SEBELUM masuk bilik, aku terpandang satu sampul surat warna putih atas meja. Jelas tertera nama aku di situ. Memang aku punyalah ni. Takkan jiran sebelah rumah aku si makcik Mon langsuir yang punya pulak.
Urusan
kerajaan? Surat apa ni? Bila masa aku berurusan dengan kerajaan? Jangan-jangan
surat saman tak? Ish, tak pernah aku buat
kesalahan pada negara.
Aku
koyak sampul surat dan tercengang-cengang. Macam tak percaya. Aku dapat kerja di syarikat pembinaan? Temuduga kerja sebagai
kerani yang aku pergi hari tu, kira berjayalah.
Wah,
seronoknya. Walaupun hanya sebagai kerani, tapi aku tetap bangga. Ini sebagai
langkah mengelak dari Hannah yang
kerjanya asyik datang kedai nak jumpa aku. Siang tadi rimas sungguh aku dengan minah jawa tu. Kerjanya paut lengan
aku aje. Katanya, takut tengok filem hantu dari Thailand tu. Menyesal aku ikut
dia tengok wayang tadi. Aku tahu, dia sengaja buat-buat takut. Saja ambil
kesempatan peluk aku.
Dengan
perasaan teruja, aku meluru ke dapur untuk kongsi kegembiraan dengan ayah.
Waktu macam ni, mungkin ayah tengah masak.
“Ayah!” Aku menyergah dari belakang.
Ayah urut dada. Sorry, tak sengaja.
“Apa
angah ni? Nak suruh ayah mati cepat?” Ayah pukul bahu aku dengan senduk.
Aku
tersengih. “Ish, ayah ni. Ke situ pulak.” Makin lebar aku tayang sengih sambil
menunjuk surat tawaran kerja.
“Surat
apa ni?”
“Angah
dapat kerja kat syarikat pembinaan tu, ayah!”
“Kerja
kerani angah mintak dulu ke?”
“Ya!”
Ayah
tengok aku dari atas sampai bawah. Dia mencebik. “Kerja kerani saja sampai
teruja gini sekali?”
“Alah
ayah ni. Padanlah dengan kelulusan STPM tak seberapa angah dulu. Ayah macam
pandang rendah aje.” Aku tarik muka.
“Bukan
ayah pandang rendah. Jangan salah faham. Erm, dah beritahu abang long?”
“Belum.
Nanti angah beritahu dia.”
“Kalau
angah kerja kat situ, kedai kita macam mana? Takkan nak harapkan abang long sorang?”
Aku
mencebik. Masalah kecik macam tu pun ayah tak boleh fikir. “Alaaa... ayah ni.
Abang long uruskan dengan ayah ajelah nanti. Kalau angah tak ada pun, tak apa.
Lagipun kedai tu bukan sibuk sangat.”
Ayah
garu dagu. Tengah berkira-kiralah tu. “Erm, yalah. Nanti ayah fikir.”
“Tak
payah fikir lagi. Ayah setuju ajelah, eh. Cakap aje ayah setuju. Please, ayah.” Aku goncang lengan ayah.
Ayah
garu kepala dengan hujung senduk. “Ayah bimbang takut angah kena buli.”
“Siapa
berani nak buli angah? Cuba ayah cakap. Kalau
berani, angah karate dia cukup-cukup.” Berani nak buli aku? Ini
Amalinalah...
“Jangan
cakap besar. Nanti kena buli betul-betul baru tahu.” Ayah tunjal dahi aku.
Tertolak
kepala aku ke belakang. Aku berdecit kasar. Muncung ni toksah kira berapa
panjang aku buat.
“Kenapa
beria-ia angah nak kerja kat luar? Cuba cakap...”
Adoi...
ayah minta sebablah pulak. Takkan nak beritahu aku nak mengelak dari Hannah?
Nanti apa ayah fikir?
Kusutlah macam ni. “Angah cuma nak
ubah angin di samping cari pengalaman. Bolehlah, ayah...”
“Hish...
susah ayah nak buat keputusan. Angah tak biasa kerja dengan orang. Ayah kenal
sangat angah ni. Bukan angah suka terima arahan. Apatah lagi kerja di syarikat
besar. Macam-macam karenah manusia angah akan jumpa nanti.”
Aku
buat muka toya. Lemah semangat bila ayah cakap macam tu.
Sebelah
tangan ayah naik atas bahu kanan aku. “Angah sungguh-sungguh nak kerja tu?”
Aku
angguk aje. Malas nak bersuara. Tunjuk protes pun ye jugak ni.
“Baiklah.
Angah boleh kerja.”
Yes,
akhirnya... bukan susah berurusan dengan Haji So’od ni. Sekali aku buat muka
sedih, seribu kali dia setuju.
BUKAN
tugas mudah minta izin dari ayah supaya benarkan aku kerja di
luar. Ayah macam tak rela aku kerja tempat lain. Dia nak aku sentiasa ada depan
mata dia.
Ish, mana boleh. Aku dah dewasa.
Bukan budak-budak yang harus dipantau setiap masa. Sampai bila aku nak kerja
dengan ayah? Kalau selalu macam tu, bila aku nak pandai berdikari?
Oleh
sebab terlalu banyak fikir, aku tak sedar kaki aku dah cecah garisan putih di
bahu jalan. Lalu pula sebuah kereta bergerak laju hampir-hampir nak bergesel dengan aku.
Pantas
aku melompat ke tepi. Tayar belakang kereta tu langgar kelopak air. Melayang
air ke udara sebelum mendarat kejam atas kepala aku!
“Oi... kenapa biadap sangat, hah? Habis basah baju aku!”
Kuat
sangat berkhayal. Tengok apa dah jadi. Aku dah smart-smart siap nak pergi kerja, nak tunggu bas depan sana,
sudahnya jadi macam ni. Memang betullah malang selalunya tak berbau. Tak sempat
aku nak hidu.
Biadap
betul pemandu kereta tu. Kalau tak tahu memandu, jangan buat lesen kereta.
Menyusahkan orang aje!
Aku
sapu muka. Kemeja dan slack aku pakai, sebahagiannya basah kuyup. Macam mana
aku nak pergi kerja dengan pakaian macam ni?
Aku
tengok depan. Kereta yang nyaris langgar aku tadi berhenti. Seorang lelaki
keluar.
Tengah
sibuk aku kibas baju dengan sampul berisi surat tawaran kerja, lelaki yang
keluar dari kereta tadi datang menegur. “Encik okay? Tak ada apa-apa, kan?”
Erk...
dia panggil aku ‘encik’? Excuse me..
encik?
Okey... aku tak boleh salahkan dia. Cool, Amalina. Bukan salah dia kalau aku
berpakaian macam ni. Dengan rambut
kontot lagi, memanglah dia akan panggil aku ‘encik’.
Aku
perhatikan dia dari atas sampai bawah. Orangnya berkulit cerah, rambut lurus
sedikit panjang di belakang. Berbadan kurus dan memiliki sepasang mata kuyu
macam mata ‘mat pet’ (penagih dadah).
Mungkin
usianya dalam lingkungan awal 30-an. Tinggi orangnya. Keturunan pokok kelapa, kut.
Mukanya berjambang. Memang hancus.
Nampak selekeh betul.
Dari
mana dia datang? Dari tong sampah ke apa? Kereta nampak mahal. Mesti orang kaya
ni. Tapi kenapa selekeh benor? Dah tak rupa orang. Aku rasa kucing lagi smart
dari dia.
“Okey
awak kata? Awak tak nampak saya dah basah kuyup ni? Rabun ek!” Aku cekak pinggang. Hati aku panas.
Kalau
betul dia orang kaya, peduli apa aku. Entah betul entahkan tidak. Jangan-jangan
kereta pinjam. Ada kebanyakan orang memang suka berlagak. Poket kosong tapi
bergaya bukan main. Macam kata orang Perak. Bior
pape asal bergaye.
“Saya
minta maaf. Driver saya tak sengaja.”
Erk! Driver? Memang sah dia orang kaya. Kali ni
aku tersilap.
Ah, aku tak peduli. Walaupun orang
kaya, ada aku kisah? “Tak sengaja konon. Panggil driver awak datang sini.” Jari telunjuk aku gerak-gerakkan depan
mata dia.
“Kenapa
nak panggil driver saya?” Dia buat muka pelik dan itu menambahkan lagi selekeh
pada muka dia.
Aduhai,
dari planet mana datangnya makhluk berdiri depan aku ni? Mukanya tak ubah macam
suami yang baru kematian isteri. Agaknyalah.. “Untuk minta maaf dengan sayalah.
Untuk apa lagi? Banyak tanya pulak.” Aku membebel.
“Kan, saya dah minta maaf bagi pihak dia.” Sambil
bercakap, dia membongkok.
Macam
perli aku aje. Pendek sangat ke aku ni? Aku rasa aku dah cukup tinggi dah.
Kalau Hannah jalan sebelah aku, dia tu paras dada aku aje. Mamat ni pulak siap
membongkok lagi cakap dengan aku. Maknanya, dia ni memang tingi betullah.
“Awak tak faham bahasa, ya. Saya
cakap, panggil driver awak tu datang
sini. Dia yang patut minta maaf dengan saya. Bukan awak.” Aku berdegil dan tak
mahu kalah.
Harapkan
pakaian aje berjenama mahal tapi muka langsung tak dijaga dengan baik. Aku
pelik. Hish... buat apa nak pening kepala fikir benda tak penting?
“Macam
nilah, biar saya bayar ganti rugi untuk pakaian encik.”
Aku mencebik. Jangan mimpi aku akan
termakan dengan ganti ruginya tu.
Ini
Amalina, tau. Bukan Siti Intan Payung yang lemah gemalai macam sotong. “Saya
bukan nak minta ganti rugi. Saya nak driver awak datang minta maaf aje!”
Hot betul aku dengan orang tak faham Bahasa
Melayu ni. Kalau aku cakap Korea nanti baru padan muka dia.
“Jangan
macam ni, encik. Saya dah minta maaf bagi pihak dia. Sekarang, biar saya
bertanggungjawab. Ikut saya ke Shopping
Complex, saya akan belikan pakaian baru untuk encik.”
Kata-kata maaf keluar dari mulutnya
tu macam ikhlas tapi aku tak nak ambil
peduli.
Dahlah
driver dia buat salah, sekarang dia
macam nak hina aku pulak? Ingat aku sengkek sangat ke tak boleh beli baju
sendiri?
“Jangan
fikir sebab awak orang kaya, banyak duit, mudah-mudah nak persendakan orang.
Saya tak hadap dengan duit awak. Simpan ajelah!”
Dia
terkebil-kebil tengok aku dan mengeluh sambil badan ditegak semula. Alamak, dia
macam marah aje.
“Tolonglah,
encik. Saya nak cepat. Ada hal penting dan tengah kejar masa. Encik kena ikut
saya sekarang.”
Dia paut lengan aku tapi cepat-cepat
aku rentap semula.
Dahlah
buat salah, suka hati dia aje nak mengarah orang. “Awak fikir orang lain tak ada hal penting ke?
Orang lain tak kejar masa? Awak tahu tak, awak dah sia-siakan masa saya? Hari ni
hari pertama saya kerja. Kalau saya lambat, apa bos saya akan cakap?!”
“Encik,
dengar sini. Saya nak cepat. Sekarang,
tolong ikut saya!”
Tangan
aku ditarik kasar. Dia heret aku menghampiri kereta. “Hei, apa ni? Sakitlah!”
Aku rentap tangan aku semula.
Dia
merenung tajam. Mata yang kuyu macam ‘mat
pet’ dah tak ada lagi. Serta-merta bertukar jadi mata raksasa. “Masuk!”
“Hah?”
“Saya
kata masuk!”
Pintu
kereta terbuka luas. Lelaki yang aku tak kenal ni tiba-tiba tolak aku dengan kasar. Apa
lelaki ni nak sebenarnya? Boleh ke aku percaya? Tolong, aku kena kidnap!
NAMPAKNYA
aku dah salah sangka. Aku ingatkan dia nak buat jahat. Memang betul dia bawa
aku ke pusat beli belah.
Pemandunya berhentikan kereta depan
pintu besar. Eleh dia ni. Tahulah orang kaya. Tapi agak-agaklah. Ikut suka hati
mak nenek dia aje berhentikan kereta kat sini. Langsung tak ikut peraturan. Nak
kata tak ada parking, kiri kanan aku
tengok parking berlambak yang kosong.
Pelik.
Pintu besar pusat beli belah tak buka lagi. Aku tengok jam. Masih terlalu awal
sesebuah pusat beli belah nak mulakan operasi. Sekarang baru pukul 8.15 pagi.
Ish, dia ni nak mainkan aku ke apa?
Pintu
kereta dibuka. Dia senyum nipis dan menyuruh aku keluar.
Aku
akur tapi teragak-agak. Berkali-kali aku tunduk kat dia. Dah macam orang Jepun.
Dalam kepala timbul macam-macam soalan. Nak aje aku tanya sesuatu tapi
mulut berat nak bersuara.
Dia
berjalan laju. Aku terhegeh-hegeh di belakang. Beg galas masih setia di bahu. Sampul
berisi surat tawaran kerja aku peluk
kuat-kuat.
Dia
melangkah pantas. Aku terpaksa berlari anak. Tiba di pintu masuk bahagian tepi
bangunan, dia berhenti.
Dia
senyum dan keluarkan telefon bimbit. Aku pasang telinga. Dia hubungi seseorang
dan memberi arahan.
Aku
tercegat macam patung. Tak sudah-sudah dia senyum sambil perhati gelagat aku. Was-was
betullah dia ni. Macam suspen aje. Entah apa dia nak buat. Tadi bukan main
beria-ia nak gantikan semula pakaian aku. Tup-tup, dibawanya aku ke pusat beli
belah yang belum memulakan perniagaan. Betul ke tak mamat ni? Tak waras agaknya. Pelik aku.
Lima
minit berlalu, seorang lelaki separuh abad keluar sambil tersenyum. Tangan
dihulur untuk bersalam dan terus disambut mat pet. Lebih senang aku panggil dia
‘mat pet’ sebab aku tak tahu nama dia. Satu lagi gelaran baru aku bagi pada
orang. Laju sungguh mulut aku ni.
“Encik
Razlan kenapa datang? Sepatutnya Encik Razlan masih berehat di rumah.” Lelaki
itu menyoal mat pet.
Oh...
rupanya nama mat pet ni, Razlan. Pandai-pandai aje aku panggil dia mat pet.
Namanya ringkas dan senang dipanggil.
“Saya
bosan, Pak Man. Makin lama saya rehat kat rumah, makin kusut fikiran saya.
Lebih baik saya kerja macam biasa.”
“Kalau
nak kerja, kenapa awal sangat Encik Razlan datang? Biasanya Encik Razlan datang
pukul 10.”
“Saya
memang sengaja datang awal.”
Lelaki
yang dipanggil ‘Pak Man’ tu mengangguk berkali-kali. “Pak Man minta maaf
sebab tak datang masa pengkebumian. Pak
Man kena pergi hospital untuk check tahap
kesihatan.”
“Tak
apalah, Pak Man. Jangan risau. Saya faham.” Mat Pet tepuk perlahan bahu Pak Man.
Aku tengok Mat Pet ni macam friendly
aje. Mesra alam gitu.
Tapi,
pak Man ada sebut pasal pengkebumian. Pengkebumian siapa?
Selesai
berbual dengan mat pet, Pak Man beredar.
Mat
pet pelawa aku masuk. Aku akur tanpa banyak soal dan perasaan curiga dengan
keikhlasan mat pet dah tak ada lagi. Aku percaya dia dari golongan orang
baik-baik.
Aku
tengok kiri kanan. Beberapa orang pekerja sedang menyusun barang-barang.
Masing-masing bertungkus lumus bukan main rajinnya. Aku tengok pun dah naik
semangat.
Ada antara mereka berhenti buat
kerja bila mat pet lalu depan mereka. Ada yang beri salam dan ucap selamat pagi
pada mat pet. Mak ai, aku dah rasa macam orang penting bila jalan sebelah mat
pet. Bangga sekejap.
Siapa
mat pet di kalangan mereka? Penyelia ke? Pengurus ke? Atau tuan punya pusat
beli belah ni?
Gulp... aku telan liur.
Terkulat-kulat aku berfikir sendiri.
Mat
pet jawab salam dan balas semula ucapan ‘selamat pagi’ sambil mengangguk berkali-kali.
Aku
mula tak selesa bila tengok segelintir pekerja berbisik sesama sendiri. Aku tak
berani nak angkat muka dan cuma berjalan sambil tunduk. Manalah tahu kalau ada
yang kenal aku.
Lagipun,
ada juga orang kampung aku kerja di sini. Kalau ada yang nampak aku dengan mat
pet, mahunya kecoh nanti. Sampai ke telinga makcik Mon, haru birulah jawabnya.
Tak pasal-pasal dia canang satu planet. Aduhai...
Mat
pet senyum lagi. Apa hal dia ni? Asyik senyum aje dari tadi? Mental ke? Kata
nak gantikan baju aku. Hah, gantilah cepat.
“Awak
ni kenapa, hah? Tengok saya lain macam?”
“Kau
ni... perempuan, kan?” Mat pet garu dagu dan tunjuk muka ragu-ragu.
Erk...
dia dah tahu. Tadi ber’encik. Sekarang ‘kau’ pulak. Kalau dah tahu perempuan,
panggillah ‘cik’. Apalah dia ni. “Kalau perempuan, kenapa? Salah?”
Mat
pet ketawa. Eh, maksud aku... Encik Razlan. Dah tahu kan, nama dia siapa. Buat
apa nak panggil mat pet lagi.
“Tak
salah. Tapi... cara kau berpakaian buat orang keliru. Aku ingatkan lelaki.
Rupanya perempuan. Perempuan yang cantik tapi sayang... kecantikan terselindung
dengan cara berpakaian. Dahlah rambut pendek.”
Amboi
dia ni. Dah macam pakar kaunseling. “Saya suka pakai macam ni. Rasa lebih
selesa. So, apa masalahnya dengan awak?”
Dia
jongket bahu. Macam malas nak berdebat.
“Kau
pilih baju mana sesuai. Aku tunggu kat pejabat. Kalau nak cuba dulu, masuk ke
bilik tu.” Jari telunjuk Encik Razlan naik ke satu arah.
Aku
menggangguk faham.
“Awak..
err.. maksud saya.. En.. Encik Razlan.” Alahai... aku jadi penyegan yang
amatlah pulak.
“Ada
apa-apa lagi kau tak puas hati dengan aku?”
“Tak.
Bukan macam tu. Saya cuma nak tahu, Encik Razlan sebenarnya siapa? Pusat beli
belah ni Encik Razlan punya ke?”
“Aku
tak perlu jawab soalan kau.”
Sombongnya.
Aku tanya pun tak boleh ke. Masa kat tepi jalan tadi bukan main bahasakan diri
dengan panggilan ‘saya.’ Sekarang ‘aku’ pulak? Apa-apa ajelah Encik Razlan
oi...
“Okaylah.
Nampaknya aku kena mulakan sesi perkenalan. Nama aku Razlan. Emperial Golden Shopping Mall ni milik
ayah aku tapi sekarang dia dah bersara dan tak mahu libatkan diri dengan dunia
perniagaan lagi. Sekarang, aku yang ambil alih. Tolong kenalkan diri kau pulak.
Aku tak suka berurusan dengan orang asing.”
Eleh...
kerek betul mamat ni. Aku dah agak.
Mesti Encik Razlan orang penting kat sini. Hah, sudah. Apa aku nak jawab dengan sikap biadap aku tunjukkan tadi?
Silap hari bulan, aku dapat saman malu dari Encik Razlan sebab memalukan dia di
tempat awam.
“Amalina.
Nur Amalina.” Aku jawab dan tundukkan muka. Kalau tadi bukan main samseng aku.
Sekarang menikus pulak.
“Cantik
nama kau. Secantik sikap garang yang kau tunjukkan tadi. Okey, kau boleh tengok-tengok
dulu baju mana kau nak. Aku tunggu kat office.
Sepuluh minit lagi aku datang.”
“yelah...”
Encik
Razlan beredar dan tinggalkan aku dengan perasaan geram. Sempat dia sindir aku.
‘Cantik nama kau. Secantik sikap garang yang kau tunjukkan tadi’. Grrr...
Tak
berlengah, aku terus melilau ke bahagian pakaian formal untuk wanita. Wanita
pun wanitalah. Janji aku berpakaian sudah. Tapi semua mahal nauzubillah. Tak
ada yang murah ke?
Satu
per satu aku belek tapi langsung tak sesuai dengan aku. Kalau untuk setiausaha
berimej seksi, boleh la. Setakat nak kerja kerani cabuk aje, takkan aku nak
pakai baju macam ni? Mahunya terbeliak biji mata ayah dan abang long nanti.
Aku
dekati seorang jurujual sedang menggantung pakaian. “Assalamualaikum, kak. Saya
nak pilih baju.”
Dia
berpaling dan tunjuk muka pelik. Manis orangnya. Berkulit cerah putih melepak
macam kuih tepung gomak “Waalaikumussalam. Macam mana cik boleh? Pintu besar tak
buka lagi.”
“Saya
datang dengan mat pet. Eh.. dengan Encik Razlan.” Aku tepuk mulut sendiri. Tersasul
sebut gelaran ‘mat pet’.
Mulut
jurujual tu ternganga. Kalau aku sumbat microphone,
tentu muat.
“Ooo..
gitu ye. Ada apa-apa saya boleh bantu?”
“Macam
ni... saya nak beli baju sesuai untuk ke pejabat. Tapi tak nak baju macam kat
sana tu.”
Cik
jurujual teranguk-angguk macam faham aku tak suka baju seksi. “Apa kata kalau
saya tunjuk baju-baju kurung yang baru sampai semalam.”
Baju
kurung? Aduh... naya betul. Tentu dia tahu aku perempuan. Tajam mata jurujual
ni. Bukan macam Encik Razlan. Awal-awal dah tertipu dengan penampilan aku.
Tapi kan, tak naklah aku baju
kurung. Tak pernah aku pakai baju kurung, tau. Kalau hari raya pun aku pakai
jeans dengan t.shirt bodoh aje. Ini tiba-tiba nak pakai baju kurung. Hilang
akal apa.
“Errr.. baju kurung ek? Ermmm...
bolehlah...” Aku terpaksa setuju.
Dalam keadaan gawat macam ni, tak boleh cerewet sangat. Entah macam mana rupa
aku bila pakai baju kurung nanti. Mesti macam makcik-makcik.
Cik
jurujual bawa aku ke bahagian baju-baju tradisional. Tercengang aku tengok
pakaian tu semua. Corak dan warnanya sangat cantik. Kan aku dah kata, aku ni
nampak aje macam lelaki tapi kalau tengok benda cantik, aku pun teruja.
Betul ke
Encik Razlan nak bayar ni? Aku gigit bibir. Masih berkira-kira. Eleh, dia bayar ke? Sesuai ke perkataan
‘bayar’ tu untuk dia? Pusat beli belah ni kan, dia yang punya. Nak bayar konon.
“Terima kasih. Nanti saya pilih
sendiri, ya. Cantik betul baju-baju kurung kat sini.”
“Sama-sama.
Biasalah cik. Tengoklah siapa tuan punya tempat ni. Citarasanya tinggi.
Semuanya nak yang cantik-cantik aje.” Dia senyum dan terus sambung kerja tergendala.
Aku
tengok tanda harga baju kurung warna merah jambu. Mak ai.. Dua ratus lima
puluh? Ish, tak mahulah aku. Mahal sangat ni. Tentu ada yang lebih murah.
Aku
cari lagi. Semua harga melebihi dua ratus lima puluh. Tiga ratus, empat ratus.
Aduhai... mintak nyawa.
Aku
tengok jam. Dah pukul 8.30 pagi. Lagi 30 minit aku ada masa. Kalau terlewat
macam mana? Hari pertama kerja dah pandai buat hal. Ingat apa? Company bapak aku punya ke?
Ah, tak
kisahlah. Dah terpaksa. Aku ambil baju kurung warna merah jambu dan terus masuk
bilik persalinan.
Beberapa
minit berlalu, siap. Perghhh... memang tercipta sejarah baru aku pakai baju
kurung hari ni. Warna merah jambu pulak tu. Feminin sangat. Ayu gitu.
Aku
keluar dari bilik persalinan dan berhenti bila terpandang sebuah patung wanita
yang diletak berhampiran cermin besar.
Aku
tengok aje patung tu. Entah macam mana dalam fikiran terbayang muka Encik
Razlan. Aku mula bercakap seorang diri. “Tolonglah, encik. Saya nak cepat ni.
Saya ada hal penting dan kejar masa. Encik
kena ikut saya sekarang!”
Aku tiru
gaya percakapan Encik Razlan ketika kejadian percikan lopak air tadi.
“Eleh... Macam dia sorang je nak
cepat, kejar masa. Aku macam mana? Tak kejar masa jugak ke? Ish, sengal betul
mat pet tu. Bila sampai sini, tak ada pulak aku nampak dia kejarkan sesuatu?”
“Mentang-mentang
orang kaya, berlagak. Pakai baju kot, kemeja, tali leher, seluar slack, pemilik pusat beli belah besar
macam ni, ingat aku hairan sangatlah, ya.” Aku membebel seorang diri.
“Ehem,
ehem... dah habis?”
Erk...
rasa macam nak tercekik tulang dinasour bila aku dengar suara tu.
Aku
berpaling. Alamak, Encik Razlan! “Haa... Err...”
Dia
tengok aku dari atas sampai bawah. Macam mana agaknya rupa aku sekarang. Dengan
baju kurung buat aku rasa gatal-gatal ni, dengan rambut pendek. Aduhai tak
selesa betullah.
“Jom
aku hantar kau pergi kerja.”
“Err..”
“Jom.
Nanti kau terlambat, kena marah dengan bos, aku pula yang kau marah.”
“Err
saya.. saya...” Tak sempat aku nak minta maaf sebab dah kutuk dia, dah ejek cara
dia bercakap, dia dah berjalan laju.
Aku hanya
mampu tarik nafas sampai hidung kempis dan mancung macam patung tadi. Agaknya
dia dengar tak apa aku bebelkan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan