Nanti makan, ya. Mak letak nasi kat sini,” ujar Hajah
Zauyah sambil berlalu.
Adib hanya memerhati langkah ibu mentuanya.
Dia tidak menyangka kasih sayang Hajah Zauyah kepadanya makin bercambah selepas
pemergian arwah Alia. Hajah Zauyah sentiasa mengambil berat.
“Papa…” Sofi tiba-tiba bersuara.
Adib menoleh dengan senyum tawar. Perlahan
dia menghampiri anak perempuannya. “Ya, sayang.” Kepala Sofi diusap penuh kasih
sayang.
“Mama mana?” tanya Sofi. Dia belum
mengerti atau terlupa yang ibunya kini tiada.
Adib terkunci mulut. Bagaimana dia harus menjawab
sedangkan lidahnya berat menyatakan kebenaran.
“Sofi nak makan?”
“Nak. Mama masak apa hari ni?” Sofi
bingkas bangun lalu duduk bersila.
Adib tersentap. Dia tunduk menahan rasa.
Mutiara jernih kini merembes semula.
“Papa nangis ke?” Sepasang tangan kecil Sofi
menyentuh lengan Adib.
“Tak, sayang.” Adib cuba sembunyikan air matanya.
“Habis tu, kenapa papa kesat mata?” Naif
soalan Sofi ajukan kepada Adib.
“Mata papa masuk habuk.”
“Masuk habuk?” Renungan Sofi membulat. Terkejut
mendengar jawapan Adib. Bagi kanak-kanak seusianya, masuk habuk ke dalam mata
adalah satu masalah yang sangat rumit.
Adib mengangguk. Senyuman tawar masih
terlakar di bibirnya.
“Kalau macam tu, biar Sofi tiup mata papa.”
Sofi melutut lalu menyentuh kelopak mata Adib dengan tangan kecilnya. Kemudian,
perlahan-lahan dia menghembus nafasnya ke situ.
Adib cuma membiarkan. Bertambah pilu
hatinya saat diperlakukan demikian. Lalu, ingatannya kembali pada arwah Alia
yang pernah melakukan perkara yang sama selepas matanya dimasuki habuk ketika
pulang dari tapak projek.
“Papa,” panggil Sofi apabila melihat Adib
berdiam diri.
“Papa,” panggilnya lagi tetapi Adib tetap
begitu. Langsung tiada tindak balas.
Sofi mula gelisah saat melihat air mata
Adib turun ke pipi.
“Nenek, atuk!” pekik Sofi.
Tergesa-gesa Hajah Zauyah dan Haji Man
meluru masuk.
“Ada apa, Sofi?” Hajah Zauyah segera
duduk di tepi katil.
“Papa nangis!” Jari telunjuk Sofi
tertala ke arah Adib.
Hajah Zauyah menoleh. Sayu lagi hatinya melihat
keadaan Adib.
Haji Man pula hanya mampu menggeleng. “Sudahlah,
Adib. Biarkan Alia pergi dengan tenang. Kita pula mesti teruskan hidup seperti
biasa. Jangan terlalu bersedih. Tak elok,” pujuk Haji Man lalu meletakkan
sebelah tangan ke bahu Adib.
“Saya tak boleh terima kenyataan. Saya
terlalu sayangkan Alia. Saya tak percaya dia dah tinggalkan saya dan Sofi,” luah
Adib sambil merenung Haji Man.
“Ada hikmahnya kenapa Allah ambil Alia
dulu sebelum kita. Kamu sabarlah dan usaha kuatkan diri. Kalau kamu tak boleh
terima kenyataan, ayah dan mak lebih lagi dari kamu,” nasihat Haji Man.
“Daripada kamu terus meratap, lebih baik
mengaji. Sekurang-kurangnya, kamu akan rasa tenang. Dengarlah nasihat ayah.” Haji
Man menggosok belakang Adib.
“Ayah tahu dah lima hari kamu tak sentuh
makanan. Jagalah kesihatan. Kamu kena kuat. Ayah tak nak kamu sakit nanti. Sofi
perlukan kamu. Kalau kamu tak sihat, siapa nak jaga dia? Dahlah Alia tak ada,
kamu pula tunjuk sikap macam ni depan dia. Kasihan anak kamu ni,” sambung Haji
Man.
Adib tunduk. Kata-kata Haji Man ada
benarnya. Kemudian, kepalanya diangkat semula lalu memandang Sofi di hadapan.
Anak kecil itu terkebil-kebil membalas renungannya.
Rasa bersalah terhadap Sofi kini bertamu.
Memang dia pentingkan diri kerana menurut kata hati sedangkan Sofi masih perlukan
perhatian. Sampai bila dia mahu tunjukkan kesedihan di hadapan Sofi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan