“AMALINA,
baik kau keluar sekarang!”
Suara makcik Mon memetir dari luar
rumah. Aku kuncikan pintu. Jangan harap aku nak keluar.
Peluh meleleh di pipi, aku kesat
dengan lengan baju. Phew! Penat main bola.
“Amalina, kau dengar tak ni? Aku
kata keluar, keluarlah!” Pekik makcik Mon lagi.
Aku rasa suara makcik Mon tu dah tak
payah pakai mikrofon, kut? Satu kampung boleh dengar suara dia macam guruh
berdentum-dentum tu.
“Keluarlah, budak tomboy!”
kacip gigi. Sakit telinga dengan gelaran
makcik Mon bagi. Apa hak dia nak desak aku sampai macam ni sekali? Ini dah
dikira menceroboh kawasan rumah orang. Banyak cantik muka dia panggil aku
tomboy?
“Ooo... kau tak nak keluar, ya. Tahu
kau buat salah, jadi kau takut nak keluarlah, kan? Kalau kau berani sangat, mari
berdepan dengan aku!”
Sabar, Amalina. Dia kata aku buat
salah? Dia tak tahu ke anak lelaki dia yang mulakan? Anak dia sepak kaki aku.
Bodoh punya Mat Unggeh. Orang lain sepak bola. Dia sepak kaki orang.
Kalau dah kaki bangku, tak payah
sibuk-sibuk nak main bola. Bila kaki aku sakit, dah tentu aku balas dendam. Aku
sepak kaki dia balik. Tapi tak sangka kaki dia boleh terseliuh. Sempat lagi
mengadu kat mak dia. Lelaki apa macam tu? Sikit-sikit mengadu. Huh... dasar
anak mak!
“Lebih baik kau keluar, Amalina sebelum
aku mengadu kat bapak kau!”
Cit... nak mengadu konon. Mengadu
ajelah. Ingat aku hairan?
“Inilah akibat kalau anak perempuan
dibesarkan tak ada mak. Orang lain semua ada mak. Dia sorang je tak ada. Bila
dibesarkan dua orang lelaki, dia yang perempuan boleh jadi macam jantan. Sepak
kaki anak orang, macam orang tu tak ada mak bapak. Baik kau keluar, Amalina!”
Haih... ini dah lebih. Melampau
sungguh nampaknya makcik Mon ni. Dasar mentimun. Siap kau.
Kasar aku pulas tombol pintu. Dengan
eksyen aku turun. Satu per satu aku pijak tangga rumah dengan penuh gaya. Macam
model sedang memperaga pakaian atas pentas.
“Makcik Mon cakap baik-baik sikit.
Tak payah sebut-sebut saya tak ada mak.”
“Hah, keluar pun kau, ya!”
“Dah tentu saya akan keluar. Saya
bukan pengecut macam Mat Unggeh. Jadi lebih baik saya berdepan aje dengan
makcik. Saya tak buat salah. Buat apa nak takut?”
“Apa kau panggil anak aku? Mat
Unggeh? Aku punya susah payah carikan nama baik-baik, sedap-sedap je kau
gelarkan dia Mat Unggeh? Hei budak ni memang betul-betul nak kenalah!”
“Apa makcik Mon nak buat dengan
saya?”
“Kau dengar sini baik-baik, Amalina.
Anak aku tu namanya Iskandar Zulkarnain, tau!”
Aku mencebik panjang sedepa.
Iskandar Zulkarnain konon. Nama bukan main macam raja tapi perangai punya haram
macam zombie Kampung Pisang. Mat rempit, kaki pecah rumah, semua duk tang dia
belaka. Iskandar Zulkarnain... pigidah!
“Saya tak hairan dengan nama
Iskandar Zulkarnain. Macam bagus sangat anak makcik Mon tu. Dahlah tak kerja.
