20 Mac 2016

Encik Pengacau ~ Bab 6




AKU masuk rumah bila kereta Encik Razlan bergerak. Pertama kali tercipta dalam sejarah Malaysia  Amalina dicop gadis tomboy, dihantar pulang seorang lelaki. Pemilik pusat beli belah pula tu. Kalau makcik Mon nampak, boleh terkeluar biji mata dia.  
            Aku masuk bilik. Plastik berisi 3 botol vitamin aku letak atas meja. Aku duduk di birai katil dan merenung plastik itu. Rambut tak bersyampu, aku garu-garu sebab kepala dah gatal sangat. Dalam tempoh seminggu ni, aku tak ada masa sangat nak bersyampu bagai.
Patutlah Encik Razlan kata bau aku macam belacan. Katanya lagi, bau belacan lagi sedap dari aku. Huh, tak ada insurans nyawa betul mulut dia. Sekali aku belacankan mulut dia, mahu bengkak bibir macam cucuk botox. Sengal punya Encik Razlan. Tak pernah aku jumpa orang keparat.... eh, korporat. Tak pernah aku jumpa orang korporat sengal macam dia. Setahu aku, orang-orang korporat wataknya serius. Mana ada sengal? Pelik betul.
            Aku bangun. 3 botol vitamin aku keluarkan dari plastik. Apalah aku nak buat dengan vitamin-vitamin ni? 3 botol pula tu. Bila masa aku nak telan? Lagipun, aku takut makan ubat. Tadi dalam kereta nasib baik aku tak pengsan bila Encik Razlan kata dalam plastik tu ada vitamin. Kalau tak, harus dia terpaksa dukung aku masuk rumah. Tak ke jadi kes naya? Kalau aku tahu dia beli vitamin sebanyak ni, baik aku tuangkan semua dalam mulut dia dalam kereta tadi. Biar dia kekenyangan dan terbelalak kat situ juga. Baru Puas hati aku.
            Aku gigit kuku. Rasa bertambah pelik dengan kelakuan Encik Razlan. Kenapa dia baik dengan aku ek. Apa motif dia sebenarnya? Macam ada agenda tersembunyi aje. Adakah dia pembunuh upahan? Dia nak bunuh aku ke? Tapi kenapa? Sebelum ni aku kenal dia pun tak. Takkan tiba-tiba nak bunuh aku? Kalau orang tak suka aku pun, cuma makcik Mon aje. Dengan orang lain aku tak bermusuh. Mungkin makcik Mon yang upah Encik Razlan tak?
            Haisy... dah mengarut aku ni. Ada ke patut sampai situ aku buruk sangka? Tak logik langsung. Inilah akibatnya kalau banyak sangat baca novel kisah pembunuhan. Pasal Encik Razlan baik dengan aku,  mungkin ada sebab dan alasan yang aku tak tahu.
Malas nak fikir pasal Encik Razlan yang penuh misteri, aku ambil dua botol vitamin dan  keluar dari bilik.
            Aku buka pintu bilik abang long. Bukan main nyenyak dia tidur. Terbongkang habis. Perlahan-lahan aku masuk dan terus letak sebotol vitamin atas meja kecil sebelah katil tempat dia membuta. Abang long memang sesuai makan vitamin. Dia pun keding aje. Dah macam cicak kobeng. Tak lama lagi nak naik pelamin dengan kak Liza roti telur. Baguslah kalau dia nampak berisi sikit bila naik pelamin nanti. Tentu lebih bergaya macam hero Tamil.  
Aku masuk pula bilik ayah. Sebotol lagi vitamin aku letak sebelah bantal. Ayah pun memang sesuai makan vitamin. Nanti misai dia tentu lebih panjang dan berkilat. Jangan sampai makcik Mon jatuh cinta sudah. Alamatnya mendudalah pakcik Min. Auw... tak sanggup aku bermaktirikan makcik Mon yang garang macam alien tertelan tv 32 inci. Kalau tak ada mak pun tak apalah.
Aku keluar dari bilik ayah. Awal betul abang long dan ayah tidur malam ni. Langsung tak tunggu aku balik. Apa salahnya tunggu aku balik dulu, barulah tidur. Aku ada bawa balik buah tangan lagi. Vitamin baik punya.
Aku berjalan ke arah dapur. Dari tadi perut aku berdangdut sakan. Encik Razlan tahu hantar aku balik aje. Tak tahu langsung aku lapar ke, kenyang ke. Kata sayang aku? Penipu betul. Setakat beli vitamin 3 botol, ingat kenyang ke?
PRANGGG!!!
Hoh?? Bunyi apa tu?? Aku membongkok dan mengendap ke arah dapur. Dengan aksi  James Bond, aku tekan suis lampu. Masya-Allah! Allahuakbar! Apa dah jadi ni? “Ayah, abang long. Rumah kita kena rompak!” Sekuat hati aku menjerit. Dah macam orang buat penggumuman. Nasib baik peti suara aku tak pecah. Kalau tak, harus bisu sejam setengah.
“Apa hal ni?” Ayah terkocoh-kocoh mendekati aku. Dalam keadaan kelam kabut, sempat dia urut misai. Memang kontrol panik habislah ayah aku. Terbaik.
“Rumah kita kena rompak!” Aku menjerit lagi.  
“Kena rompak?!” Abang long sambil mengilas kain pelikat, berlari-lari anak mendekati ayah. Dia gosok mata dan kesat air liur. Tak senonoh betul. Macam ni ke rupanya nak jadi bakal pengantin? Harus kak Liza roti telur koma seminggu.
“Ye, kena rompak. Cepatlah abang long. Kejar orang tu!” Berkali-kali aku melompat. Dah macam hantu cina.
“Tak payah kejar. Entah ke mana perompak tu lari, kita tak tahu. Tak perlu bahayakan diri. Bukan ada barang yang hilang kat dapur ni. Ayah tengok cuma periuk nasi aje terbuka. Dah, pergi tutup periuk nasi tu.” Ayah  mengarah sambil telunjuk lurus ke arah kabinet.
Abang long mencebik. Macam tak kisah aje rumah kena pecah masuk. Ayah pun sama. Kedua-duanya tinggalkan aku seorang diri uruskan keadaan kelam kabut ditinggalkan penjenayah. Aku garu kepala. Rasa pelik. Memang betul cakap ayah. Macam tak ada apa yang hilang. Bila aku jenguk ruang tamu, tv, kerusi, meja makan, semuanya masih ada.
Bahagian dapur pun sama. Peti sejuk, mesin basuh, periuk nasi elektrik, dispenser air, semua ada. Apa yang hilang? Nasi ke? Mungkin nasi yang hilang sebab tudung periuknya terbuka. Tapi, perompak mana bodoh sangat nak curi nasi? Erm, aku garu dagu. Hilang gaya James Bond made in Hollywood, berganti pula gaya Detektif Conan made in Japan.   
Aku jenguk ke dalam periuk nasi. Memang nasinya langsung tak ada. Selalunya tak macam ni. Ayah atau abang long mesti tinggalkan nasi lebih sebab mereka tahu aku selalu balik lambat. Takkan perompak masuk semata-mata nak makan nasi? Apa kebulur sangat?
Aku buka tudung saji. Bersepah-sepah tulang ikan atas meja. Botol budu cap Ketereh juga terbalik. Apa ni? Takkan kucing, kut? Mana ada kucing dalam rumah aku? Haih... musykilnya!
Aku tak puas hati. Semua pintu kabinet aku buka. What the fish!!! Sebotol tempoyak aku hilang!!! Tak guna punya perompak. Kau masuk rumah aku semata-mata nak curi tempoyak?? Memang what the fish lah!!!
Aku jenguk ke dalam kabinet. Ada sehelai kertas ditulis sesuatu. Aku ambil dan terus baca.

Maaf, kami tumpang makan nasi.
Sedapnya tuan rumah masak.
Ada petai rebus, ada ikan panggang tawar,
Ada budu dan ada tempoyak.
Oh ye, tempoyak tu sedap gile.
Kami ambil sebotol buat bekal nak pergi rompak rumah lain pula.
Minta tuan rumah halalkan dunia dan akhirat.
Kami Yang Benar,
Geng Kapak 77

Geng Kapak 77? Geng pecah rumah mana pula ni? Tak pernah dengar pun? Setahu aku, orang selalu pecah rumah dalam kampung ni cuma Mat Unggeh anak makcik Mon tu aje. Dari mana pula datangnya Geng Kapak 77? Mungkin ada pertubuhan perompak dalam kampung ni yang aku tak tahu. Cis, sempat lagi mereka tinggalkan nota. Minta halal dunia dan akhirat? Arrrggghhh!!!
Dah tak ada rumah lain ke korang nak tumpang makan nasi? Rumah aku juga yang korang pilih. Memang dasar penyamun. Korang bangun pagi esok, aku harap korang sakit perut dan terberak-berak 10 baldi.



AKU masuk kerja dengan muka sedih. Kalau orang tanya dan aku bagi jawapan sebab tempoyak kena curi, mahu tergolek-golek orang ketawakan aku. Tempoyak tu memanglah tak ada nilai di mata orang. Tapi sangat bernilai di mata aku sebab ia dibuat dengan tangan aku sendiri. Itu pasallah aku sedih sangat. Aku belum sempat merasa lagi, perompak dah buat perasmian terlebih dulu. Punyalah aku berangan setinggi Gunung Kinabalu nak makan minggu depan, alih-alih, pelamin anganku musnah sama sekali. Jaga kau perompak. 
            “Kenapa muka kau monyok? Buat kerja macam tak ada semangat kesukanan. Kau ada masalah?”
            Pfffttt... bos mental aku dah mula tegur. Dialah orang pertama yang tanya kenapa aku nampak sedih. Memang prihatin tahap gas meletup dia ni. Syabas inspektor sahab. Memang caring punya bos walaupun mentalnya tu kadang-kadang buat aku rimas. Mana aku tak rimas kalau asyik nak berkepit aje dengan aku 12 jam. Jarum jam pun dah naik rimas tengok muka dia.  
            Aku menjeling. “Banyaklah Encik Razlan punya semangat kesukanan.”
            Dia berdiri rapat. Kuatnya bau minyak wangi. Entah apa mimpi sembur minyak wangi banyak sangat hari ni? Nak jumpa awek ke? Entah ada awek entah tidak dia ni. Sekejap okey. Sekejap garang tak bertempat. Perempuan pun takut nak dekat. Cuma Cik Najwa aje suka menggedik dengan dia. Itu pun tak dilayannya. Encik Razlan suka menggedik dengan aku aje. Dengan Cik Najwa awal-awal dia cakap tak suka. Pelik betul selera dia.
“Cakaplah kenapa kau tak ada semangat ni?” Dia menyiku lengan aku. Sebelum ni suka tunjal-tunjal dahi aku. Sekarang main siku-siku pula.
            “Malam tadi perompak masuk rumah saya.”
            “Perompak??” Encik Razlan buat muka terkejut macam terkena renjatan elektrik. Nasib baik rambut dia tak mencacak naik. Lagi tambah untung sebab muka dia tak rentung sekali. Kalau tak, harus masuk wad kecemasan.
            “Ye, perompak. Kalau Encik Razlan tak tahu apa itu perompak, dia sama spesis dengan penyamun, pencuri dan geng pecah rumah. Haa... lebih kuranglah tu.” Geram aku. Cukuplah sekali saja aku sebut ‘perompak’ tu. Tak payah dia nak tanya lagi. Buat kering air liur aje.
            Encik Razlan tunjal perlahan sisi kepala aku. “Kau ingat aku bodoh?”
            Aku mencebik. “Kalau Encik Razlan dah tahu, kenapa tanya?”
            “Suka hati aku nak tanya ke tak. Erm... banyak duit kau hilang? Berapa ribu?”
            Aku menjeling 360 darjah. “Encik Razlan ni perli saya, kan? Encik Razlan tahu saya bukan ada duit sampai ribu-ribu. Kalau ada pun, takkan saya bodoh sangat nak simpan kat rumah? Nak ada ratus pun susah. Inikan pula ribu. Entah apa-apa.” Aku peluk tubuh. Sehelai pakaian bayi aku campak ke depan.
            Mata Encik Razlan membulat bila tengok aku campak baju baby tu. “Kau jangan main campak macam tu. Buat elok-elok. Hermmm... kalau bukan duit yang hilang, apa lagi sebab buat muka kau monyok macam banduan kena hukuman gantung sampai mati ni? Tv? Mesin basuh? Laptop? Handphone kau? Cakap dengan aku, apa yang hilang?”
            “Bukan. Semuanya bukan!” Aku mengibas tangan. Bersungguh-sungguh benar cara aku mengibas. Macam terdesak sangat akibat tempoyak kena curi.
            “Habis tu apa?!” Encik Razlan tinggikan suara. Dia pun macam dah hilang sabar bila tengok keadaan aku sekarang. Serius, aku dah jadi macam kucing kehilangan anak.
            Aku tunduk sambil buat muka sedih tahap pengemis lapar. “Tempoyak saya hilang.”
            “Tempoyak?!” Sekali lagi mata Encik Razlan membulat. Kali ni bulat matanya lebih besar bila aku sebut pasal tempoyak. Mesti dia terkejut beruk. Yelah, kalau orang lain pun terkejut juga. Jangankan kata terkejut beruk, terkejut harimau, singa, badak sumbu, semua sekali boleh masuk.
            “A’ah... sebotol hilang.” Dahlah buat muka sedih, aku tambah lagi dengan suara serak-serak basah.
            Sekali lagi dia tunjal perlahan sisi kepala aku. Aduhai, dah jadi macam mainan pula kepala aku ni kalau berdiri sebelah Encik Razlan. “Apa hal kau ni? Hah? Perompak tu cuma curi tempoyak. Bukan duit. Aku ingat apalah tadi. Pasal tempoyak hilang kau nak sedih. Petang nanti ikut aku pergi Pasar Payang.”
            “Nak buat apa pula pergi Pasar Payang tu? Aduhai.. kacau laa...”
            “Beli tempoyak. Nanti kau makan banyak-banyak. Perompak pun satu hal. Tak ada benda lain  lebih berharga dalam rumah kau selain tempoyak? Kalau curi kau pun tak apa. Ada faedahnya. Boleh   bawa kau lari ke Siam. Jual kau kat sana. Paling kurang dapat 10 ribu Baht jadilah...”
            Erk... apa punya kejamlah Encik Razlan ni.



WAKTU lunch, Tom datang jumpa aku. “Hai, Amalina.”
            “Hai Tom.”
            “Makan jom?”
            Aku berfikir sekejap. Masuk hari ni, dah cukup dua hari agreement atas angin antara aku dan Encik Razlan. Kiranya, bolehlah aku nak kawan dengan lelaki lain selain dari dia, kan? Secara automatik, kontrak air liur yang tak ada hitam putih antara aku dan dia dalam bas hari tu, terbatal dengan sendirinya.
Yahooo!!! Hari ni, bolehlah aku tuntut jawapan. Siap kau Encik Razlan. Kalau betul kau dah kahwin, tak payah kita nak rapat sangat lepas ni. Yes, aku dah bebas dari cengkaman bos mental!
Tom petik jari depan mata aku. “Hey... termenung? Jom lunch.”
Aku tutup mulut. “Ops... sorry... jom.”
“Kau nak pergi mana?”
Sreeettttt... sila buat bunyi macam tayar kereta terseret atas jalan sebab pemandunya tekan brek mengejut. Aku berpaling. Encik Razlan baik punya duk cekak pinggang. Aku tersengih-sengih. “Nak pergi makan dengan Tom. Bye, Encik Razlan!” Tak cakap banyak, segera aku tarik tangan Tom.
“Amalina!”
Aku dengar Encik Razlan memanggil tapi aku buat dek aje.
Sampai tingkat bawah, Tom ajak aku masuk stor. Katanya ada surprise. Kejutan apa ke benda entah.
Dia keluarkan mangkuk tingkat. Aku tercengang. “Apa tu?”
“Lunch yang saya bawa dari rumah...”
Aku garu pipi. Ragu-ragu nak makan lunch yang Tom bawa. Ingatkan dia nak ajak makan kat gerai makcik yang mengamuk hari tu. Rupanya dia dah bawa bekal siap-siap? Wahhh... terharunya.
“Jangan risau. Halal.”
Bagus punya Tom. Macam tahu-tahu aje aku tengah fikir pasal apa. “Macam mana awak nak yakinkan saya makanan tu betul-betul halal?”
Tom senyum. Dia berjalan ke arah meja makan kecil yang ada dua kerusi. Mangkuk tingkat  diletak atas meja dan terus dibuka penutupnya. Semerbak bau ayam tumis memenuhi ruang stor.
“Mak angkat saya yang masak. Dia orang Melayu. Awak jangan bimbang. Tak payah ragu-ragu. Mari makan. Saya minta dia sediakan nasi dan lauk untuk dua orang.”
“Mak angkat? Awak tinggal dengan keluarga angkat ke?” Aku tarik kerusi. Rasa berminat  nak tahu kisah peribadi Tom.
Tom pandang aku. Dia senyum lagi. Asyik senyum aje. Dari hari pertama aku kenal dia, dia memang sentiasa senyum. Tak pernah aku tengok muka dia masam macam cuka getah. Tengah angkat barang pun dia senyum.
Ah, apa nak hairan. Pekerja-pekerja kat pusat beli belah ni semuanya mental macam bos diaorang. Wait a minute... semua? Kalau semua, termasuk akulah tu. Hahah!
            Tom ceduk nasi dalam pinggan aku. Seketul ayam tumis diletaknya sekali. Apa yang aku tanya, dia tak jawab.
            “Makanlah. Mak angkat saya masak memang sedap. Rugi kalau awak tak cuba.”
Aku angkat kedua-dua tangan. Doa makan tak lupa aku nak baca. Tom ikut apa yang aku buat. Aku jeling dia. Dia jeling aku balik. Last, aku tepuk tangan dia. “Awak tak payah ikut apa saya buat. Tak sesuai dengan awak. Saya berdoa cara saya, awak berdoa cara awak.”
            Tom senyum lagi.
            “Boleh saya tanya sesuatu?” Senyum Tom dah hilang. Berganti dengan muka serius.
            “Tanya aje. Saya akan jawab kalau saya boleh jawab.”
            “Ehem... awak dengan Encik Razlan, ada hubungan istimewa?”
            “Uhukkk... hukkk... hukkkk!!!” Aku terbelahak.
            “Tom, kalau awak nak makan dengan saya, tolong jangan sebut nama Encik Razlan. Putus selera saya, tahu tak?”
            “Okey-okey. Awak makan kenyang-kenyang. Saya harap lepas ni, setiap hari kita dapat makan sama-sama.” 
            Aku telan nasi dengan secubit ayam. Kata-kata Tom buat aku rasa something aje. Macam ada maksud tertentu. “Kenapa mesti dengan saya awak nak makan setiap hari? Kenapa bukan dengan orang lain?”
            “Saya senang berkawan dengan awak. Itu saja jawapan saya.”
            Aku tergelak. Jawapan Tom memang tak masuk akal. Aku yang macam tomboy ni dia senang berkawan? Demam kepialu dia ni. “Tempat kerja kita ni, ada ramai gadis cantik dan seksi. Yang pakai mini skirt, pakai seluar ketat pun ada. Kenapa awak tak kawan je salah seorang dari mereka? Awak pun boleh tahan hensem apa.”
            Tom mencebik. Macam tak hebat apa yang aku sebut pasal gadis cantik dan seksi tu semua. “Bagi saya, perempuan cantik tak boleh dipercayai.”
            “Eh, kenapa cakap macam tu? Tak baiknya buruk sangka pada semua perempuan cantik...” Sengal punya Tom. Bukan ke lelaki suka sangat perempuan comel, jelita dan seksi? Sah, Tom pun mental macam Encik Razlan. Selera pelik. Entah-entah gay.
