11 Mac 2016

ENCIK PENGACAU! ~ BAB 3




HARI pertama aku kerja kira okeylah. Walau terpaksa terima banyak arahan, aku tak bantah apa-apa. Pada mulanya aku tak biasa. Rasa macam kekok sikit. Tapi lama-kelamaan, aku dah kuasai bidang kerja ditugaskan untuk aku. Alah, setakat kerani aje pun, apa susah sangat. Budak sekolah menengah pun boleh buat.
            Turun dari bas, aku angkat kain tinggi-tinggi. Susah betul pakai baju kurung. Semua kena jaga. Lebih-lebih lagi bila ditiup angin kencang. Musim angin monsun pula belum habis. Kalau tak pegang elok-elok, mahu terselak habislah jawabnya. Nasib baik aku dah nak balik rumah, tak payah jaga kebersihan sangat.
            Sampai depan rumah, aku dengar orang gelak. Kuat punya gelak. Tengok cerita kelakar kat tv ke? Aku terus pijak anak-anak tangga naik ke rumah. Sampai di ruang tamu, aku tengok ayah dan abang long duduk di kerusi dan masing-masing tutup mulut. Masing-masing hairan tengok aku. Apehal?
            “Baru balik, angah?” Sapa ayah sambil tersenyum-senyum.
            Aku kerutkan muka. Nampak pelik dengan kelakuan ayah. Tak terkecuali abang long.
            “Taklah. Dah lama balik.” Aku sindir ayah. Rasa macam ada benda tak kena.
            “Dari mana angah dapat baju kurung tu?” Abang long pula menyoal. Dia juga tersenyum-senyum.
            Aku rasa semacam dengan kelakuan ayah dan abang long. Soalan abang long paling buat aku menyampah. Mana taknya, teringat kejadian lopak air pagi tadi. Mat petlah punya pasal.
            Aku duduk sebelah ayah. “Baju ni ada orang bagi hadiah.”
            Abang long tergelak besar. Berkali-kali dia tekan perut. Apa yang lucu? “Siapa bagi hadiah baju kurung pada adik abang long yang macam lelaki ni?”
            Aku mencebik dan menjelir.
Ayah tengok aku tak berkelip. “Siapa yang bagi?”
“Mat Pet.”
“Mat Pet??” Ayah dan abang long menyoal serentak. Masing-masing terbelalak. Macam  terkena renjatan elektrik.
Aku tutup mulut. Tersasul dan hampir-hampir tergelak. Mungkin ayah dan abang long fikir Mat Pet tu penagih dadah. “Nama dia Razlan. Tapi angah panggil dia mat pet sebab tak tahu nama dia sebelum tu.”
“Macam mana angah boleh kenal dia?” Ayah menyoal lagi. Tak lupa mengurut misai kucing dia tu.
“Panjang ceritanya, ayah. Malas angah nak cerita. Lain kali ajelah. Sekarang angah nak mandi.” Aku bangun dan terus tinggalkan ruang tamu. Sempat aku menjeling ayah dan abang long. Nampak mereka tak puas hati selagi aku tak cerita hal sebenar.
Masuk ke bilik, aku senyum seorang diri. Ingat pada Encik Razlan buat aku rasa something. Kenapa dia tu selekeh sangat. Dah macam orang utan. Macam mana pekerja-pekerja di pusat beli belah tu tahan tengok muka dia? Kalau aku, sehari tengok Encik Razlan, mahu 14 kali aku muntah kuning.
Tapi, selekeh dia pun, dia baik hati apa. Zaman sekarang aku tak boleh nilai dari rupa paras aje. Kena tengok macam mana budi pekertinya. Ada orang muka baik kalah ustaz tapi suka pecah amanah, rasuah merata-rata dan mulut manis penuh dusta. Ada orang muka macam pembunuh dan perogol bersiri, tapi hati mereka sesuci embun pagi kata kau.
Aku tampar muka sendiri. Asyik fikir pasal mat pet aje. Baju kurung merah jambu yang melekat di badan, aku tanggalkan dan terus sangkut pada penyangkut baju. Belum ada hati aku nak cuci. Aku nak buat pameran dulu dalam bilik ni. Seumur hidup, aku tak pernah ada baju kurung. Memang tercipta sejarah baru sungguhlah hari ni.
Telefon bimbit zaman pak kaduk aku berbunyi. Aduhai... nama Hannah terpampang. Sakit perut sungguh kalau aku tengok nama dia.
“Hello beb!”
“Kau tak reti bagi salam?” Aku marah Hannah.
“Alah, itu pun nak berkira. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam. Hah, nak apa?”
“Boleh kau tanya aku nak apa? Aku rindu kaulah. Kau pergi mana sehari suntuk tak ada kat kedai?”
Erk... sehari suntuk? Maknanya Hannah jadi pengawal keselamatan depan kedai tu ke? Macam mana dia tahu aku tak ada kat sana sehari suntuk tu? Tertelan otak zombie minah jawa ni agaknya dah rajin sangat jadi guard tak bergaji.
“Beb, kau dengar tak?”
“Dengarlah.”
“Dah tu kenapa diam aje?” Suara Hannah di hujung talian dah lembik semacam. Aku tahu, kejap lagi mesti hentak kaki tu.
“Aku dah tak kerja lagi kat situ.”
“Kau ada kat rumah 24 jam la eh?”
“Tak jugak.”
“Habis?”
Haih... susah betul nak jelaskan situasi pada minah jawa ni. Serba salah sungguh. Kalau beritahu dia sekarang ni aku kerja di syarikat tu, mahu berhari-hari dia bertandang kat sana semata-mata nak jumpa aku. Kalau datang setakat nak jumpa, tak apalah. Dibuatnya Hannah datang dengan perangai sotong dan mengada-ada, mahu pekerja lain salah anggap pada aku. Tak pasal-pasal kena cop songsang. Sengal betul.
“Beb, kenapa kau diam aje ni?”
Aku nak bagi jawapan apa ni? Kepala tak gatal, aku garu kasar. Fikir jawapan sesuai nak bagi pada Hannah.
“Kau tahu tak aku rindu kau? Sehari tak jumpa, aku tak boleh buat kerja. Buah epal, rambutan, limau dan semua buah ada kat gerai mak aku, semua aku nampak macam muka kaulah, beb...” Hannah merengek macam bayi kehausan susu.
Kalau aku ada depan Hannah, harus aku sumbat mulut dia dengan botol susu. Parah... parah. Macam ini punya orang pun ada. Kritikal dah ni. Aku mesti nasihatkan dia.
“Hannah...”
“Ye... kau pun rindu aku, kan? Kan?”
“Kau tak boleh bersikap macam ni. Kau tahu kan, ini salah?”
“Apa yang salah?”
“Cara kau bercakap tulah. Cakap rindu akulah, love akulah, sayang akulah...”
“Kenapa? Kau dah cair ek?”
Bluwwekk! Aku rasa macam nak jolok tekak dengan batang besi. “Cair kepala hotak kau berjambul!” Tiba-tiba aku marah Hannah. Serius punya marah ni. Tak ada masa nak main-main.
“Sok sek sok sek... sobsobsob..”
Alamak, Hannah menangis! “Eh, Hannah. Kau janganlah nangis...”
“Tak boleh ke aku nangis sebab kau marah aku? Kau memang jahatlah. Aku suka dan sayang gila-gila kat kau. Kau memang kejamlah. Kau kejam!”
Adoi minah jawa ni. Makin menjadi-jadi pulak. Sempat lagi dia buat dialog dalam drama-drama Melayu. “Hannah... aku tak maksud macam tu pun. Ada benda kau tak faham ni.”
“Apa yang aku tak faham? Yang aku tahu, aku sukakan kau!”
Aduh! Dia menjerit pulak. Boleh bernanah telinga aku kalau macam ni. “Kau tu perempuan. Aku pun perempuan. Kau tak boleh suka dan kau jugak tak boleh ada perasaan cinta pada aku. Kau faham tak?”
“Ah, persetankan itu semua!”
Alahai, dia buat dialog drama Melayu lagi. Hailah... memang parah dah budak Hannah ni. Kalau aku sental kepala dia atas jalan tar, belum tentu insaf. Tapi, apa kata kalau aku mandikan dia dengan air bunga tahi ayam 7 tempayan. Atau, aku cuci otak dia yang berbelit tu dengan air tapak kaki Bangla. Mahu bersih, suci lagi murni kesannya nanti.
Apa ya aku nak buat dengan Hannah? Apa lagi aku nak cakap kat dia supaya dia faham? Ah, bengap tahap malaun betullah kau ni, Hannah.
“Aku tahu kau faham. Tapi kau buat-buat tak faham. Takkan kau dah lupa apa yang kita pernah belajar kat sekolah? Perempuan tak boleh bercinta dengan perempuan. Sama jugak dengan lelaki. Takkan kau tak ingat? Kau bukan remaja lagi, Hannah. Kau dah 25 tahun sama macam aku. Kalau boleh, biar daya pemikiran seiring dengan usia kita. Tapi kau...”
“Sudahlah. Okey, fine. Kalau kau dah tak nak kawan dengan aku, kau cakap ajelah. Tak payah nak bersyarah panjang lebar!”
KELEKANG!!!
Aku tersentak. Itu bunyi Hannah matikan telefon atau bunyi telefon dihempas ke dinding? Aku jongket bahu. Malas nak fikir pasal Hannah. Kalau tak ada kawan macam dia pun, tak apalah. Janji aku selamat dunia akhirat.



HARI ni aku ditengking dan dimarahi Encik Syam sebab aku terbuat kesilapan kecil.
            Kalau dulu, setiausahanya selalu marah aku tapi kali ni, giliran dia pulak. Entah apa masalahnya dengan pekerja-pekerja di sini? Semua orang nak marah-marah. Keturunan syaitonnirrojim ke?
            "Buat kerja sikit pun boleh salah. Macam mana syarikat nak maju kalau ada sepuluh pekerja macam awak ni?!" Encik Syam mendekat
Aku tercegat macam patung. Dia memekik betul-betul tepi telinga aku. Hantu betul Encik Syam ni. Kalau sepuluh minit dia menjerit macam ni, rosak gegendang telinga aku.
            "Saya bukan sengaja. Lagipun, saya pekerja baru. Tak boleh ke tolak ansur sikit?" Aku cuba membela diri walaupun tahu hanya sia-sia. Tak mungkin aku dapat atasi kemarahan Encik Syam yang berlagak bagus tu. Macamlah dia tak pernah buat silap sepanjang hidup atas muka bumi ni?
            "Kalau saya tolak ansur, naik lemak awak nanti!"
            "Saya minta maaf. Nanti saya betulkan semula."
            "Tak payah. Mulai sekarang, awak dipecat!"
            Aku melopong habis. Tak sampai sebulan aku kerja, dah kena pecat? "Tapi Encik Syam, kesilapan tu tak besar mana pun. Takkan sampai nak pecat saya?"
            "Sudah. Kemaskan barang-barang awak dan keluar dari syarikat ni. Dungu punya pekerja. Lain saya suruh, lain awak buat!"
            Dia maki aku? Dia kata aku dungu? Dia ni memang nak kena karate agaknya. Muka aje nampak baik tapi bahasa langsung tak boleh pakai. Tak padan umur dah tua. Rumah kata pergi, kubur kata mari. "Encik Syam tak boleh pecat saya sesuka hati."
            "Siapa cakap saya tak boleh buat? Saya boleh buat awak lebih teruk daripada ni. Kalau awak  berdegil, saya panggil security dan halau awak keluar. Entah makanan apa yang mak ayah awak bagi  sampai jadi dungu macam ni? Menyusahkan!"
            Wah, ini dah lebih! Menyentuh soal ayah dan arwah mak aku pulak. Encik Syam ni tak boleh dibiarkan. "Tak payah. Saya boleh keluar sendiri. Jangan fikir saya hadap sangat kerja kat sini.  Bodoh punya bos. Dahlah tak hensem. Muka macam kereta sorong. Dapat projek juta-juta, semua dari hasil  rasuah. Ingat saya tak tahu?!" Perggghhh! Berani jugak aku hamburkan kata-kata kesat terhadap Encik Syam.
            "Biadap betul awak ni. Tak padan umur 25 tahun. Sekarang awak berhambus. Keluar!"
Encik Syam tolak aku dengan kasar. Nasib baik aku tak jatuh tersembam. Dia ni betul-betul melampau. Ikut suka mak nenek dia aje buat aku macam ni.
"Memang saya nak keluar. Tak payah halau saya. Tak perlu maki dan herdik saya. Sampai hati Encik Syam hina ayah dan arwah mak saya. Tak guna punya bos. Dasar manusia riak, sombong, angkuh, berlagak. Nah, hambek ni!" Aku lepaskan tumbukan padu pada perut Encik Syam.
            "Aduhhhh!!"
            "Padan muka kau. Dasar manusia tak ada adab. Pergi matilah kau!" Aku keluar dari pejabat Encik Syam tapi sempat aku tendang pasu bunga mahal tepi pintu. Puas hati aku dapat pecahkan pasu bunga yang baru Encik Syam beli dari Sarawak!
            "Hoi, budak. Jangan lari!"
Encik Syam cuba nak halang aku. Mungkin nak tuntut ganti rugi. Nasib kaulah, Encik Syam. Siapa suruh cari pasal dengan aku? Kan dah mendapat. Kalau dia minta ganti rugi, aku memang tak mampu nak bayar dengan duit. Kalau dengan baja tahi ayam, bolehlah. Sorrylah, ye. Bye-bye!
            Aku ambil beg, payung dan beberapa helai kertas atas meja. Tiba-tiba sebak bila ingat kata-kata Encik Syam. Dasar manusia tak ada hati perut. Langsung tak fikir perasaan orang. Aku menangis sambil berlari anak keluar dari department. Apa ke bendalah aku ni. Pakai punyalah smart tapi menangis pulak. 
            Pintu lif terbuka dan mujur tak ada sesiapa. Teresak-esak aku menangis sambil menahan geram pada Encik syam. Aku benci manusia bernama Encik Syam tu. Kalau aku dah benci seseorang, sampai keturunan dia aku benci!
            Pintu lif terbuka. Aku berjalan keluar dan berhenti duduk atas kerusi di lobi.
            Tiba-tiba seorang lelaki datang dan berdiri depan aku.
"Kau Amalina, kan?"
            Aku mendongak dan kecilkan pandangan sambil menyeka air mata dengan hujung lengan kemeja. Aku pernah tengok lelaki ni tapi dah lupa kat mana tempatnya.
"Ya, saya Amalina.” Berkali-kali aku kesat hidung dengan tisu. Siap bunyi hingus lagi.
Dia buat muka keji. Macam kotorlah sangat kalau bunyi hingus ni? Macamlah dia tak pernah berhingus. Poyo. Entah-entah masa kecik dulu, dia lagi berhingus. Pekat dan kehijauan macam cendol. Jadi, tak payah buat muka keji sangat.
            "Amalina... kau ingat aku tak?" Dia menyoal. Mukanya teruja bukan main. Apa kes?
            Siapa agaknya? Aku tengok dia dari atas sampai bawah. Rambutnya lurus. Matanya kuyu macam mata... mat pet??
Kalau mata dia kuyu, sekarang ni mata aku pulak membulat! Encik Razlan ke?? Tapi, kenapa lain sangat? Tak macam mula-mula aku jumpa dia dulu.
            Dulu dia selekeh macam peminta sedekah tepi jalan. Aku rasa peminta sedekah pun tak  selekeh macam dia. Kalau tengok dari sebelah sisi, macam orang utan. Mukanya berjambang dan rambutnya dibiarkan sedikit panjang.
Tapi hari ni, dia jadi orang lain. Lain sangat. Nampak kemas dengan muka ceria. Hari tu, nampak muram dan sedih aje. Dia menang loteri ke?
Menang loteri hangguk kau. Dia orang kaya, tak mainlah loteri ni.
"Encik Razlan?"
            Aku raba pipi. Air mata dah kering.
            "Ya. Razlan. Ingat lagi?"
Aku tunjuk muka blur. Bukan aku tak ingat tapi aku macam tak percaya lelaki berdiri depan aku sekarang ni, lelaki yang selekeh dulu. Hensemlah pulak...
Dia merengus. Macam penat nak buat aku ingat semula. "Driver aku hampir nak langgar kau, tayar kereta aku masuk lopak air, baju kau basah dan aku gantikan dengan baju baru. Ingat?"
Encik Razlan cuba rewind memori aku ke? Dah tentu aku ingat. Tak payah nak rewind balik. Tak pasal-pasal aku hilang ingatan nanti. Dahlah aku tengah tension. "Ya, ingat. Encik Razlan buat apa kat tempat ni?"
            "Aku ada urusan sikit. Erm... kalau aku tanya, kau jangan marah."
            "Nak tanya apa?"
            "Kau menangis?" Encik Razlan terus duduk sebelah aku.
            "Tak adalah. Tak nangis pun." Aku tipu dia. Aku kesat mata, kesat hidung, kesat pipi dan  terus palingkan muka ke arah lain.
            "Kau jangan tipu. Aku dah nampak kau menangis tadi. Ada sesiapa ganggu? Kalau ada, beritahu aku."
            Aku menggeleng. Tiba-tiba nak suruh aku luahkan perasaan pada dia, apehal? Bukan abang aku pun. Dia cuma orang luar. Orang yang aku baru kenal pulak tu.
            "Kenapa diam? Ermmm... satu lagi aku nak tanya. Kau tak kerja?" Encik Razlan tunduk dan curi-curi tengok muka aku. Tak cukup dengan tu, dia tenung pulak.
            "Saya dah berhenti. Sebenarnya, saya dipecat." Aku makin tunduk. Sudah-sudahlah tengok muka aku. Bukan ada emas berlian pun.
            "Ouh... kena pecat. Lepas ni, kau nak ke mana?"
            Ish, banyak soal la dia ni. Tak larat aku nak jawab. Kacau betul. "Saya nak balik rumahlah."
            "Kerja kau macam mana?"
            "Nak kerja apanya lagi kalau saya dah kena pecat?" Ops... tak sengaja aku tinggikan suara. Marahkan Encik Syam tadi, dengan Encik Razlan sekali terkena.
            “Aku kesian tengok kau.”
            Aku garu kepala. “Kesiankan saya?”
            Encik Razlan usap dagu. Dari atas sampai bawah dia tengok aku. Pandangannya semacam. Naik seram aku ni. Kalah tengok filem hantu Thailand kat panggung wayang Mesra Mall hari tu.
            “Kau kena pecat sebab cara berpakaian macam tak kenalah.” Encik Razlan menebak sembarangan.
            Aku tilik diri sendiri. “Apesal dengan pakaian saya?” Memandai aje Encik Razlan ni. Macamlah dia perunding imej bertauliah. Pernah dapat anugerah dekan ke dia ni?
            “Tengok apa kau pakai. Kemeja, seluar slack, memang tak sesuai untuk perempuan cantik macam kau.”
            Erk... dia kata aku cantik? Hannah pulak kata aku hensem. Memang biol dah kepala otak mereka ni.
            Aku diam aje.
            “Mana baju kurung aku beli? Kenapa tak pakai? Kau ingat murah? 250 ringgit tu.”
            Aku mencebik. Bila masa entah dia beli. Pusat beli belah tu, dia yang punya. Belilah sangat.
            “Baju tu ada kat rumah. Saya cuci. Lagipun, takkan tiap-tiap hari nak pakai baju sama, kut? Nanti busuklah. Bau belacan!”
            “Yang bau belacan tu kau. Bukan baju kurung tu.”
            Aku melopong. Lembik betul mulut Encik Razlan ni. Sekali aku belacankan, barulah tahu belacan tu sedap ke tak.
            Aku jeling dia. Dia buat muka tak bersalah.
            “Maksud aku, kau tak ada baju kurung lain?”
            “Tak ada.”
            “Langsung tak ada?”
            “A’ah..”
            “Perempuan jenis apa kau ni? Tomboy ke?” Sekali lagi Encik Razlan buat muka keji.
Aduhai... aku bagi penampar bersilang  jugak nanti.
            Aku terus bangun. “Encik Razlan cakap baik-baik sikit, eh. Saya tumbuk nanti.” Aku kepal buku lima depan muka dia. Kedua-dua matanya menjuling.
Dia mengelak. Macam betul-betul kena muka dia. Aku acah aje.
            Dia angkat kedua-dua tangan. “Okey. Aku minta maaf kalau kau tersinggung.”
            Aku duduk semula. “Encik Razlan tak ada hak buat penilaian pada saya kalau Encik Razlan tak tahu kehidupan saya macam mana.”
            “Okey, aku minta maaf tuan puteri. Cik intan payung. Aku minta maaf, ya...” Dia tersengih.
            “Eleh... tahu takut.”
"Okay. Lupakan hal tadi. Sekarang aku nak tanya, kau nak kerja?"
            "Mestilah nak tapi tak tahu nak kerja apa dan kat mana. Sekarang bukan senang dapat kerja." Aku gumpal tisu dan buang ke dalam tong sampah.
            "Kerja dengan aku nak tak?"
            "Kerja dengan Encik Razlan?" Aku kerut dahi. Rasa macam tak percaya Encik Razlan buat tawaran di saat-saat kritikal.
            "Aku nak ajak kau kerja dengan aku. Esok datang EGSM dan masuk pejabat aku. Nanti aku beritahu kerja apa sesuai untuk kau."
            “EGSM? Apa tu?”
            Encik Razlan buat muka penat. “Emperial Golden Shopping Mall. Panjang sangat. Jadi aku buat singkatan.”
            Aku mencebik. “Itulah... siapa suruh bagi nama panjang-panjang. Encik Razlan ingat pusat beli belah tu tak laku ke kalau letak nama pendek? Tengok Mydin tu. Satu patah perkataan aje. Sampai sekarang berduyun-duyun orang pergi.”
            “Kau ni banyak cakap la. Itu nama yang ayah aku bagi. Aku takkan ubah sebagai menghormati apa yang dia wariskan. Kau nak kerja tak? Lima saat saja aku buka tawaran ni. Habis lima saat, aku tutup. Satu... dua...”
            “Cop! Okay, saya nak.”

            Encik Razlan tayang sengih kemenangan. Macam memaksa aku pulak dia ni.

2 ulasan:

Ibrahim bin Batan berkata...

Menarik cerita awak dan pandai cara awak menulisnya. Tahniah!

Rafina Mimi Abdullah berkata...

terima kasih saudara Ibrahim..