HARI
pertama aku kerja kira okeylah. Walau terpaksa terima banyak
arahan, aku tak bantah apa-apa. Pada mulanya aku tak biasa. Rasa macam kekok
sikit. Tapi lama-kelamaan, aku dah kuasai bidang kerja ditugaskan untuk aku.
Alah, setakat kerani aje pun, apa susah sangat. Budak sekolah menengah pun
boleh buat.
Turun
dari bas, aku angkat kain tinggi-tinggi. Susah betul pakai baju kurung. Semua
kena jaga. Lebih-lebih lagi bila ditiup angin kencang. Musim angin monsun pula
belum habis. Kalau tak pegang elok-elok, mahu terselak habislah jawabnya. Nasib
baik aku dah nak balik rumah, tak payah jaga kebersihan sangat.
Sampai
depan rumah, aku dengar orang gelak. Kuat punya gelak. Tengok cerita kelakar
kat tv ke? Aku terus pijak anak-anak tangga naik ke rumah. Sampai di ruang
tamu, aku tengok ayah dan abang long duduk di kerusi dan masing-masing tutup
mulut. Masing-masing hairan tengok aku. Apehal?
“Baru
balik, angah?” Sapa ayah sambil tersenyum-senyum.
Aku
kerutkan muka. Nampak pelik dengan kelakuan ayah. Tak terkecuali abang long.
“Taklah.
Dah lama balik.” Aku sindir ayah. Rasa macam ada benda tak kena.
“Dari
mana angah dapat baju kurung tu?” Abang long pula menyoal. Dia juga
tersenyum-senyum.
Aku
rasa semacam dengan kelakuan ayah dan abang long. Soalan abang long paling buat
aku menyampah. Mana taknya, teringat kejadian lopak air pagi tadi. Mat petlah
punya pasal.
Aku
duduk sebelah ayah. “Baju ni ada orang bagi hadiah.”
Abang
long tergelak besar. Berkali-kali dia tekan perut. Apa yang lucu? “Siapa bagi
hadiah baju kurung pada adik abang long yang macam lelaki ni?”
Aku
mencebik dan menjelir.
Ayah tengok aku tak berkelip. “Siapa
yang bagi?”
“Mat Pet.”
“Mat Pet??” Ayah dan abang long
menyoal serentak. Masing-masing terbelalak. Macam terkena renjatan elektrik.
Aku tutup mulut. Tersasul dan
hampir-hampir tergelak. Mungkin ayah dan abang long fikir Mat Pet tu penagih
dadah. “Nama dia Razlan. Tapi angah panggil dia mat pet sebab tak tahu nama dia
sebelum tu.”
“Macam mana angah boleh kenal dia?”
Ayah menyoal lagi. Tak lupa mengurut misai kucing dia tu.
“Panjang ceritanya, ayah. Malas angah
nak cerita. Lain kali ajelah. Sekarang angah nak mandi.” Aku bangun dan terus tinggalkan
ruang tamu. Sempat aku menjeling ayah dan abang long. Nampak mereka tak puas
hati selagi aku tak cerita hal sebenar.
Masuk ke bilik, aku senyum seorang
diri. Ingat pada Encik Razlan buat aku rasa something.
Kenapa dia tu selekeh sangat. Dah macam orang utan. Macam mana pekerja-pekerja
di pusat beli belah tu tahan tengok muka dia? Kalau aku, sehari tengok Encik
Razlan, mahu 14 kali aku muntah kuning.
Tapi, selekeh dia pun, dia baik hati
apa. Zaman sekarang aku tak boleh nilai dari rupa paras aje. Kena tengok macam
mana budi pekertinya. Ada orang muka baik kalah ustaz tapi suka pecah amanah,
rasuah merata-rata dan mulut manis penuh dusta. Ada orang muka macam pembunuh
dan perogol bersiri, tapi hati mereka sesuci embun pagi kata kau.
Aku tampar muka sendiri. Asyik fikir
pasal mat pet aje. Baju kurung merah jambu yang melekat di badan, aku
tanggalkan dan terus sangkut pada penyangkut baju. Belum ada hati aku nak cuci.
Aku nak buat pameran dulu dalam bilik ni. Seumur hidup, aku tak pernah ada baju
kurung. Memang tercipta sejarah baru sungguhlah hari ni.
Telefon bimbit zaman pak kaduk aku
berbunyi. Aduhai... nama Hannah terpampang. Sakit perut sungguh kalau aku
tengok nama dia.
“Hello beb!”
“Kau tak reti bagi salam?” Aku marah
Hannah.
“Alah, itu pun nak berkira.
Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam. Hah, nak apa?”
“Boleh kau tanya aku nak apa? Aku
rindu kaulah. Kau pergi mana sehari suntuk tak ada kat kedai?”
Erk... sehari suntuk? Maknanya
Hannah jadi pengawal keselamatan depan kedai tu ke? Macam mana dia tahu aku tak
ada kat sana sehari suntuk tu? Tertelan otak zombie minah jawa ni agaknya dah
rajin sangat jadi guard tak bergaji.
“Beb, kau dengar tak?”
“Dengarlah.”
“Dah tu kenapa diam aje?” Suara
Hannah di hujung talian dah lembik semacam. Aku tahu, kejap lagi mesti hentak
kaki tu.
“Aku dah tak kerja lagi kat situ.”
“Kau ada kat rumah 24 jam la eh?”
“Tak jugak.”
“Habis?”
Haih... susah betul nak jelaskan
situasi pada minah jawa ni. Serba salah sungguh. Kalau beritahu dia sekarang ni
aku kerja di syarikat tu, mahu berhari-hari dia bertandang kat sana semata-mata
nak jumpa aku. Kalau datang setakat nak jumpa, tak apalah. Dibuatnya Hannah
datang dengan perangai sotong dan mengada-ada, mahu pekerja lain salah anggap
pada aku. Tak pasal-pasal kena cop songsang. Sengal betul.
“Beb, kenapa kau diam aje ni?”
Aku nak bagi jawapan apa ni? Kepala
tak gatal, aku garu kasar. Fikir jawapan sesuai nak bagi pada Hannah.
“Kau tahu tak aku rindu kau? Sehari
tak jumpa, aku tak boleh buat kerja. Buah epal, rambutan, limau dan semua buah ada
kat gerai mak aku, semua aku nampak macam muka kaulah, beb...” Hannah merengek
macam bayi kehausan susu.
Kalau aku ada depan Hannah, harus
aku sumbat mulut dia dengan botol susu. Parah... parah. Macam ini punya orang
pun ada. Kritikal dah ni. Aku mesti nasihatkan dia.
“Hannah...”
“Ye... kau pun rindu aku, kan? Kan?”
“Kau tak boleh bersikap macam ni.
Kau tahu kan, ini salah?”
“Apa yang salah?”
“Cara kau bercakap tulah. Cakap
rindu akulah, love akulah, sayang akulah...”
“Kenapa? Kau dah cair ek?”
Bluwwekk! Aku rasa macam nak jolok
tekak dengan batang besi. “Cair kepala hotak kau berjambul!” Tiba-tiba aku
marah Hannah. Serius punya marah ni. Tak ada masa nak main-main.
“Sok sek sok sek... sobsobsob..”
Alamak, Hannah menangis! “Eh,
Hannah. Kau janganlah nangis...”
“Tak boleh ke aku nangis sebab kau
marah aku? Kau memang jahatlah. Aku suka dan sayang gila-gila kat kau. Kau
memang kejamlah. Kau kejam!”
Adoi minah jawa ni. Makin
menjadi-jadi pulak. Sempat lagi dia buat dialog dalam drama-drama Melayu.
“Hannah... aku tak maksud macam tu pun. Ada benda kau tak faham ni.”
“Apa yang aku tak faham? Yang aku
tahu, aku sukakan kau!”
Aduh! Dia menjerit pulak. Boleh
bernanah telinga aku kalau macam ni. “Kau tu perempuan. Aku pun perempuan. Kau
tak boleh suka dan kau jugak tak boleh ada perasaan cinta pada aku. Kau faham
tak?”
“Ah, persetankan itu semua!”
Alahai, dia buat dialog drama Melayu
lagi. Hailah... memang parah dah budak Hannah ni. Kalau aku sental kepala dia
atas jalan tar, belum tentu insaf. Tapi, apa kata kalau aku mandikan dia dengan
air bunga tahi ayam 7 tempayan. Atau, aku cuci otak dia yang berbelit tu dengan
air tapak kaki Bangla. Mahu bersih, suci lagi murni kesannya nanti.
Apa ya aku nak buat dengan Hannah?
Apa lagi aku nak cakap kat dia supaya dia faham? Ah, bengap tahap malaun
betullah kau ni, Hannah.
“Aku tahu kau faham. Tapi kau buat-buat
tak faham. Takkan kau dah lupa apa yang kita pernah belajar kat sekolah?
Perempuan tak boleh bercinta dengan perempuan. Sama jugak dengan lelaki. Takkan
kau tak ingat? Kau bukan remaja lagi, Hannah. Kau dah 25 tahun sama macam aku.
Kalau boleh, biar daya pemikiran seiring dengan usia kita. Tapi kau...”
“Sudahlah. Okey, fine. Kalau kau dah tak nak kawan dengan
aku, kau cakap ajelah. Tak payah nak bersyarah panjang lebar!”
KELEKANG!!!
Aku tersentak. Itu bunyi Hannah
matikan telefon atau bunyi telefon dihempas ke dinding? Aku jongket bahu. Malas
nak fikir pasal Hannah. Kalau tak ada kawan macam dia pun, tak apalah. Janji
aku selamat dunia akhirat.
HARI ni
aku ditengking dan dimarahi Encik Syam sebab aku terbuat kesilapan kecil.
Kalau
dulu, setiausahanya selalu marah aku tapi kali ni, giliran dia pulak. Entah apa
masalahnya dengan pekerja-pekerja di sini? Semua orang nak marah-marah. Keturunan
syaitonnirrojim ke?
"Buat
kerja sikit pun boleh salah. Macam mana syarikat nak maju kalau ada sepuluh
pekerja macam awak ni?!" Encik Syam mendekat
Aku tercegat macam patung. Dia
memekik betul-betul tepi telinga aku. Hantu betul Encik Syam ni. Kalau sepuluh
minit dia menjerit macam ni, rosak gegendang telinga aku.
"Saya
bukan sengaja. Lagipun, saya pekerja baru. Tak boleh ke tolak ansur sikit?"
Aku cuba membela diri walaupun tahu hanya sia-sia. Tak mungkin aku dapat atasi
kemarahan Encik Syam yang berlagak bagus tu. Macamlah dia tak pernah buat silap
sepanjang hidup atas muka bumi ni?
"Kalau
saya tolak ansur, naik lemak awak nanti!"
"Saya
minta maaf. Nanti saya betulkan semula."
"Tak
payah. Mulai sekarang, awak dipecat!"
Aku
melopong habis. Tak sampai sebulan aku kerja, dah kena pecat? "Tapi Encik
Syam, kesilapan tu tak besar mana pun. Takkan sampai nak pecat saya?"
"Sudah.
Kemaskan barang-barang awak dan keluar dari syarikat ni. Dungu punya pekerja.
Lain saya suruh, lain awak buat!"
Dia maki
aku? Dia kata aku dungu? Dia ni memang nak kena karate agaknya. Muka aje nampak
baik tapi bahasa langsung tak boleh pakai. Tak padan umur dah tua. Rumah kata
pergi, kubur kata mari. "Encik Syam tak boleh pecat saya sesuka
hati."
"Siapa
cakap saya tak boleh buat? Saya boleh buat awak lebih teruk daripada ni. Kalau
awak berdegil, saya panggil security dan halau awak keluar. Entah
makanan apa yang mak ayah awak bagi
sampai jadi dungu macam ni? Menyusahkan!"
Wah,
ini dah lebih! Menyentuh soal ayah dan arwah mak aku pulak. Encik Syam ni tak
boleh dibiarkan. "Tak payah. Saya boleh keluar sendiri. Jangan fikir saya
hadap sangat kerja kat sini. Bodoh punya
bos. Dahlah tak hensem. Muka macam kereta sorong. Dapat projek juta-juta, semua
dari hasil rasuah. Ingat saya tak tahu?!"
Perggghhh! Berani jugak aku hamburkan
kata-kata kesat terhadap Encik Syam.
"Biadap
betul awak ni. Tak padan umur 25 tahun. Sekarang awak berhambus. Keluar!"
Encik Syam tolak aku dengan kasar.
Nasib baik aku tak jatuh tersembam. Dia ni betul-betul melampau. Ikut suka mak
nenek dia aje buat aku macam ni.
"Memang saya nak keluar. Tak payah
halau saya. Tak perlu maki dan herdik saya. Sampai hati Encik Syam hina ayah dan
arwah mak saya. Tak guna punya bos. Dasar manusia riak, sombong, angkuh,
berlagak. Nah, hambek ni!" Aku lepaskan
tumbukan padu pada perut Encik Syam.
"Aduhhhh!!"
"Padan
muka kau. Dasar manusia tak ada adab. Pergi matilah kau!" Aku keluar dari
pejabat Encik Syam tapi sempat aku tendang pasu bunga mahal tepi pintu. Puas
hati aku dapat pecahkan pasu bunga yang baru Encik Syam beli dari Sarawak!
"Hoi,
budak. Jangan lari!"
Encik Syam cuba nak halang aku.
Mungkin nak tuntut ganti rugi. Nasib kaulah, Encik Syam. Siapa suruh cari pasal
dengan aku? Kan dah mendapat. Kalau dia minta ganti rugi, aku memang tak mampu
nak bayar dengan duit. Kalau dengan baja tahi ayam, bolehlah. Sorrylah, ye.
Bye-bye!
Aku
ambil beg, payung dan beberapa helai kertas atas meja. Tiba-tiba sebak bila
ingat kata-kata Encik Syam. Dasar manusia tak ada hati perut. Langsung tak
fikir perasaan orang. Aku menangis sambil berlari anak keluar dari department.
Apa ke bendalah aku ni. Pakai punyalah smart tapi menangis pulak.
Pintu
lif terbuka dan mujur tak ada sesiapa. Teresak-esak aku menangis sambil menahan
geram pada Encik syam. Aku benci manusia bernama Encik Syam tu. Kalau aku dah benci
seseorang, sampai keturunan dia aku benci!
Pintu
lif terbuka. Aku berjalan keluar dan berhenti duduk atas kerusi di lobi.
Tiba-tiba
seorang lelaki datang dan berdiri depan aku.
"Kau Amalina, kan?"
Aku
mendongak dan kecilkan pandangan sambil menyeka air mata dengan hujung lengan
kemeja. Aku pernah tengok lelaki ni tapi dah lupa kat mana tempatnya.
"Ya, saya Amalina.”
Berkali-kali aku kesat hidung dengan tisu. Siap bunyi hingus lagi.
Dia buat muka keji. Macam kotorlah
sangat kalau bunyi hingus ni? Macamlah dia tak pernah berhingus. Poyo. Entah-entah
masa kecik dulu, dia lagi berhingus. Pekat dan kehijauan macam cendol. Jadi,
tak payah buat muka keji sangat.
"Amalina...
kau ingat aku tak?" Dia menyoal. Mukanya teruja bukan main. Apa kes?
Siapa
agaknya? Aku tengok dia dari atas sampai bawah. Rambutnya lurus. Matanya kuyu
macam mata... mat pet??
Kalau mata dia kuyu, sekarang ni
mata aku pulak membulat! Encik Razlan ke?? Tapi, kenapa lain sangat? Tak macam
mula-mula aku jumpa dia dulu.
Dulu
dia selekeh macam peminta sedekah tepi jalan. Aku rasa peminta sedekah pun tak selekeh macam dia. Kalau tengok dari sebelah
sisi, macam orang utan. Mukanya berjambang dan rambutnya dibiarkan sedikit
panjang.
Tapi hari ni, dia jadi orang lain.
Lain sangat. Nampak kemas dengan muka ceria. Hari tu, nampak muram dan sedih
aje. Dia menang loteri ke?
Menang loteri hangguk kau. Dia orang
kaya, tak mainlah loteri ni.
"Encik Razlan?"
Aku
raba pipi. Air mata dah kering.
"Ya.
Razlan. Ingat lagi?"
Aku tunjuk muka blur. Bukan aku tak ingat tapi aku macam
tak percaya lelaki berdiri depan aku sekarang ni, lelaki yang selekeh dulu.
Hensemlah pulak...
Dia merengus. Macam penat nak buat
aku ingat semula. "Driver aku
hampir nak langgar kau, tayar kereta aku masuk lopak air, baju kau basah dan
aku gantikan dengan baju baru. Ingat?"
Encik Razlan cuba rewind memori aku ke? Dah tentu aku
ingat. Tak payah nak rewind balik.
Tak pasal-pasal aku hilang ingatan nanti. Dahlah aku tengah tension. "Ya,
ingat. Encik Razlan buat apa kat tempat ni?"
"Aku
ada urusan sikit. Erm... kalau aku tanya, kau jangan marah."
"Nak
tanya apa?"
"Kau
menangis?" Encik Razlan terus duduk sebelah aku.
"Tak
adalah. Tak nangis pun." Aku tipu dia. Aku kesat mata, kesat hidung, kesat
pipi dan terus palingkan muka ke arah
lain.
"Kau
jangan tipu. Aku dah nampak kau menangis tadi. Ada sesiapa ganggu? Kalau ada,
beritahu aku."
Aku
menggeleng. Tiba-tiba nak suruh aku luahkan perasaan pada dia, apehal? Bukan
abang aku pun. Dia cuma orang luar. Orang yang aku baru kenal pulak tu.
"Kenapa
diam? Ermmm... satu lagi aku nak tanya. Kau tak kerja?" Encik Razlan
tunduk dan curi-curi tengok muka aku. Tak cukup dengan tu, dia tenung pulak.
"Saya
dah berhenti. Sebenarnya, saya dipecat." Aku makin tunduk. Sudah-sudahlah
tengok muka aku. Bukan ada emas berlian pun.
"Ouh...
kena pecat. Lepas ni, kau nak ke mana?"
Ish,
banyak soal la dia ni. Tak larat aku nak jawab. Kacau betul. "Saya nak
balik rumahlah."
"Kerja
kau macam mana?"
"Nak
kerja apanya lagi kalau saya dah kena pecat?" Ops... tak sengaja aku
tinggikan suara. Marahkan Encik Syam tadi, dengan Encik Razlan sekali terkena.
“Aku
kesian tengok kau.”
Aku
garu kepala. “Kesiankan saya?”
Encik
Razlan usap dagu. Dari atas sampai bawah dia tengok aku. Pandangannya semacam.
Naik seram aku ni. Kalah tengok filem hantu Thailand kat panggung wayang Mesra
Mall hari tu.
“Kau
kena pecat sebab cara berpakaian macam tak kenalah.” Encik Razlan menebak
sembarangan.
Aku
tilik diri sendiri. “Apesal dengan pakaian saya?” Memandai aje Encik Razlan ni.
Macamlah dia perunding imej bertauliah. Pernah dapat anugerah dekan ke dia ni?
“Tengok
apa kau pakai. Kemeja, seluar slack, memang tak sesuai untuk perempuan cantik
macam kau.”
Erk...
dia kata aku cantik? Hannah pulak kata aku hensem. Memang biol dah kepala otak
mereka ni.
Aku
diam aje.
“Mana
baju kurung aku beli? Kenapa tak pakai? Kau ingat murah? 250 ringgit tu.”
Aku
mencebik. Bila masa entah dia beli. Pusat beli belah tu, dia yang punya. Belilah
sangat.
“Baju
tu ada kat rumah. Saya cuci. Lagipun, takkan tiap-tiap hari nak pakai baju sama,
kut? Nanti busuklah. Bau belacan!”
“Yang
bau belacan tu kau. Bukan baju kurung tu.”
Aku
melopong. Lembik betul mulut Encik Razlan ni. Sekali aku belacankan, barulah
tahu belacan tu sedap ke tak.
Aku
jeling dia. Dia buat muka tak bersalah.
“Maksud
aku, kau tak ada baju kurung lain?”
“Tak
ada.”
“Langsung
tak ada?”
“A’ah..”
“Perempuan
jenis apa kau ni? Tomboy ke?” Sekali lagi Encik Razlan buat muka keji.
Aduhai... aku bagi penampar
bersilang jugak nanti.
Aku
terus bangun. “Encik Razlan cakap baik-baik sikit, eh. Saya tumbuk nanti.” Aku
kepal buku lima depan muka dia. Kedua-dua matanya menjuling.
Dia mengelak. Macam betul-betul kena
muka dia. Aku acah aje.
Dia
angkat kedua-dua tangan. “Okey. Aku minta maaf kalau kau tersinggung.”
Aku
duduk semula. “Encik Razlan tak ada hak buat penilaian pada saya kalau Encik
Razlan tak tahu kehidupan saya macam mana.”
“Okey,
aku minta maaf tuan puteri. Cik intan payung. Aku minta maaf, ya...” Dia
tersengih.
“Eleh...
tahu takut.”
"Okay. Lupakan hal tadi.
Sekarang aku nak tanya, kau nak kerja?"
"Mestilah
nak tapi tak tahu nak kerja apa dan kat mana. Sekarang bukan senang dapat
kerja." Aku gumpal tisu dan buang ke dalam tong sampah.
"Kerja
dengan aku nak tak?"
"Kerja
dengan Encik Razlan?" Aku kerut dahi. Rasa macam tak percaya Encik Razlan
buat tawaran di saat-saat kritikal.
"Aku
nak ajak kau kerja dengan aku. Esok datang EGSM dan masuk pejabat aku. Nanti aku beritahu kerja apa sesuai untuk
kau."
“EGSM?
Apa tu?”
Encik
Razlan buat muka penat. “Emperial Golden Shopping Mall. Panjang sangat. Jadi
aku buat singkatan.”
Aku
mencebik. “Itulah... siapa suruh bagi nama panjang-panjang. Encik Razlan ingat
pusat beli belah tu tak laku ke kalau letak nama pendek? Tengok Mydin tu. Satu
patah perkataan aje. Sampai sekarang berduyun-duyun orang pergi.”
“Kau
ni banyak cakap la. Itu nama yang ayah aku bagi. Aku takkan ubah sebagai
menghormati apa yang dia wariskan. Kau nak kerja tak? Lima saat saja aku buka
tawaran ni. Habis lima saat, aku tutup. Satu... dua...”
“Cop!
Okay, saya nak.”
Encik
Razlan tayang sengih kemenangan. Macam memaksa aku pulak dia ni.
2 ulasan:
Menarik cerita awak dan pandai cara awak menulisnya. Tahniah!
terima kasih saudara Ibrahim..
Catat Ulasan