            “Perempuan cantik ramai jadi playgirl. Tak setia. Saya pernah ada kekasih yang wajahnya cantik macam model selepas kekasih lama saya meninggal dunia. Tapi, hubungan kami putus sebab dia curang dengan lelaki kaya, lebih hensem dari saya. Buat apa dia nak teruskan hubungan dengan budak stor lagi? Perempuan cantik selalunya tak jujur. Mereka ambil kesempatan dengan muka cantik yang mereka ada.”
            “Tapi awak tak boleh hukum semua perempuan cantik macam tu, kan?”
            “Saya tahu. Tapi saya tak nak ambil risiko lagi. Baik saya kawan dengan perempuan macam awak. Saya tengok awak jujur. Jadi diri sendiri. Tak hipokrit.”
            Wah, kembang sepuluh mangkuk Tom puji aku. Aku sengih-sengih.
            “Awak happy saya cakap macam tu?” Tom dekatkan dirinya pada meja. Tersenyum-senyum dia tengok aku.  
            Aku larikan muka dan pandang ke arah lain. Berkali-kali aku berdeham. Tertangkap dengan kelakuan sendiri bila Tom memuji tahap tertinggi.
            “Pipi awak dah merah. Jangan sampai tercekik ayam. Nanti saya kena berjawab dengan Encik Razlan.”
            Pfffttt... bila nama Encik Razlan disebut kali kedua, aku rasa dah tak best. Apalah Tom ni. Sengaja rosakkan mood aku yang tengah berbunga-bunga riang ni. Baru nak feeling-feeling bila Tom puji aku tak hipokrit. Tiba-tiba pula dia sebut pasal Encik Razlan.
            “Kenapa, Amalina?”
            “Hah?”
            “Kenapa tiba-tiba tak ada mood?”
            “Oh... errr.. saya terfkir pasal Encik Razlan tadi. Saya peliklah dengan dia tu. Misteri betul.”
            “Awak jangan risau. Dia memang selalu macam tu. Anginnya kadang-kadang tak menentu. Tapi dia baik hati. Dia jadi macam tu sebab...” Tom tak habis bercakap. Dia memandang lurus ke depan dan terus bangun dari kerusi.
            Apa kena dengan Tom? Dia nampak hantu cina terloncat-loncat ke? Aku berpaling. Oh tak... sekali bos mental kami datang daaa...
            “Amalina, ikut aku.”
            Perlahan-lahan aku telan nasi. “Saya tengah makan ni. Tak habis pun lagi.”
            “Encik Razlan, mari join sekali. Saya ada bawa nasi dan lauk lebih.” Tom mempelawa. Baik sungguh budi pekerti Tom ni. Sesuai kalau dibuat calon suami.
            “Tak apa. Aku cuma nak jumpa Amalina. Kau makanlah. Waktu rehat kau bukan lama sangat. Kalau habiskan masa dengan berborak, bila masa nak habis makan?” Encik Razlan hampiri aku. Sebelah tangan aku ditariknya perlahan.
            Aku mendongak sambil buat muka simpati. “Saya belum habis makan lagilah.”
            “Aku kata sudah. Jom ikut aku!” Sekali lagi Encik Razlan tarik tangan aku. Kali ni lebih kasar dan pantas.
            Aku berpaling ke arah Tom. Mulut menyebut maaf dalam senyap. Kesian Tom.
            Keluar dari stor, aku cuba tarik tangan aku semula. Terlepas juga akhirnya. “Encik Razlan nak bawa saya pergi mana?”
            “Pergi makan.”
            “Tapi saya kan, tengah makan dengan Tom tadi. Encik Razlan tak nampak ke?”
            “Kau makan dengan budak stor tu?”
            “Yelah. Apesal ni Encik Razlan?”
            Dia berdiri betul-betul depan aku. Cukup tajam dia renung mata aku. Macam nak telan. Kalau dah lapar sangat, pergi makan jelah Encik Razlan. Tak payah nak tenung aku sampai macam tu sekali.
“Kalau aku ajak makan, kau mengelak. Tapi kalau budak stor tu ajak, kau selalu ikut.”
            “Selalu? Mana ada selalu. Baru pertama kali.”
            “Pandai menjawab.”
            “Salah ke saya jawab? Hah, lagi satu. Tak baik Encik Razlan panggil dia budak stor. Dia ada namalah. Nama dia Tommy.”
            “Aku tahu nama dia Tommy. Tak payah nak ulang banyak kali. Kau lebih suka kawan dengan dialah?”
            “Dua-dua saya suka kawanlah.”
            “Kalau dua-dua kau suka, kenapa kau selalu mengelak dari aku? Tapi bila dengan Tom, kau tak pernah mengelak.”
            Bagus punya soalan. Inilah soalah paling aku tunggu. “Sebab... sebab saya rasa Encik Razlan ni mental...” Perkataan ‘mental’ tu aku sebut slow gila.
            Encik Razlan tunduk. Sikit lagi dahi dia nak terkena topi aku. “Apa kau kata?”
            Cepat-cepat aku mendongak. Dush! Terhantuk dahi dia dengan kepala aku.
            “Auch!!! Apa ni, Amalina?!” Dia gosok dahi. Matanya merah macam naga. Sakit sangatlah tu agaknya.
            “Sorry, sorry. Sorry Encik Razlan. Saya tak sengaja.” Aku terlompat-lompat. Bimbang kalau aku tak sengaja cederakan dia. Aku tanggalkan topi dan terus kibas dahi dia dengan topi. “Sakit Encik Razlan?”
            “Apa kau ingat dahi kau macam tilam? Macam besi!” Dia jerkah sekaligus menunjal perlahan dahi aku.
            “Ala, maaflah. Saya bukan sengaja. Encik Razlan tu berdiri rapat sangat dengan saya. Siapa suruh? Kan dah kena. Padanlah dengan muka.”
            “Heee kau ni. Nasib baik perempuan. Kalau lelaki, dah lama aku...”
            “Apa? Kalau saya lelaki, Encik Razlan nak buat apa? Nak tumbuk saya?”
            Dia mengangkat lurus telunjuknya. Sikit lagi nak kena hidung aku. Mata aku dah naik juling. “Okeylah-okeylah. Saya minta maaf. Sekarang jom saya temankan Encik Razlan makan sebagai tanda  minta maaf. Lagipun, ada benda saya nak tanya. Encik Razlan jangan lupa hari ni dah masuk dua hari. Ingat lagi tak perjanjian kita dalam bas? Encik Razlan jangan buat-buat lupa pula, tau.”
            “Aku tak lupa. Sebab tu aku nak ajak kau keluar makan. Tapi kau pula sibuk melayan budak stor tu, apa halnya?”
            “Tengok tu, panggil dia budak stor lagi. Nama dia Tommy okey!” Aku dah naik geram. Berkali-kali dia panggil Tom tu ‘budak stor’.
            “Ye, Tommy. Tommy Edward. Kau ingat aku tak tahu nama penuh dia? Tak payah nak bela dia sangat.”
            “Kenapa dengan Encik Razlan ni? Macam marah sangat pada Tom. Apa dia dah buat kat Encik Razlan?”
            “Dia tak buat apa-apa. Aku bukan marah dia tapi aku marah kau. Sekejap kau dengan aku. Sekejap dengan dia. Kau nak jadi apa? Perempuan jalang?”
            Oh tak... ini dah lebih. Aku betul-betul sentap dengan kata-kata Encik Razlan. Pada aku, dia dah melampau. Terlebih had untuk berkata-kata dan buat penilaian pada orang. “Sampai hati Encik Razlan cakap saya macam tu. Okey... tak apa. Suka hati Encik Razlan nak cakap apa pun. Daripada saya kawan dengan orang macam Encik Razlan, baik saya kawan dengan monyet dalam hutan!” Aku terus blah.
            “Amalina!”
            Huh... bolayan!
            Sambil berjalan laju, sempat aku berpaling. Encik Razlan tendang tin biskut sampai tercampak ke dinding!

            Ish, apa kenalah dia tu? Nampak marah sangat bila Tom ada dengan aku. Ini mesti ada benda yang tak kena ni. Ada perkara yang aku tak tahu.

Tiada ulasan: