24 Mac 2016

Pesta Buku Pahang 2016



Pesta Buku Pahang 2016 bertempat di Kuantan Parade. Temui saya di Kuantan Parade pada 26/Mac/2016 dari jam 2 hingga 4 petang. Sila bawa novel-novel karya saya yang ada dalam simpanan anda untuk diturunkan tandatangan. Selain itu, anda berpeluang mendapatkan cenderahati berkonsepkan penyu dari saya, insya-Allah.

Jangan lupa temujanji kita, ya. :)

Terima kasih..

CERPEN : Semanis Madu



SURI meletak semula seikat sawi dalam kotak simpanan sayur. Perbualan Mak Intan dan kak Maz menarik perhatian untuk didengar lebih teliti. Kehadirannya di situ langsung tak disedari mereka. Sedangkan topik perbualan kedua-duanya bersangkut paut dengan suaminya, Khairil.
         “Betul ke apa yang Mak Tan cakap ni? Kalau tak betul nanti jatuh fitnah, tau.” Ragu-ragu kak Maz bertindakbalas dengan berita yang baru sampai ke telinga.
         “Aku nampak dengan mata sendirilah. Bukan dengar dari mulut orang. Tak sedar diri si Khairil tu. Bini dah ada dua, ada hati nak menambah lagi satu.” Bersungguh-sungguh Mak Intan menegaskan cerita yang dibawanya itu betul dan tak direka-reka.
         “Mak Tan nampak apa lagi? Kalau setakat nampak Khairil tumpangkan Aina naik kereta, takkan Mak Tan dah syak mereka ada apa-apa? Kita tak tahu kalau ada kecemasan ke...” Kak Maz masih was-was dengan cerita Mak Intan yang kononnya Khairil bercinta dengan Aina, seorang guru tadika yang mengajar di balai raya. Gadis itu baru saja berusia 21 tahun. Takkanlah boleh jatuh cinta dengan Khairil yang dah berumur 35 tahun tu? Lagipun mustahil Aina tak tahu Khairil dah ada dua isteri? Itu yang buat Kak Maz musykil dengan cerita Mak Intan.
         Suri yang berdiri di sebelah kak Maz masih memasang telinga. Dalam hati tak usah dikira marahnya dia pada Khairil. Terkumat-kumit mulutnya menghambur amarah dalam senyap. Dia tak boleh tinggal diam. Perkara ini mesti disampaikan kepada Jiha, isteri pertama Khairil.
         Tergesa-gesa Suri meninggalkan pasaraya itu. Kereta dipecut laju menghala ke rumah Jiha.
         “Kak!” Suri memanggil tanpa sempat memberi salam.
         “Akak kat belakang ni!”
         Mendengar saja suara Jiha dari arah belakang rumah, Suri tergesa-gesa menuju ke situ. Termengah dan tercungap dia menahan lelah.
Jiha yang baru selesai menjemur pakaian, pelik melihat tingkah Suri. “Kenapa ni Su? Macam kena kejar harimau!”
         Suri usap dada. Dia menelan liur. “Kak, abang Ril... dia nak kahwin lagi!”
         Jiha mencemik. Berkerut-kerut mukanya mendengar gosip di pagi hari. “Apa Su cakap ni? Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba cakap abang Ril nak kahwin lagi. Dia yang cakap sendiri ke atau Su dengar dari mulut orang?” Jiha menyimpan syak cerita dibawa Suri tidak betul. Dia kenal Khairil lebih daripada orang lain. 16 tahun mendirikan rumahtangga dengan Khairil, tak sekalipun Khairil tidak berlaku jujur dengannya. Nak kahwin dengan Suri pun, dia diberitahu. Bukan Khairil kahwin senyap-senyap. Lagipun alasan Khairil sangat kukuh dan dia sendiri mencadangkan Khairil kahwin dengan Suri untuk mendapatkan zuriat. Dia reda dengan perkara itu. Kalau dia tak ikhlas, sampai ke hari ini pun dia benci melihat wajah Suri dan masih menyimpan marah kepada Khairil.
         Suri menunduk seketika. Kedua-dua tangannya bermain sesama sendiri. Soalan Jiha buat dia terdiam kaku. Memanglah dia dengar dari mulut orang dan bukan Khairil sendiri yang memberitahu. Kalau jawapan itu diberi kepada Jiha, dah tentu Jiha akan senyum saja. Bukan dia tak kenal Jiha ni. Seorang yang tak mudah percaya dengan sesuatu berita kalau bukan dia sendiri yang melihat atau mendengarnya.
         “Su dengar Mak Tan dan kak Maz bergosip kat pasaraya tadi. Tak jadi terus Su nak beli sayur. Diaorang tak perasan Su ada kat situ. Su dengar Mak Tan kata, abang Ril tumpangkan Aina naik kereta tapi tak tahu pergi mana.”
         Jiha tersenyum nipis mendengar cerita Suri. Kain pelikat Khairil yang terakhir dijemur tadi, dikepit dengan pengepit baju. “Kan? Dengar dari mulut orang. Bukan Su sendiri yang nampak. Tak elok Su percaya kalau bukan dari mulut abang Ril sendiri. Abang Ril kerja kat office tu, cari rezeki untuk kita sekeluarga. Tapi kita kat sini, mengumpat pasal dia pulak. Su tak rasa bersalah ke?”
         “Su...” Suri menunduk lagi. Terkunci terus mulutnya dengan kata-kata Jiha.
         Jiha menggeleng melihat kebimbangan di wajah Suri. Dia faham perasaan Suri. Tentu Suri cemburu. “Dahlah tu. Su pergilah balik. Hari ni abang Ril balik rumah Su. Masak sedap-sedap untuk dia dan jangan sesekali Su tanya dia pasal hal tadi. Tentu abang Ril tak suka. Bukan dia saja tak suka, akak pun tak suka.”
         Suri mengeluh keras. Kalah dengan kata-kata Jiha. Kadang-kadang dia pelik dengan Jiha, tak ada perasaan cemburu langsung ke madunya itu?
         Sebelum Jiha melangkah masuk ke rumah, dia berpaling semula. “Fiqah mana?”
         Suri yang masih berdiri di tempat sama mula tercengang-cengang dan terkejut. Baru dia teringat Syafiqah ditinggalkan dalam kereta! Tak banyak soal, Suri terus berlari ke arah kereta yang diparkir depan halaman rumah. Pintu kereta segera dibuka. Syafiqah dah berpeluh satu badan! Mujurlah tak menangis. Jiha mengekori dan tergeleng-geleng melihat kecuaian Suri. Lekas-lekas dia mengambil syafiqah dari dukungan Suri.
         “Apa Su ni tinggalkan Fiqah dalam kereta. Tengok, sampai berpeluh budak ni.” Jiha membebel sambil menyapu dahi Syafiqah berulang kali. “Kalau abang Ril tahu ni, masaklah Su kena marah dengan dia.” Sambung Jiha lagi lalu memujuk Syafiqah yang hampir menangis.
         “Su lupalah, kak.”
         “Macam mana tak lupa, kalau asyik percaya dengan gosip tu aje. Hati Su tengah tak tenang tu. Tinggalkan saja Fiqah dengan akak hari ni. Petang nanti akak hantar.” Jiha membuat usul lalu membawa Syafiqah masuk ke rumah.
         Suri jongket bahu. Tak sempat nak membalas kata, bayang Jiha dan Syafiqah menghilang.
         Lauk pauk dihidang atas meja sambil mata melirik ke arah jam dinding. Suri termenung di meja makan sambil memikirkan gosip pagi tadi. Hati berbelah bahagi. Apabila Khairil pulang nanti, perlukah disoal atau membiarkan saja persoalannya tergantung tanpa jawapan? Kalau ikutkan hati, dia ingin bertanya kepada Khairil. Tetapi apabila mengenang semula nasihat Jiha, dia terus mati kutu.
         Pintu rumah ditolak dari luar. Suri ternganga. Suaminya dah balik! Dia berdeham keras. Berpura-pura tiada apa yang terjadi hari ini. Perlahan Suri bangkit dari kerusi dan berjalan ke arah Khairil yang duduk di sofa panjang. Khairil mendongak dan tersenyum kepadanya. Dia membalas ala kadar. Tak ada hati nak membalas senyum semanis gula untuk Khairil sekarang ini.
         Khairil yang melihat tingkah pelik Suri, mula betulkan duduk. Badan ditegak dan kedua-dua tangan Suri dicapai perlahan seraya mengarah Suri duduk di sebelah. Suri menurut dan keluhan kecil terlepas saat itu.
         “Abang dapat rasa ada yang tak kena dengan Su hari ni.” Khairil tidak menunggu lama menyatakan kemusykilannya terhadap Suri. Selalunya Suri tidak begini. Kalau dia pulang, pasti Suri menyambutnya dengan senyum manis. Tapi hari ni kenapa senyum Suri kelat semacam. Khairil pandang sekeliling dan mula perasan Syafiqah tiada. Selalunya di waktu-waktu begini, Syafiqah berada dalam buaian di ruang tamu. Buaian ada, cuma isinya kosong. “Anak kita mana?”
         “Dia di rumah kak Ji.”
         Khairil terangguk-angguk. Senyum lebar melatari wajahnya saat itu. Bahagia dengan kehidupannya sekarang. Rasa syukur hadir tak semena. Jiha dan Suri saling bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain. Anak pula boleh bertukar-tukar tempat tinggal. Oh, alangkah seronoknya kalau dapat menambah cawangan lagi satu. Sempat hatinya bergurau nakal.
         Suri mencebik dengan senyum lebar Khairil. Hatinya bengkak tiba-tiba. Macam ada maksud tersirat di sebalik senyum lebar itu. Ah, menyampah. Pasti senyum itu ada kaitan dengan gosip Mak Intan dan kak Maz. Suri mula mengandaikan perkara bukan-bukan. Senyum Khairil pula disalah tafsir.
         “Pagi tadi sebelum abang pergi office, abang pergi mana?” Suri dah mula nak jadi detektif tak bergaji. Nasihat Jiha tenggelam terus. Langsung diabaikan Suri.
         Dahi Khairil berkerut mendengar soalan itu. Namun, dia tidak mahu menipu. “Abang tolong hantar Aina pergi mengajar. Kenapa Su?”
         Muka Suri dah nampak bengang. Jadi apa yang dia dengar di pasaraya tadi, bukanlah fitnah semata-mata. Sekarang, Khairil sendiri mengakuinya. Huh... terlalu jujur suaminya ini. Langsung tak dijaga hatinya. “Abang ada apa-apa ke dengan budak Aina tu?” Perasaan ragu mula diluah dan tak diselindungkan lagi. Dia tak suka hipokrit. Dia bukan Jiha yang serba serbinya sabar dalam apa jua keadaan. 
         Khairil mula faham dengan tingkah tidak senang Suri petang ini. Dia tersenyum-senyum menyambut sikap cemburu Suri. “Abang tolong hantar dia tak semestinya abang ada apa-apa dengan dia. Su jangan fikir ke lain.”
         Suri masih tidak puas dengan jawapan Khairil. Dia betulkan duduk dan menghadap Khairil sungguh-sungguh. “Kalau dengan kak Ji, abang bolehlah nak tipu tapi bukan dengan Su.”
         Khairil garu kepala. Nampaknya soal jawab ini akan berpanjangan. Kejujurannya sebagai suami akhirnya mendapat curiga dari isteri keduanya ini. Alahai Suri... dia tak sama macam Jiha. “Selama 16 tahun abang jadi suami kak Ji, abang tak pernah bohong dia. Dan selama 3 tahun abang jadi suami Su, tak pernah abang tipu Su.” Khairil menegaskan. Naik rimas tiba-tiba dengan ketidakpercayaan Suri. Apatah lagi dia baru pulang dari tempat kerja. Letih belum hilang. Perut bergendang-gendang. Tekak juga haus. Suri pula mengajaknya berdebat. Melempar syak yang bukan-bukan.
         “Kalau betul abang suka budak Aina tu, terus-terang dengan Su. Sekarang abang dah ada dua isteri, tak mustahil akan ada yang ketiga. Lelaki macam abang, perempuan buta je tak terhegeh-hegeh.” Suri melampias perasaan geram. Sejak tadi ditahan-tahan. Marah yang berbuku, akhirnya terlepas depan Khairil. 
         Khairil picit dahi. Wajah lesu diraup seketika. Dia tidak mahu bergaduh dengan Suri disaat perutnya lapar dan tubuhnya letih. Dia bangkit dari sofa dan mula mengambil semula kunci kereta yang disangkut pada dinding.
         Suri nampak panik dengan tindakan Khairil. “Abang nak ke mana? Su belum habis cakap.”
         “Abang nak keluar ambil angin. Su layanlah fantasi Su tu...” mendatar suara Khairil memberi jawapan. Dia sebenarnya bukan nak keluar ambil angin. Tapi dia nak ke rumah Jiha. Kalau ada selisih faham dengan Suri, rumah Jihalah tempat tenangkan fikiran. Selalunya begitulah. Isteri pertama juga yang dicarinya kalau fikiran tengah runsing atau dibelenggu masalah kerja. Dia tak pernah mengadu masalah pada Suri. Kalau dia tak puas hati dengan Jiha sekalipun, dia simpan sendiri saja dan tak pernah diceritakan pada orang lain mahupun Suri.
         Jiha tersenyum melihat Syafiqah yang tidur nyenyak dalam buaian. Bukan susah nak mendodoikan anak tirinya itu. Pasangkan saja zikir-zikir dari telefon pintar, tak sampai 10 minit pasti Syafiqah terlelap sendiri.     
         Terdengar deruman enjin kereta yang cukup dikenali, wajah Jiha berkerut. Namun, dia tergeleng dan tersenyum kemudiannya. Dalam hati syak sesuatu. Pasti Suri tidak dapat menahan emosi dari bertanya soalan yang tercetus dari gosip Mak Intan dan kak Maz. Tahu sangat Suri tu. Cemburu madunya itu memang tak boleh ditahan-tahan.
         Khairil masuk ke rumah dengan muka cemberut. Jiha segera mendapatkan Khairil yang duduk menompang dagu di sofa. Dia tersenyum kecil melihat tingkah Khairil. Tahu suaminya bermasalah. “Ada problem dengan Su lah tu...” Jiha mengambil tempat di sebelah Khairil dan tak lupa menyelit sindirian. Bahu kanan suaminya disentuh perlahan.
         “Abang tak boleh selalu buat macam ni. Ada masalah dengan Su, terus abang balik rumah Ji. Nanti apa Su kata?”
         Lambat-lambat Khairil menoleh ke arah Jiha. “Ji pun nak membebel macam Su?”
         Suri melepas keluhan kecil. Rasa bersalah dengan kata-katanya tadi. Dah tahu Khairil bermasalah, kenapa dia sibuk hendak menambah. “Ji minta maaf. Okaylah... sekarang cakap kenapa abang balik sini. Hari ni kan giliran Su.”
         Khairil berdecit. Secara tiba-tiba dia jatuhkan kepala di bahu Jiha. Terlentok dia di situ umpama anak kecil yang ingin bermanja. Jiha tidak pelik melihat tingkah Khairil. Suaminya selalu begini. “Pagi tadi Su datang sini. Dia dah beritahu Ji semua yang dia dengar. Tapi Ji dah nasihatkan dia, jangan tanya abang apa-apa. Mungkin dia ada tanya abang pasal Aina, kan?”
         “Erm...” Jawab Khairil, malas.
         “Jadi sebab tulah abang balik sini, kan?”
         “Erm...” Sekali lagi Khairil menjawab malas.
         “Betul ke Aina naik kereta abang pagi tadi? Abang tolong hantar dia ke?” Akhirnya Jiha juga menyoal perkara serupa kepada Khairil. Dia pun malas menyimpan syak wasangka yang bukan-bukan. Baik dia dengar sendiri dari mulut Khairil. Tak adalah dia berburuk sangka.
         Khairil angkat kepala dan merenung lembut wajah Jiha. “Betul. Tapi abang tolong hantar saja. Tak ada niat apa-apa. Dari mana Su dapat tahu? Dia nampak abang ke pagi tadi?”
         Jiha senyum sebaris mendengar jawapan Khairil. Dia tahu suaminya bercakap benar. “Bukan Su yang nampak. Tapi orang lain. Dia cuma terdengar orang bergosip kat pasaraya. Terus dia datang sini mengadu pada Ji. Ji dah nasihatkan dia jangan percaya dengan khabar angin. Tapi abang tahu-tahu sajalah Su tu, bukan dia nak dengar cakap Ji ni. Lagipun dia masih muda, bang. Tentulah darah mudanya cepat sangat mendidih kalau dengar perkara macam ni.”
         “Hish... siapa pula yang bawa mulut ni. Memang tak sayang mulut betul. Kalau abang tahu siapa, abang akan berdepan dengan orang tu. Metang-mentanglah dalam taman perumahan ni, abang sorang saja berpoligami, ingat abang kemaruk dengan semua perempuan ke?” Marah Khairil tiba-tiba meletus.
         Jiha buat isyarat dua jari pada bibir. Meminta supaya Khairil tidak membuat bising. “Syyy... Fiqah tengah tidur tu. Perlahankan sikit suara abang.”
         Khairil tergeleng-geleng. Masih tidak berpuas hati lagaknya.

         “Abang pergilah balik rumah Su. Pujuk dia elok-elok. Fiqah tinggalkan dulu kat sini. Bila abang dah setel dengan Su, abang call Ji. Nanti Ji hantar Fiqah.” Jiha buat cadangan. Mana boleh suaminya bertindak begini setiap kali bergaduh dengan Suri. Tapi kalau bergaduh dengan dia, tak ada pula Khairil ke mana-mana. Tak ada pula balik ke rumah Suri. Pelik betul suaminya ni. 


Bersambung...