Suka menyusahkan orang kampung. Apa ada pada nama? Tak ada apa-apa.” Aku
melawan. Biar dikatakan biadap. Kalau orang tua macam makcik Mon ni, memang tak
payah sangat aku nak hormat. Dahlah suka mengumpat. Suka jaga tepi kain orang.
Tepi kain sendiri koyak rabak tak perasan.
“Ah, sekarang ni aku tak nak dengar
apa kau cakap. Aku nak tahu, kenapa kau sepak kaki anak aku?”
“Apesal dengan kaki Mat Unggeh tu?
Dah patah ke? Atau dah tercabut? Nak saya telefon ambulans?” Aku menyindir.
Merah padam aku tengok muka makcik Mon. Benganglah tu.
“Heee budak ni memang betul-betul
menyakitkan hatilah. Sekarang kau cakap dengan aku apa sebab kau sepak kaki
Zul?”
“Sebab dia sepak kaki saya dulu.”
“Kenapa dia sepak kaki kau pulak?”
“Alaa.. biasalah kitorang main bola
tadi. Sepak, terajang, tendang tu dah perkara biasa.”
“Kalau dah tahu perkara biasa,
kenapa kau balas balik?”
“Suka hati sayalah.”
“Amboi sedapnya kau bercakap. Kau
ingat kaki Zul tu kaki Doraemon ke boleh ditukar-tukar? Eh, kau tahu tak bola
sepak tu sesuai untuk orang lelaki aje. Kau tu perempuan. Permainan kau cuma
bola jaring, congkak, guli, batu seremban. Hah, itu permainan sesuai untuk
kau!”
Aku sengetkan mulut. Apa punya
kolotlah makcik Mon ni. Orang dah tak main congkak, guli dan batu seremban tu.
Dia ingat ni tahun gajah ke?
“Eh eh eh... nampaknya makcik Mon
dah ketinggalan zaman. Sekarang ni tak kira lelaki ke perempuan ke, semua boleh
main bola. Cuba tengok kat tv tu, kan ke ada bola sepak perempuan?”
“Itu dalam tv. Diorang bertanding.
Macam kau, main bola dengan budak-budak lelaki dalam kampung ni aje. Kau ingat
sesuai ke? Hah? Ish, Sudahlah. Aku balik dulu. Bertekak dengan orang macam kau
ni, tahun depan pun tak habis.”
“Eloklah kalau makcik Mon dah nak
balik. Jaga rumahtangga lagi bagus. Bukan apa, tadi saya nampak pakcik Min berbual
dengan janda berhias kat kampung kita ni. Ermmm... siapa nama dia? Hah, kak
Tuti.”
Makcik Mon bercekak pinggang.
Mukanya merah padam macam udang kena panggang.
“Kau cakap apa tadi? Pakcik Min
berbual dengan janda Tuti?”
Aku mengangguk. Dah penat nak
berbalas kata dengan makcik Mon lagi.
“Kurang asam punya orang tua. Jaga
kau. Aku balik nanti, siap kau!” Makcik Mon menyinsing lengan baju hingga ke
paras lengan. Bersinar-sinar gelang emas menampakkan bayang. Ini kalau kena
ragut, mahu koma 40 hari kat hospital.
Aku ketawa berdekah-dekah sejurus
makcik Mon menghilangkan diri. Nasib kaulah makcik Mon berjodoh dengan pakcik
Min yang gelenyar tu. Aku tak buat fitnah. Aku beritahu apa yang aku nampak
aje. Sempat lagi tu pakcik Min buat isyarat supaya aku tak pecahkan rahsianya.
Tapi sebab makcik Mon datang cari pasal dengan aku dulu, sorrylah aku nak
simpan rahsia tu lagi.
“Masuk, angah.”
Erk... suara ayah! Lambat-lambat aku
berpaling. Ayah tercegat di pintu sambil bercekak sebelah pinggang. Mukanya
serius macam pembaca berita tv9.
“Baik, ayah.” Aku akur dengan
arahan.
“Tanggalkan topi tu. Dah macam
lelaki.” Ayah memberi arahan lagi. 300 biji macam pegawai kastam.
Aku garu pipi dan tanggalkan topi.
“Pergi mandi. Dah macam pengemis.
Baju kotor, seluar kotor, muka pun kotor. Orang lain pun main bola. Tapi tak
ada kotor berkubang macam angah.” Ayah urut misai. Kalau orang kata dia
adik-beradik dengan sarjan misai dalam drama Gerak Khas, mesti orang percaya.
“Yelah. Nak pergi mandilah ni.”
“Kejap.”
“Apa lagi, ayah?”
“Abang long kamu mana?”
Aku panjangkan leher. Cuba mengintai
ke luar rumah mencari kelibat abang long. “Dia tak balik lagi eh?”
“Kalau dia ada kat rumah, tak adalah
ayah tanya angah.”
Aku garu kepala. Betul jugak. “Tadi
abang long ada main bola dengan kitorang. Lepas tu lesap. Ingatkan dia dah
balik.”
Ayah makin rakus urut misai. Susah
sangat kalau anak lelakinya sorang tu tak nampak muka. Apa yang ayah nak
kisahkan sangat pada abang long tu. Dia dah dewasa apa. Bukan budak-budak lagi.
Tahulah dia jaga diri. Aku ni lainlah, perempuan. Memang patut kalau ayah
kontrol 24 jam.
“Dia pergi jumpa kak Liza roti telur
kut?”
Ayah jegilkan mata. “Hish... angah
ni. Suka sangat bagi gelaran pada orang. Patutlah si Mon tu marah sangat angah
panggil Mat Unggeh kat anak dia.”
Aku tutup mulut menahan gelak.
“Alaa.. angah gurau aje.Takkan nak bergurau tak boleh? Lagipun, kak Liza kan
suka makan roti telur. Sesuailah gelaran tu untuk dia.”
“Sudah, angah. Pergi mandi. Lepas tu
kita solat maghrib sama-sama. Dah solat, kita makan malam. Ayah ada masak
tomyam tadi.”
Terbeliak aku bila ayah sebut pasal
tomyam. “Waaa... cayalah ayah. Ni yang angah sayang lebih kat ayah ni!”
“Esok, angah tak payah main bola
dengan budak-budak lelaki tu lagi.”
“Kenapa pulak, ayah?”
“Kamu tu panas baran. Pantang silap
sikit, mulalah berdendam. Apa yang berlaku hari ni, jadikan pengajaran.”
“Tapi ayah. Bukan salah angah pun.
Si Zul yang mengada-ada lebih sangat. Mengadu kat mak dia pulak. Takkan dia tak
tahu mak dia spesis apa dalam kampung ni? Suka sangat cari gaduh dengan orang.”
Aku tak puas hati sungguh kalau setiap kali terlibat dengan masalah, mesti ayah
salahkan aku.
“Angah pun sama saja macam Zul. Ayah
tak nak sebelahkan sesiapa. Kalau dua-dua salah, memang patut dua-dua kena
marah.”
Aku mencebik. Okey, kalau betul
dua-dua salah, kenapa makcik Mon marah aku sorang aje? Jangan harap dia nak
marah Mat Unggeh sekali. Maklum ajelah, anak lelaki sorang. Tunggal pulak.
Sanggup ke makcik Mon nak jentik anak sendiri? Tahu nak jentik anak orang aje.
Nasib baik makcik Mon lebih tua dari aku. Kalau tak, dengan dia sekali aku
belasah.
“Fikir apa lagi tu? Pergi mandi
cepat.”
“Yelahhhh...”
Hailaaa... nasib akulah ada
kehidupan macam ni. Kalau ada mak, mesti aku tak jadi macam ni, kan? Aku sedih
ke, aku kecewa ke, mesti aku dapat luahkan pada orang yang benar-benar faham.
Maksud aku, sesama perempuan. Tapi kalau dengan ayah dan abang long, aku jadi
segan nak mati untuk berkongsi cerita. Jadi, aku lebih banyak simpan sendiri.
Dalam kampung ni, tak ada perempuan
nak kawan dengan aku. Maklumlah, cara aku berpakaian tak sama macam mereka. Aku
tak pandai nak make up. Tak pandai nak pakai baju cantik-cantik, ketat-ketat
dan seksi-seksi. Aku tak pakai tudung belit-belit. Boleh dikatakan, semua hal
berkaitan dengan dunia perempuan, aku tak reti langsung. Kalau mereka cakap
pasal fesyen terkini, aku tahu nganga ajelah.
Tapi... aku cuma ada sekeping hati.
Hati seorang perempuan. Hilang akal apa kalau aku tak ada naluri macam
perempuan lain. Aku pun suka tengok lelaki kacak. Suka tengok orang kahwin,
bersanding atas pelamin. Aku suka semua tu. Tipu cakap kalau aku tak suka.
Dari kecil aku dibesarkan ayah. Di
rumah, aku hanya kawan dengan abang long. Dialah tempat aku bergaduh,
bertumbuk, belasah dan segala-galanya dialah. Ayah didik aku secara kasar. Dah
macam tentera komunis.
Dari zaman kanak-kanak, ayah selalu
belikan aku pakaian dan permainan lelaki. Aku tak main anak patung macam budak
perempuan lain. Aku tak reti main masak-masak, pondok-pondok. Aku cuma tahu
main lori dan kereta polis yang ada bateri.
Kadang-kadang aku suka berkubang
dalam tali air dengan kawan-kawan lelaki. Itu hal zaman kanak-kanaklah. Tapi
sekarang aku dah besar. Umur dah 24. Tak ada dah aku nak berkubang dalam tali
air. Tak pasal-pasal orang kata aku buang tabiat nak mati pulak. Hilang akal
apa kan, umur macam aku masih nak buat perangai tak semengah tu? Alamatnya
andartulah aku seumur hidup.
BOSANNYA.
Hari ni aku terpaksa jadi penunggu perniagaan keluarga yang diusahakan ayah
beberapa tahun lalu. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya aku ada kerja daripada
jadi penganggur terhormat. Contoh macam Mat Unggeh. Kerjanya hari-hari mengira
waktu. Esok Ahad, lusa Isnin.
Apa yang seronok kerja kat kedai
telefon bimbit ni, aku dapat topup free sepuluh ringgit tiap minggu. Gaji
bulanan ayah ada bagi jugak. Walau tak banyak, tapi bolehlah setakat nak beli
apa aku nak.
Abang long juga membantu ayah
uruskan kedai kerana ini merupakan mata pencarian utama keluarga kami.
“Angah tolong tengok-tengokkan
kedai, ya. Abang long nak balik rumah. Rasa macam tak sihat.”
“Abang long demam ke?” Kalau boleh,
aku tak nak jaga kedai ni sorang-sorang. Malas bertembung dengan Mat Unggeh.
Mana tahu kalau dia tak puas hati pasal semalam. Nanti tak pasal-pasal dia cari
aku kat sini.
“Entahlah. Rasa macam seram sejuk
aje badan ni.” Abang long peluk tubuh. Mukanya nampak pucat. Dah macam muka
atok zombie.
Memang betul dia demam agaknya. Aku
ingatkan olok-olok aje. Mana tahu kalau dia nak curi tulang keluar dengan
tunang dia kak Liza roti telur tu.
Sengaja aku bagi gelaran macam tu
pada tunang dia. Kalau singgah mana-mana kedai makan, kak Liza selalu pesan
roti canai telur. Aku tengok muka dia pun dah sebiji macam tepung kena uli.
“Okeylah. Abang long pergilah balik.
Sebelum tu angah nak tanya, ayah pergi mana?” Baru aku perasan, ayah tak nampak
muka sejak pagi tadi. Entah ke mana ayah pergi.
“Ayah ke bandar. Pergi ambil stock
handphone baru. Nanti angah tolong bereskan semua, ya.”
Ooo.. Pergi bandar rupanya. Ambil
stock telefon bimbit baru? Wah, bagusnya. Boleh aku bodek ayah dapatkan sebiji
telefon bimbit baru. Handphone aku guna sekarang, entah zaman bila punya
handphone aku tak tahu. Dah macam handphone zaman pak kaduk. Mungkin dah layak
aku campak dalam semak belakang rumah Mat Unggeh.
“Okey.” Aku menggangguk sambil
tersengih. Sengih ada makna ni. Sengih nak dapat telefon bimbit baru.
Abang long hidupkan enjin motosikal
125z birunya dan terus blah.
Aku terkebil-kebil. Ingat seronok ke
jaga kedai ni sorang diri? Tak best langsung. Kalau ada abang long, boleh aku
borak dengan dia. Bergaduh ke, bertumbuk ke, wrestling ke...
Beep.. beep!
Aku raba poket seluar. Ada whatsapp
kiriman daripada Hannah. Inilah satu-satu perempuan sudi kawan dengan aku. Tapi
aku kurang selesa kawan dengan dia. Entahlah... aku anggap dia semacam.
Katanya, dengan perempuan je dia suka kawan. Lebih-leboh lagi dengan aku.
Dia tak suka kawan dengan lelaki.
Katanya lagi, lelaki boleh rosakkan dia. Tapi perempuan tak boleh. Yelah, kalau
kawan dengan lelaki jahat, memanglah boleh merosakkan. Cuba kawan dengan lelaki
baik-baik. Muka stok masjid ke, kompem tak menjahanamkan punya. Itu daripada
pemikiran aku sendiri la. Hahaha... memandai aje aku buat penilaian.
Entah-entah lelaki muka stok masjid lagi teruk punya perangai.
Hannah tu kalau duduk sebelah aku,
asyik nak bertempek aje. Bila orang lain tengok semacam, aku tak selesa. Nanti
tak pasal-pasal aku dituduh songsang. Lesbian ke, pengkid ke.. haiyyo.. minta
simpang. Aku straight okey!
Aku baca whatsapp Hannah.
I miss you beb!
Itu aje dia beritahu aku? Ingat nak
belanja makan ke apa. Malaslah aku nak balas. Biarlah macam tu aje.
Beb! I miss youlah.. kau baca x ni?
Sekali lagi Hannah whatsapp. Tak
puas hati nampak? Sampai dua kali dia taip isi yang sama. Ish... ni nak balas
ke tak? Kalau tak balas, dialah satu-satunya kawan perempuan aku ada. Tapi
kalau balas, aku nak taip apa? Takkan nak cakap rindu jugak kat dia? Haru kut?
Thank’s sebab rindukan aku.
Akhirnya aku balas jugak. Bukan apa.
Nak jaga hati dia punya pasal. Nanti dia tak nak kawan dengan aku. Bukan aku
tak tahu Hannah tu. Sensitif!
I love you beb!
Allah... ini dah lebih. Aku tepuk
dahi. Whatsapp terakhir Hannah tu, aku biarkan aje tak berbalas.
“SYOHHH,
syohhh... hoi budak tomboy. Ambil
balik ayam kau ni. Habis berak dalam rumah aku!”
Apa benda
kecoh sangat kat luar tu? Bunyi macam masalah besar je. Aku tutup tv dan terus
menjengah ke luar jendela. Ish... makcik Mon lagi.
“Kenapa
makcik Mon memekik ni? Macam mana ayam kami boleh masuk dalam rumah makcik Mon
pulak? Lagipun reban ayam kat belakang rumah tu, ayah selalu tutup apa.”
“Hah, ni
dia. Bukan ayam kau ke ni, hah? Nah,
Ambil balik!” Makcik Mon mengangkat tinggi ayam yang ditangkap. Tapi entah
macam mana, ayam tu berak pula atas kepala dia.
Aku ketawa.
Makcik Mon terbelalak.
“Kau ni,
betul-betul menyusahkan orang. Kau tengok sekarang apa ayam kau dah buat atas
kepala aku ni?” Makcik Mon lepaskan ayam yang sudah tinggalkan sisa toksik cair
atas kepalanya. Ada beberapa tompokan hitam dan putih. Kelabu pun ada. Cairan tu
meleleh pula hingga ke bahu.
Terkedek-kedek ayam tu lari belakang
rumah meninggalkan makcik Mon yang dah bertukar muka naga. Tiba-tiba telinga
makcik Mon keluar asap. Mulutnya keluar api. Matanya merah. Pap! Aku tepuk
dahi. Berkhayal terlebih had.
“Baik kau turun sekarang, Amalina.
Aku betul-betul dah marah ni!”
“Kenapa makcik Mon marah saya pulak?
Bukan salah saya pun kalau ayam tu berak atas kepala makcik Mon. Makcik Mon
yang cari pasal, kan?”
“Aku nak kau turun sini dan minta
maaf dengan aku!”
Aku mencebik. “Malaslah saya nak
turun. Hal kecik aje pun. Pasal ayam pun nak gaduh ke? buat-buatlah insaf
makcik Mon oi!” Segera aku tutup jendela. Malas nak layan Makcik Mon yang
kerjanya asyik nak meroyan aje.
Hal kecik pun nak dibesar-besarkan.
Macam dah tak ada kerja lain nak buat. Elok sangatlah tu. Kalau anak kaki pecah
rumah, kaki rempit dan segala kaki lagi, mak pulak kaki gaduh. Sesuai sangatlah
jadi anak-beranak. Hah, tambah satu lagi. Pakcik Min tu kaki gelenyar. Ha ha
ha...
Senyap dan sunyi sepi. Agaknya,
makcik Mon dah baliklah tu. Padan muka. Macam ni ajelah cara nak mengajar dia.
Jangan layan kemarahan dia. Buang masa dan buang tenaga.
AKU
termenung jauh fikirkan kehidupan sendiri. Bukan kata aku tak bahagia atau
kehidupan aku tak best. Cuma, kadang-kadang aku terfikir. Kenapa makcik Mon tak
suka sangat pada aku. Selalu cari kesalahan aku walaupun hal tu kecik aje.
Adakah disebabkan perwatakan aku
macam ni? Kalau betul, apa yang dia sakit hati sangat? Aku bukan anak dia. Ayah
dan abang long pun tak cakap apa-apa. Tak komplen apa-apa sebab mereka tahu aku
macam mana. Mereka lebih kenal hati budi aku bagaimana. Memang ya aku kasar.
Kelakuan aku macam lelaki. Berpakaian pun macam lelaki. Rambut pendek bukan
main. So, what’s the problem with the makcik? Meroyan tak
sudah-sudah. Tengok, BI aku pun dah lintang pukang.
“Hai encik kacak!”
Kus semangat! Adoi si minah jawa ni
tak reti betul nak bagi salamlah. Aku baling pen pada Hannah. Dia pantas
mengelak. Pen jatuh ke lantai dan terus Hannah mengutipnya.
“Kau apehal panggil aku macam tu?”
Hannah mencebik panjang sedepa. Dah
macam muncung itik. “Dah memang kau kacak, kan? Aku panggillah macam tu.”
“Kau ni dah tak betul ke? Aku ada
namalah. A.m.a.l.i.n.a!” Satu per satu aku eja nama sendiri biar Hannah sedar
diri sikit.
“Ah, tak kisahlah. Janji kau
hensem.”
“Hensem mangkuk kau.”
“Whatever.
Erm... jom keluar, nak?” Hannah melentok ke sisi bahu.
Aku buat muka nak muntah. Parah
betul minah ni. Nak goda kaum sendiri pulak. “Aku tak boleh keluarlah. Aku kena
jaga kedai ayah aku ni.”
“Abang long kau kan, ada? Suruhlah
dia jaga.”
“Mana boleh macam tu? Kesianlah kat
dia nanti. Dia pun nak rehat jugak. Nak solat zuhur, asar, nak makan tengahari.
Kalau tak ada aku, siapa nak gantikan dia?”
“Alaaa... pleaseee... kita dah lama tak keluar.” Rengek Hannah.
Kelakuan dia buat aku rasa nak jolok
tekak sendiri. Sempat lagi tu dia pegang tangan aku. Kalau pegang free tak apa. Ini siap bergosok lagi.
Eee... geli aku.
Segera aku lepaskan tangan dipegang
dan digosok Hannah. Minah jawa ni betul-betul dah melampau tahap babun kena
tembak dengan senapang gajah. Ini yang buat aku seram sejuk aje nak keluar
dengan dia. Konflik identiti betul minah ni. Tak tahu ke aku ni perempuan sama
macam dia? Apa yang aku ada, dia pun ada. Ah, parah sungguh.
“Kau betul-betul tak nak keluar
dengan aku ni?”
“Kalau betul pun kenapa?”
“Okey, putus kawan!” Hannah peluk
tubuh. Sengaja tarik muka masam depan aku.
Konon merajuklah tu. Macamlah aku
nak pujuk sangat. Tak kuasa aku nak pujuk. Nanti makin naik tocang pulak.
Hannah hentak kaki. Hah sudah... apa
hal pulak ni? Tak pernah dia buat pe’el perangai macam unta tak cukup zat
vitamin macam ni.
“Kau kenapa ni, hah? Dah macam
budak-budak tadika?”
“Kau tak nak pujuk aku ke?”
“Nak buat apa aku pujuk kau?”
“Kau ni memang betul-betul hati
keringlah. Kenapa kau tak nak faham perasaan aku?”
“Faham perasaan kau? Apehal pulak
aku nak faham perasaan kau ni?”
“Heee... susahlah bercakap dengan
kau. Kalau kau tak nak keluar dengan aku. Okey, fine. Sampai sini saja kita couple.
Kita putus, okey?”
Aku melopong. Couple?? Putus?? Bila masa pulak aku couple dengan dia? Sah, minah jawa ni pun meroyan macam makcik Mon
jugak.
Aku berdecit kasar. Kalau tak pujuk,
tak keluar dengan Hannah, nanti lain pulak jadinya. Lagipun, dia satu-satunya
kawan yang aku ada. Kalau tak ada dia, mahu sunyi 14 jam. Yelah, siapa nak kawan dengan perempuan macam aku ni, kan?
Cuma Hannah sajalah teman aku berborak. Tempat meluahkan rasa.
Aku tanggalkan topi. Mengeluh
sekejap. Fikir macam mana nak buat. “Okeylah. Kau tunggu sekejap, boleh?”
Hannah pantas tersenyum. Matanya
bersinar. Wajahnya ceria bukan main. Sukalah tu.
Aku ambil buku nota. Sehelai kertas
aku koyakkan. Sengaja aku malas nak whatsapp abang long. Nanti dia banyak tanya
dan taip panjang-panjang macam karangan.
Kepada abang long cicak kobeng,
angah nak balik.
Tak sihat.
Demam
mengejut.
Sekian..
Pfffttt... entah apa-apalah aku
kelentongkan abang long tu. Ah, biarkan ajelah. Lagipun, bukan dia tak pernah
kelentongkan aku. Kalau nak dikira dengan jari, dia lebih banyak lagi menipu.
Selamat menjaga kedai sorang diri ye abang long. Ha ha ha...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan