10 Mac 2016

ENCIK PENGACAU ~ BAB 2






SEBELUM masuk bilik, aku terpandang satu sampul surat warna putih atas meja. Jelas tertera nama aku di situ. Memang aku punyalah ni. Takkan jiran sebelah rumah aku si makcik Mon langsuir yang punya pulak.
            Urusan kerajaan? Surat apa ni? Bila masa aku berurusan dengan kerajaan? Jangan-jangan surat saman tak? Ish, tak pernah aku buat kesalahan pada negara.
            Aku koyak sampul surat dan tercengang-cengang. Macam tak percaya. Aku dapat kerja  di syarikat pembinaan? Temuduga kerja sebagai kerani yang aku pergi hari tu, kira berjayalah.
            Wah, seronoknya. Walaupun hanya sebagai kerani, tapi aku tetap bangga. Ini sebagai langkah  mengelak dari Hannah yang kerjanya asyik datang kedai nak jumpa aku. Siang tadi rimas sungguh aku  dengan minah jawa tu. Kerjanya paut lengan aku aje. Katanya, takut tengok filem hantu dari Thailand tu. Menyesal aku ikut dia tengok wayang tadi. Aku tahu, dia sengaja buat-buat takut. Saja ambil kesempatan peluk aku.
            Dengan perasaan teruja, aku meluru ke dapur untuk kongsi kegembiraan dengan ayah. Waktu macam ni, mungkin ayah tengah masak.
“Ayah!” Aku menyergah dari belakang. Ayah urut dada. Sorry, tak sengaja.
            “Apa angah ni? Nak suruh ayah mati cepat?” Ayah pukul bahu aku dengan senduk.
            Aku tersengih. “Ish, ayah ni. Ke situ pulak.” Makin lebar aku tayang sengih sambil menunjuk surat tawaran kerja.
            “Surat apa ni?”
            “Angah dapat kerja kat syarikat pembinaan tu, ayah!”
            “Kerja kerani angah mintak dulu ke?”
            “Ya!”
            Ayah tengok aku dari atas sampai bawah. Dia mencebik. “Kerja kerani saja sampai teruja gini sekali?”
            “Alah ayah ni. Padanlah dengan kelulusan STPM tak seberapa angah dulu. Ayah macam pandang rendah aje.” Aku tarik muka.
            “Bukan ayah pandang rendah. Jangan salah faham. Erm, dah beritahu abang long?”
            “Belum. Nanti angah beritahu dia.”
            “Kalau angah kerja kat situ, kedai kita macam mana? Takkan nak harapkan abang long sorang?”
            Aku mencebik. Masalah kecik macam tu pun ayah tak boleh fikir. “Alaaa... ayah ni. Abang long uruskan dengan ayah ajelah nanti. Kalau angah tak ada pun, tak apa. Lagipun kedai tu bukan sibuk sangat.”
            Ayah garu dagu. Tengah berkira-kiralah tu. “Erm, yalah. Nanti ayah fikir.”
            “Tak payah fikir lagi. Ayah setuju ajelah, eh. Cakap aje ayah setuju. Please, ayah.” Aku goncang lengan ayah.
            Ayah garu kepala dengan hujung senduk. “Ayah bimbang takut angah kena buli.”
            “Siapa berani nak buli angah? Cuba ayah cakap. Kalau  berani, angah karate dia cukup-cukup.” Berani nak buli aku? Ini Amalinalah...
            “Jangan cakap besar. Nanti kena buli betul-betul baru tahu.” Ayah tunjal dahi aku.
            Tertolak kepala aku ke belakang. Aku berdecit kasar. Muncung ni toksah kira berapa panjang  aku buat.
            “Kenapa beria-ia angah nak kerja kat luar? Cuba cakap...”
            Adoi... ayah minta sebablah pulak. Takkan nak beritahu aku nak mengelak dari Hannah? Nanti apa ayah fikir?
Kusutlah macam ni. “Angah cuma nak ubah angin di samping cari pengalaman. Bolehlah, ayah...”
            “Hish... susah ayah nak buat keputusan. Angah tak biasa kerja dengan orang. Ayah kenal sangat angah ni. Bukan angah suka terima arahan. Apatah lagi kerja di syarikat besar. Macam-macam karenah manusia angah akan jumpa nanti.”
            Aku buat muka toya. Lemah semangat bila ayah cakap macam tu.
            Sebelah tangan ayah naik atas bahu kanan aku. “Angah sungguh-sungguh nak kerja tu?”
            Aku angguk aje. Malas nak bersuara. Tunjuk protes pun ye jugak ni.
            “Baiklah. Angah boleh kerja.”
            Yes, akhirnya... bukan susah berurusan dengan Haji So’od ni. Sekali aku buat muka sedih, seribu kali dia setuju.


BUKAN tugas mudah minta izin dari ayah supaya benarkan aku kerja di luar. Ayah macam tak rela aku kerja tempat lain. Dia nak aku sentiasa ada depan mata dia.
Ish, mana boleh. Aku dah dewasa. Bukan budak-budak yang harus dipantau setiap masa. Sampai bila aku nak kerja dengan ayah? Kalau selalu macam tu, bila aku nak pandai berdikari?
            Oleh sebab terlalu banyak fikir, aku tak sedar kaki aku dah cecah garisan putih di bahu jalan. Lalu pula sebuah kereta bergerak laju hampir-hampir nak  bergesel dengan aku.
            Pantas aku melompat ke tepi. Tayar belakang kereta tu langgar kelopak air. Melayang air ke udara sebelum mendarat kejam atas kepala aku!
            “Oi... kenapa biadap sangat, hah? Habis basah baju aku!”
            Kuat sangat berkhayal. Tengok apa dah jadi. Aku dah smart-smart siap nak pergi kerja, nak tunggu bas depan sana, sudahnya jadi macam ni. Memang betullah malang selalunya tak berbau. Tak sempat aku nak hidu.
            Biadap betul pemandu kereta tu. Kalau tak tahu memandu, jangan buat lesen kereta. Menyusahkan orang aje!
            Aku sapu muka. Kemeja dan slack aku pakai, sebahagiannya basah kuyup. Macam mana aku nak pergi kerja dengan pakaian macam ni?
            Aku tengok depan. Kereta yang nyaris langgar aku tadi berhenti. Seorang lelaki keluar.
            Tengah sibuk aku kibas baju dengan sampul berisi surat tawaran kerja, lelaki yang keluar dari kereta tadi datang menegur. “Encik okay? Tak ada apa-apa, kan?”
            Erk... dia panggil aku ‘encik’? Excuse me.. encik?
Okey... aku tak boleh salahkan dia. Cool, Amalina. Bukan salah dia kalau aku berpakaian  macam ni. Dengan rambut kontot lagi, memanglah dia akan panggil aku ‘encik’.
            Aku perhatikan dia dari atas sampai bawah. Orangnya berkulit cerah, rambut lurus sedikit panjang di belakang. Berbadan kurus dan memiliki sepasang mata kuyu macam mata ‘mat pet’ (penagih dadah).
            Mungkin usianya dalam lingkungan awal 30-an. Tinggi orangnya. Keturunan pokok kelapa, kut. Mukanya berjambang. Memang hancus. Nampak selekeh betul.
            Dari mana dia datang? Dari tong sampah ke apa? Kereta nampak mahal. Mesti orang kaya ni. Tapi kenapa selekeh benor? Dah tak rupa orang. Aku rasa kucing lagi smart dari dia.
            “Okey awak kata? Awak tak nampak saya dah basah kuyup ni? Rabun ek!” Aku cekak  pinggang. Hati aku panas.
            Kalau betul dia orang kaya, peduli apa aku. Entah betul entahkan tidak. Jangan-jangan kereta pinjam. Ada kebanyakan orang memang suka berlagak. Poket kosong tapi bergaya bukan main. Macam kata orang Perak. Bior pape asal bergaye.
            “Saya minta maaf. Driver saya tak sengaja.”
            Erk! Driver? Memang sah dia orang kaya. Kali ni aku tersilap.
Ah, aku tak peduli. Walaupun orang kaya, ada aku kisah? “Tak sengaja konon. Panggil driver awak datang sini.” Jari telunjuk aku gerak-gerakkan depan mata dia.
            “Kenapa nak panggil driver saya?” Dia buat muka pelik dan itu menambahkan lagi selekeh pada muka dia.
            Aduhai, dari planet mana datangnya makhluk berdiri depan aku ni? Mukanya tak ubah macam suami yang baru kematian isteri. Agaknyalah.. “Untuk minta maaf dengan sayalah. Untuk apa lagi? Banyak tanya pulak.” Aku membebel.
             “Kan, saya dah minta maaf bagi pihak dia.” Sambil bercakap, dia membongkok.
            Macam perli aku aje. Pendek sangat ke aku ni? Aku rasa aku dah cukup tinggi dah. Kalau Hannah jalan sebelah aku, dia tu paras dada aku aje. Mamat ni pulak siap membongkok lagi cakap dengan aku. Maknanya, dia ni memang tingi betullah.
“Awak tak faham bahasa, ya. Saya cakap, panggil driver awak tu datang sini. Dia yang patut minta maaf dengan saya. Bukan awak.” Aku berdegil dan tak mahu kalah.
            Harapkan pakaian aje berjenama mahal tapi muka langsung tak dijaga dengan baik. Aku pelik. Hish... buat apa nak pening kepala fikir benda tak penting?
            “Macam nilah, biar saya bayar ganti rugi untuk pakaian encik.”
Aku mencebik. Jangan mimpi aku akan termakan dengan ganti ruginya tu.
            Ini Amalina, tau. Bukan Siti Intan Payung yang lemah gemalai macam sotong. “Saya bukan nak minta ganti rugi. Saya nak driver awak datang minta maaf aje!”
            Hot betul aku dengan orang tak faham Bahasa Melayu ni. Kalau aku cakap Korea nanti baru padan muka dia.
            “Jangan macam ni, encik. Saya dah minta maaf bagi pihak dia. Sekarang, biar saya bertanggungjawab. Ikut saya ke Shopping Complex, saya akan belikan pakaian baru untuk encik.”
Kata-kata maaf keluar dari mulutnya tu macam ikhlas tapi aku tak nak  ambil peduli.
            Dahlah driver dia buat salah, sekarang dia macam nak hina aku pulak? Ingat aku sengkek sangat ke tak boleh beli baju sendiri?
            “Jangan fikir sebab awak orang kaya, banyak duit, mudah-mudah nak persendakan orang. Saya tak hadap dengan duit awak. Simpan ajelah!”
            Dia terkebil-kebil tengok aku dan mengeluh sambil badan ditegak semula. Alamak, dia macam marah aje.
            “Tolonglah, encik. Saya nak cepat. Ada hal penting dan tengah kejar masa. Encik kena ikut saya sekarang.”
Dia paut lengan aku tapi cepat-cepat aku rentap semula.
            Dahlah buat salah, suka hati dia aje nak mengarah orang.  “Awak fikir orang lain tak ada hal penting ke? Orang lain tak kejar masa? Awak tahu tak, awak dah sia-siakan masa saya? Hari ni hari pertama saya kerja. Kalau saya lambat, apa bos saya akan cakap?!”
            “Encik, dengar sini. Saya nak cepat. Sekarang, tolong ikut saya!”
            Tangan aku ditarik kasar. Dia heret aku menghampiri kereta. “Hei, apa ni? Sakitlah!” Aku rentap tangan aku semula.
            Dia merenung tajam. Mata yang kuyu macam ‘mat pet’ dah tak ada lagi. Serta-merta bertukar jadi mata raksasa. “Masuk!”
            “Hah?”
            “Saya kata masuk!”
            Pintu kereta terbuka luas. Lelaki yang aku tak kenal ni tiba-tiba tolak aku dengan  kasar. Apa  lelaki ni nak sebenarnya? Boleh ke aku percaya? Tolong, aku kena kidnap!




NAMPAKNYA aku dah salah sangka. Aku ingatkan dia nak buat jahat. Memang betul dia bawa aku ke pusat beli belah.
Pemandunya berhentikan kereta depan pintu besar. Eleh dia ni. Tahulah orang kaya. Tapi agak-agaklah. Ikut suka hati mak nenek dia aje berhentikan kereta kat sini. Langsung tak ikut peraturan. Nak kata tak ada parking, kiri kanan aku tengok parking berlambak  yang kosong.
            Pelik. Pintu besar pusat beli belah tak buka lagi. Aku tengok jam. Masih terlalu awal sesebuah pusat beli belah nak mulakan operasi. Sekarang baru pukul 8.15 pagi. Ish, dia ni nak mainkan aku ke apa?
            Pintu kereta dibuka. Dia senyum nipis dan menyuruh aku keluar.
            Aku akur tapi teragak-agak. Berkali-kali aku tunduk kat dia. Dah macam orang Jepun. Dalam kepala timbul macam-macam soalan. Nak aje aku tanya sesuatu tapi mulut  berat nak bersuara.
            Dia berjalan laju. Aku terhegeh-hegeh di belakang. Beg galas masih setia di bahu. Sampul  berisi surat tawaran kerja aku peluk kuat-kuat.
            Dia melangkah pantas. Aku terpaksa berlari anak. Tiba di pintu masuk bahagian tepi bangunan, dia berhenti.
            Dia senyum dan keluarkan telefon bimbit. Aku pasang telinga. Dia hubungi seseorang dan memberi arahan.
            Aku tercegat macam patung. Tak sudah-sudah dia senyum sambil perhati gelagat aku. Was-was betullah dia ni. Macam suspen aje. Entah apa dia nak buat. Tadi bukan main beria-ia nak gantikan semula pakaian aku. Tup-tup, dibawanya aku ke pusat beli belah yang belum memulakan perniagaan. Betul ke tak mamat ni? Tak waras agaknya. Pelik aku.
            Lima minit berlalu, seorang lelaki separuh abad keluar sambil tersenyum. Tangan dihulur untuk bersalam dan terus disambut mat pet. Lebih senang aku panggil dia mat pet sebab aku tak tahu nama dia. Satu lagi gelaran baru aku bagi pada orang. Laju sungguh mulut aku ni.
            “Encik Razlan kenapa datang? Sepatutnya Encik Razlan masih berehat di rumah.” Lelaki itu menyoal mat pet.
            Oh... rupanya nama mat pet ni, Razlan. Pandai-pandai aje aku panggil dia mat pet. Namanya ringkas dan senang dipanggil.
            “Saya bosan, Pak Man. Makin lama saya rehat kat rumah, makin kusut fikiran saya. Lebih baik saya kerja macam biasa.”
            “Kalau nak kerja, kenapa awal sangat Encik Razlan datang? Biasanya Encik Razlan datang pukul 10.”
            “Saya memang sengaja datang awal.”
            Lelaki yang dipanggil ‘Pak Man’ tu mengangguk berkali-kali. “Pak Man minta maaf sebab  tak datang masa pengkebumian. Pak Man kena pergi hospital untuk check tahap kesihatan.”
            “Tak apalah, Pak Man. Jangan risau. Saya faham.” Mat Pet tepuk perlahan bahu Pak Man. Aku tengok Mat Pet ni macam friendly aje. Mesra alam gitu.
            Tapi, pak Man ada sebut pasal pengkebumian. Pengkebumian siapa?
            Selesai berbual dengan mat pet, Pak Man beredar.
            Mat pet pelawa aku masuk. Aku akur tanpa banyak soal dan perasaan curiga dengan keikhlasan mat pet dah tak ada lagi. Aku percaya dia dari golongan orang baik-baik.
            Aku tengok kiri kanan. Beberapa orang pekerja sedang menyusun barang-barang. Masing-masing bertungkus lumus bukan main rajinnya. Aku tengok pun dah naik semangat.
Ada antara mereka berhenti buat kerja bila mat pet lalu depan mereka. Ada yang beri salam dan ucap selamat pagi pada mat pet. Mak ai, aku dah rasa macam orang penting bila jalan sebelah mat pet. Bangga sekejap.
            Siapa mat pet di kalangan mereka? Penyelia ke? Pengurus ke? Atau tuan punya pusat beli belah ni?
Gulp... aku telan liur. Terkulat-kulat aku berfikir sendiri.
            Mat pet jawab salam dan balas semula ucapan ‘selamat pagi’ sambil mengangguk berkali-kali.
            Aku mula tak selesa bila tengok segelintir pekerja berbisik sesama sendiri. Aku tak berani nak angkat muka dan cuma berjalan sambil tunduk. Manalah tahu kalau ada yang kenal aku.
            Lagipun, ada juga orang kampung aku kerja di sini. Kalau ada yang nampak aku dengan mat pet, mahunya kecoh nanti. Sampai ke telinga makcik Mon, haru birulah jawabnya. Tak pasal-pasal dia canang satu planet. Aduhai...
            Mat pet senyum lagi. Apa hal dia ni? Asyik senyum aje dari tadi? Mental ke? Kata nak gantikan baju aku. Hah, gantilah cepat.
            “Awak ni kenapa, hah? Tengok saya lain macam?”
            “Kau ni... perempuan, kan?” Mat pet garu dagu dan tunjuk muka ragu-ragu.
            Erk... dia dah tahu. Tadi ber’encik. Sekarang ‘kau’ pulak. Kalau dah tahu perempuan, panggillah ‘cik’. Apalah dia ni. “Kalau perempuan, kenapa? Salah?”
            Mat pet ketawa. Eh, maksud aku... Encik Razlan. Dah tahu kan, nama dia siapa. Buat apa nak panggil mat pet lagi.
            “Tak salah. Tapi... cara kau berpakaian buat orang keliru. Aku ingatkan lelaki. Rupanya perempuan. Perempuan yang cantik tapi sayang... kecantikan terselindung dengan cara berpakaian. Dahlah rambut pendek.”
            Amboi dia ni. Dah macam pakar kaunseling. “Saya suka pakai macam ni. Rasa lebih selesa. So, apa masalahnya dengan awak?”
            Dia jongket bahu. Macam malas nak berdebat.
            “Kau pilih baju mana sesuai. Aku tunggu kat pejabat. Kalau nak cuba dulu, masuk ke bilik tu.” Jari telunjuk Encik Razlan naik ke satu arah.
            Aku menggangguk faham.
            “Awak.. err.. maksud saya.. En.. Encik Razlan.” Alahai... aku jadi penyegan yang amatlah pulak.
            “Ada apa-apa lagi kau tak puas hati dengan aku?”
            “Tak. Bukan macam tu. Saya cuma nak tahu, Encik Razlan sebenarnya siapa? Pusat beli belah ni Encik Razlan punya ke?”
            “Aku tak perlu jawab soalan kau.”
            Sombongnya. Aku tanya pun tak boleh ke. Masa kat tepi jalan tadi bukan main bahasakan diri dengan panggilan ‘saya.’ Sekarang ‘aku’ pulak? Apa-apa ajelah Encik Razlan oi...
            “Okaylah. Nampaknya aku kena mulakan sesi perkenalan. Nama aku Razlan. Emperial Golden Shopping Mall ni milik ayah aku tapi sekarang dia dah bersara dan tak mahu libatkan diri dengan dunia perniagaan lagi. Sekarang, aku yang ambil alih. Tolong kenalkan diri kau pulak. Aku tak suka berurusan dengan orang asing.”
            Eleh... kerek betul mamat ni. Aku dah agak. Mesti Encik Razlan orang penting kat sini. Hah, sudah. Apa aku nak jawab dengan sikap biadap aku tunjukkan tadi? Silap hari bulan, aku dapat saman malu dari Encik Razlan sebab memalukan dia di tempat awam.
            “Amalina. Nur Amalina.” Aku jawab dan tundukkan muka. Kalau tadi bukan main samseng aku. Sekarang menikus pulak.
            “Cantik nama kau. Secantik sikap garang yang kau tunjukkan tadi. Okey, kau boleh tengok-tengok dulu baju mana kau nak. Aku tunggu kat office. Sepuluh minit lagi aku datang.”
            “yelah...”
            Encik Razlan beredar dan tinggalkan aku dengan perasaan geram. Sempat dia sindir aku. ‘Cantik nama kau. Secantik sikap garang yang kau tunjukkan tadi’. Grrr...
            Tak berlengah, aku terus melilau ke bahagian pakaian formal untuk wanita. Wanita pun wanitalah. Janji aku berpakaian sudah. Tapi semua mahal nauzubillah. Tak ada yang murah ke?
            Satu per satu aku belek tapi langsung tak sesuai dengan aku. Kalau untuk setiausaha berimej seksi, boleh la. Setakat nak kerja kerani cabuk aje, takkan aku nak pakai baju macam ni? Mahunya terbeliak biji mata ayah dan abang long nanti.
            Aku dekati seorang jurujual sedang menggantung pakaian. “Assalamualaikum, kak. Saya nak pilih baju.”  
            Dia berpaling dan tunjuk muka pelik. Manis orangnya. Berkulit cerah putih melepak macam kuih tepung gomak “Waalaikumussalam. Macam mana cik boleh? Pintu besar tak buka lagi.”
            “Saya datang dengan mat pet. Eh.. dengan Encik Razlan.” Aku tepuk mulut sendiri. Tersasul  sebut gelaran ‘mat pet’.
            Mulut jurujual tu ternganga. Kalau aku sumbat microphone, tentu muat.
            “Ooo.. gitu ye. Ada apa-apa saya boleh bantu?”
            “Macam ni... saya nak beli baju sesuai untuk ke pejabat. Tapi tak nak baju macam kat sana tu.”
            Cik jurujual teranguk-angguk macam faham aku tak suka baju seksi. “Apa kata kalau saya tunjuk baju-baju kurung yang baru sampai semalam.”
            Baju kurung? Aduh... naya betul. Tentu dia tahu aku perempuan. Tajam mata jurujual ni. Bukan macam Encik Razlan. Awal-awal dah tertipu dengan penampilan aku.
Tapi kan, tak naklah aku baju kurung. Tak pernah aku pakai baju kurung, tau. Kalau hari raya pun aku pakai jeans dengan t.shirt bodoh aje. Ini tiba-tiba nak pakai baju kurung. Hilang akal apa.
“Errr.. baju kurung ek? Ermmm... bolehlah...” Aku terpaksa setuju. Dalam keadaan gawat macam ni, tak boleh cerewet sangat. Entah macam mana rupa aku bila pakai baju kurung nanti. Mesti macam makcik-makcik.
            Cik jurujual bawa aku ke bahagian baju-baju tradisional. Tercengang aku tengok pakaian tu semua. Corak dan warnanya sangat cantik. Kan aku dah kata, aku ni nampak aje macam lelaki tapi kalau tengok benda cantik, aku pun teruja.
            Betul ke Encik Razlan nak bayar ni? Aku gigit bibir. Masih berkira-kira. Eleh, dia bayar ke? Sesuai ke perkataan ‘bayar’ tu untuk dia? Pusat beli belah ni kan, dia yang punya. Nak bayar konon.  
“Terima kasih. Nanti saya pilih sendiri, ya. Cantik betul baju-baju kurung kat sini.”
            “Sama-sama. Biasalah cik. Tengoklah siapa tuan punya tempat ni. Citarasanya tinggi. Semuanya nak yang cantik-cantik aje.” Dia senyum dan terus sambung kerja tergendala.
            Aku tengok tanda harga baju kurung warna merah jambu. Mak ai.. Dua ratus lima puluh? Ish, tak mahulah aku. Mahal sangat ni. Tentu ada yang lebih murah.
            Aku cari lagi. Semua harga melebihi dua ratus lima puluh. Tiga ratus, empat ratus. Aduhai... mintak nyawa.
            Aku tengok jam. Dah pukul 8.30 pagi. Lagi 30 minit aku ada masa. Kalau terlewat macam mana? Hari pertama kerja dah pandai buat hal. Ingat apa? Company bapak aku punya ke?
            Ah, tak kisahlah. Dah terpaksa. Aku ambil baju kurung warna merah jambu dan terus masuk  bilik persalinan.
            Beberapa minit berlalu, siap. Perghhh... memang tercipta sejarah baru aku pakai baju kurung hari ni. Warna merah jambu pulak tu. Feminin sangat. Ayu gitu.
            Aku keluar dari bilik persalinan dan berhenti bila terpandang sebuah patung wanita yang diletak berhampiran cermin besar.
            Aku tengok aje patung tu. Entah macam mana dalam fikiran terbayang muka Encik Razlan. Aku mula bercakap seorang diri. “Tolonglah, encik. Saya nak cepat ni. Saya ada hal penting dan  kejar masa. Encik kena ikut saya sekarang!”
            Aku tiru gaya percakapan Encik Razlan ketika kejadian percikan lopak air tadi.
“Eleh... Macam dia sorang je nak cepat, kejar masa. Aku macam mana? Tak kejar masa jugak ke? Ish, sengal betul mat pet tu. Bila sampai sini, tak ada pulak aku nampak dia kejarkan sesuatu?”
            “Mentang-mentang orang kaya, berlagak. Pakai baju kot, kemeja, tali leher, seluar slack, pemilik pusat beli belah besar macam ni, ingat aku hairan sangatlah, ya.” Aku membebel seorang diri.
            “Ehem, ehem... dah habis?”
            Erk... rasa macam nak tercekik tulang dinasour bila aku dengar suara tu.
            Aku berpaling. Alamak, Encik Razlan! “Haa... Err...”
            Dia tengok aku dari atas sampai bawah. Macam mana agaknya rupa aku sekarang. Dengan baju kurung buat aku rasa gatal-gatal ni, dengan rambut pendek. Aduhai tak selesa betullah.
            “Jom aku hantar kau pergi kerja.”
            “Err..”
            “Jom. Nanti kau terlambat, kena marah dengan bos, aku pula yang kau marah.”
            “Err saya.. saya...” Tak sempat aku nak minta maaf sebab dah kutuk dia, dah ejek cara dia bercakap, dia dah berjalan laju.

            Aku hanya mampu tarik nafas sampai hidung kempis dan mancung macam patung tadi. Agaknya dia dengar tak apa aku bebelkan?

Tiada ulasan: